Buletin PESKAP
Buletin PESKAP 20 Julai 2022
Dalam keseronokan kita nak menyambut pesta padi hujung minggu ni, ketahuilah bahawa kita bakal kehilangan warisan paya air tawar di kawasan berdekatan dengan tapak pesta padi tersebut, di Kg Terus, SPT tuan-tuan.
Ku sangkakan 2 rupanya 4 kawasan yang terlibat tuan-tuan. Kawasan yang terlibat terletak di 3 DUN yang berdekatan, 1 di DUN Sg Dua, 2 di DUN Permatang Pasir dan 1 di DUN Penanti.
Tak ada ka Yb2 dari DUN yang berkenaan nk bersuara mempertahankan kawasan hutan sensitif alam sekitar ni, yang ada hari tu Yb dr DUN Penaga, terima kasih diucapkan kerana membawa isu ni dalam sesi soalan bertulis semasa sidang DUN 27 Mei yang lalu.
Walau macam mana pun tapak 1, 2, dan 3 dah diluluskan dan tinggal tapak no 4 saja lagi masih menunggu untuk tukar zoning. Lepas ni dah tak ada hutan paya, bot-bot untuk bawa pelancong di jeti Kg Terus boleh la bawak melawat hutan-hutan batu pulak tepi sungai tu. Apa guna kita sambut pesta warisan tapi dalam masa yang sama warisan alam yang Allah kurniakan kepada kita, kita musnahkan.
Fikir-fikirkanlah….
Buletin PESKAP 11 Febuari 2022
Lokasi Sebenar Rumah Tunku Kudin yang dibom oleh pembunuh upahan Siam.
Serangan pengeboman ini telah mengorbankan Isteri dan 3 orang anak beliau. Beliau sendiri juga telah mengalami kecederaan di kaki. Hanya 2 orang anaknya iaitu Syed Hassan dan Syed Hussein sahaja yang terselamat. Oleh kerana peristiwa inilah Tunku Kudin telah menyeru semua pahlawan Kedah bermati-matian bagi membantu Kedah menentang Siam.
Pendapat sebelum ini mengatakan bahawa lokasi rumah tersebut terletak di Permatang Bendahari, dan ada juga mengatakan di Kg Kota. Akan tetapi setelah dikaji selidik, GSPP telah menemui dapatan baru. Lokasi sebenar rumah Tunku Kudin bukanlah di Permatang Bendahari atau di Kg Kota.
Ini berdasarkan laporan di dalam Singapore Chronicle bertarikh 5 Januari 1832 menyatakan bahawa peristiwa pengeboman rumah Tunku Kudin berlaku di wilayah pemerintahan British di Seberang Perai, dan bukan di wilayah Kedah. Pada waktu ini wilayah Seberang Perai hanyalah berkeluasan 60 orlong jarak dari pantai. Ini bermaksud Kampung Kota dan Permatang Bendahari masih berada di dalam wilayah Kedah dan ditadbir oleh Tunku Sulaiman.
“It would appear that the Siamese were not unacquainted with the talents and courage of the Tuanko, and dreaded him so much, that while he way actually residing at Province Wellesley under the Company’s protection, they had the audacity to hire and send assassins thither to murder him.”
Lokasi sebenar rumah Tunku Kudin ialah di Kawasan Teluk Air Tawar, di dalam kawasan British. Ini berdasarkan laporan James Low di dalam Burney Papers, menyatakan bahawa Tunku Kudin menetap berhampiran dengan kediamannya. Merujuk kepada peta tahun 1802-1831 rumah rasmi James Low terletak di Teluk Air Tawar.
“He remained for some time away, but on finding that other characters equally notorious as himself could live with impunity at Penang he went there, and eventually set himself down close to my residence in this Province, defying my authority.”
Lebih tepat lagi lokasi rumah Tunku Kudin berkemungkinan di Bagan Belat. Ini kerana Bagan Belat merupakan antara kampung melayu yang terawal di kawasan Teluk Air Tawar. Lokasi ini sangat strategik kerana berdekatan pantai dan terdapat catatan bahawa Tunku Kudin sering berulang alik ke Kuala Kedah untuk membuat risikan sebelum memulakan serangan pada tahun 1831.
Jika ingin mengenal pasti dimana lokasi sebenar tapak rumah tersebut, mungkin agak sukar pada masa sekarang ini, kerana kawasan tersebut telah banyak berubah, akan tetapi usaha untuk mencari maklumat akan diteruskan dari semasa ke semasa.
Untuk pengetahuan, kawasan Bagan Belat ini memang tidak asing bagi kerabat Kedah, ini kerana di sini juga terdapat rumah Haji Hashim Kerani, dimana rumah ini menjadi tempat persinggahan Tunku Abdul Rahman, dan menjadi tempat perbincangan untuk mengatur perancangan bagi menuntut kemerdekaan.
#gspp #tunkukudin #perangmusuhbisik #baganbelat #telukairtawar #seberangperai #pulaupinang
