Makam Diraja Kampung Kota
Terletak di Mukim 21 Kampung Kota. Permatang Pasir, Permatang Pauh. Selepas perjanjian Kedah-British yang terakhir pada tahun 1869, kawasan Kampung Kota yang dulu dikenali sebagai Kota Perai telah diserap kedalam wilayah British, Province Wellelsey namun tanah perkuburan Diraja di Kampung Kota dalam wilayah British masih menjadi milik Yang Mulia Sultan Kedah, namun tetap tertakluk kepada bidang kuasa British dalam hal-hal yang lain, dengan syarat Sungai Muda bebas untuk dikawal setiap masa secara aman.
Semasa zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1881-1943), baginda telah mengutuskan surat kepada Allan Maclean Skinner bagi memohon geran tanah makam ini, Tanah makam ini terletak di atas lot 391 Kampung Kota, Mukim 21 (Kubu), Seberang Perai Tengah. Pihak Inggeris telah memberikan hak milik lot tersebut di atas nama Sultan Kedah, rekod-rekod tersebut ada di dalam catatan buku daftar lama Settlement Register. Tanah ini kemudiannya dijadikan tanah wakaf dan dikenali sebagai Makam Diraja Kedah.
Terdapat 5 buah makam di dalam komplek pemakaman ini. Antara makam yang dapat dipastikan pemiliknya ialah anakanda Tunku Sulaiman, Tunku Kutam binti Tunku Suliaman, ini kerana terdapat ukiran nama pada batu nisan tersebut, beliau mangkat pada tahun 1831, manakala 4 buah lagi makam tidak dapat dipastikan pemiliknya kerana tiada ukiran nama pada nisan tersebut. Kemungkinan pemilik makam yang lain ialah Tunku Sulaiman sendiri ataupun anakandanya Tunku Akil, cucundanya Tunku Muhammad, ataupun kerabat Kedah yang lain seperti Tunku Brahim dan juga Tunku Mat Kapie (Shafie), Nama-nama ini berdasarkan nama yang terdapat didalam geran lama tanah di Kampung Kota.
