Kampung Kota, Permatang Pauh, SPT.

SEJARAH KAMPUNG KOTA

Kampung Kota yang terletak di Permatang Pauh merupakan tapak penting dalam sejarah Kedah dan Seberang Perai. Sebelum kedatangan British, kawasan ini dikenali sebagai Wilayah Perai, ditadbir oleh Pembesar Kedah sejak abad ke-12. Sekitar abad ke-18 dan 19, pusat pentadbiran wilayah ini adalah di Kampung Kota yang dulunya dikenali sebagai Kota Perai (Kotah Prye), juga dikenali sebagai Kota Jelutong Perai, bersempena nama Sungai Perai dan Bukit Jelutong yang berhampiran.

Pada 6 Jun 1800, Sultan Dhiauddin Mukarram Shah II memajakkan pesisir pantai Seberang Perai kepada British, menjadikan kawasan pesisir di sebelah barat sebagai Province Wellesley dan bahagian timur dan pedalaman Wilayah Perai kekal di bawah pemerintahan Kedah. Kawasan Kota ini merangkumi Kampung Kota, Bukit Jelutong, Pengkalan Tambang, Kampung Kubu dan Kampung Terus dan Labuh Banting.

Kota Perai memainkan peranan penting sebagai pusat kutipan cukai dan perdagangan, khususnya bagi hasil dari hulu Kedah yang dihantar melalui Sungai Perai. Antara barangan dagangan utama termasuk bijih timah, kayu-kayan, opium dan juga gajah, yang dibawa ke Pulau Pinang dan seterusnya dieksport ke Pantai Coromandel di India.

Sewaktu tercetusnya Perang Musuh Bisik (Perang Kedah–Siam, 1821–1842), Kota Perai turut menjadi lokasi strategik bagi para pejuang Kedah seperti Tunku Sulaiman, Tunku Kudin dan Tunku Muhammad Saad serta para pengikut mereka berkumpul. Di sinilah mereka merancang dan mengatur serangan balas terhadap penjajahan Siam di Kedah.

Namun akibat kekalahan Kedah dalam Perang Musuh Bisik yang pertama pada tahun 1831, wilayah Perai menjadi semakin mengecil. Ini kerana setelah perang tamat, Siam telah menyerahkan sebahagian besar wilayah ini kepada British sebagai ganjaran kerana tidak membantu Kedah dalam peperangan. Penyerahan ini juga bertujuan untuk membolehkan British mengawal pejuang-pejuang Kedah yang berada di kawasan ini agar tidak melancarkan serangan balas terhadap Siam di Kedah. Ketika itu, Wilayah Perai hanya tinggal sekitar ¼ daripada keluasan asal Seberang Perai. British juga menggelar kawasan ini sebagai:

“Triangular piece of ground having Kotah at its apex in the very heart of Province Wellesley.”

Sejak itu, British telah beberapa kali berusaha untuk mendapatkan baki wilayah Wilayah Perai. Hal ini dibuktikan melalui sepucuk surat daripada Kolonel Butterworth, Gabenor Negeri-Negeri Selat, kepada Sultan Kedah ke-23, Sultan Zainal Rashid I, bertarikh 5 Disember 1846. Namun begitu, Sultan Kedah ketika itu tidak bersetuju untuk menyerahkan kawasan tersebut kepada British.

Akhirnya, pada tahun 1869, Thomas George Knox Esq., Konsul Jeneral British di Siam, telah memohon wilayah ini secara terus daripada Raja Siam (Rama V). Ketika itu, Siam sedang berdepan tekanan politik dan ketenteraan daripada Perancis di bahagian utara, dan British mengambil kesempatan ini untuk mendapatkan persetujuan Raja Siam. Maka, Rama V bersetuju menyerahkan baki Wilayah Perai kepada British, meskipun tanpa persetujuan Sultan Kedah. Satu Perjanjian Inggeris–Siam telah ditandatangani pada 6 Mei 1869 oleh Perdana Menteri Siam, Chao Phya Sri Suriwongsa Phra Kalahome, mewakili Raja Siam (Rama V).

Dengan termeterainya perjanjian ini, maka secara rasminya berakhirlah pemerintahan Kedah di Seberang Perai. Seluruh Wilayah Perai, termasuk kawasan pentadbiran Kota Perai telah diserahkan kepada British. Namun begitu, kawasan Makam Diraja masih dianggap sebagai milik Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah, dan tertakluk kepada bidang kuasa dan undang-undang British. Kawasan Kota Perai menjadi mukim yang terakhir iaitu Mukim 21 di dalam daerah Seberang Perai Tengah pada masa sekarang.

Kini, tiada tinggalan fizikal Kota Perai dapat ditemui di Kampung Kota, ini kerana kota tersebut dipercayai dibina menggunakan bahan semula jadi seperti pokok buluh, kayu dan terusan, bukannya batu-bata seperti kebanyakan kota lain. Struktur sebegini tidak kekal lama, justeru kesan sejarahnya hanya dapat dikenalpasti melalui sumber lisan dan tinggalan geografi tempatan.

Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa struktur kota tersebut telah dirobohkan oleh pihak British selepas mereka berjaya menguasai kawasan ini pada tahun 1869, namun tiada bukti bertulis yang dapat mengesahkan perkara tersebut.

Walau bagaimanapun, tinggalan sejarah seperti makam diraja, pokok buluh, terusan-terusan lama, serta nama-nama kerabat Sultan Kedah di dalam geran-geran tanah lama di Kampung Kota dan Kampung Kubu masih wujud hingga hari ini, menjadi saksi bisu kepada kewujudan dan pentingnya Kota Perai suatu ketika dahulu..

Sumber Rujukan :

  1. Burney Papers
  2. The Perak Handbook and Civil Service List, 1893
  3. En Mohamad Nor bin Romli
Shopping Cart