Kota Perai
Sebelum kedatangan British pada abad ke 18, wilayah Seberang Perai dahulunya merupakan sebahagian dari wilayah kedah. Ia ditadbir oleh kaum kerabat Sultan Kedah sejak abad ke 12 lagi dan dikenali sebagai Wilayah Perai. Pusat pemerintahan wilyah Perai semasa abad ke 18 dan 19 dikenali sebagai Kota Perai, terletak di Kampung Kota, Permatang Pauh, Seberang Perai Tengah.
Namun wilayah Perai ini telah terbahagi dua setelah kedatangan British, Pada tahun 1800, Sultan Dhiaudin telah memajakan pesisir pantai Seberang Perai kepada British, Satu perjanjian “Perdamaian, Persahabatan & Bersekutu” telah ditandatangani di antara George Leith dan Sultan Diauddin pada 6 Jun 1800. Luas kawasan tersebut adalah 60 orlong dari pantai ke darat dan panjangnya dari Sungai Muda ke Sungai Kerian. Kawasan pesisir pantai telah dimiliki oleh British, dikenali sebagai Province Wellelsey manakala kawasan sebelah timur masih didalam negeri Kedah dikenali sebagai Kota Perai.
Kota Perai ini juga dikenali sebagai Kota Jelutong Perai, mengambil nama sempena nama Sungai Perai dan Bukit Jelutong yang berada berdekatan dengan kawasan ini. Kawasan Kota ini merangkumi Kampung Kota, Kampung Bukit Jelutong, Kampung Pengkalan Tambang, Kampung Kubu, Kampung Terus dan Labuh Banting, malah merangkumi Mukim 21 dan Mukim 3 di dalam daerah Seberang Perai Tengah.
Selain dari pusat pemerintahan, kawasan ini juga merupkaan pusat perdagangan hasil mahsul dari hulu Kedah melalui Sungai Perai. Cukai hasil dagangan akan dikutip di sini sebelum barangan tersebut dihantar ke kawasan British di Kuala Perai, seterusnya ke Pulau Pinang.
Antara hasil dagangan tersebut ialah kayu-kayan, opium, bijih timah dan lain-lain lagi, malah gajah juga dibawa melalui Sungai Perai untuk di eksport ke Pantai Coromandel, India.
Namun wilayah Kota Perai ini semakin mengecil kesan daripada Perang Musuh Bisik yang belaku dari tahun 1821 sehingga 1842. Pada tahun 1831, setelah kekalahan Kedah kepada Siam semasa perang musuh bisik yang pertama, Siam telah menyerahkan sebahagian besar kawasan Kota Perai kepada British. Ini adalah ganjaran kepada British kerana tidak membantu Kedah semasa Perang Musuh Bisik 1831 dan secara tidak langsung dapat mengawal kebangkitan pejuang-pejuang Melayu yg berada di wilayah Kota pada masa tersebut.
“Triangular Piece of Ground having Kotah at its Apex in the very Heart of Province Wellwsley”.
Gelaran yang diberikan British terhadap wilayah Kota Perai ketika itu. Wilayah Kota Perai pada tahun 1831 hanya tinggal ¼ daripada keseluruhan Seberang Perai. Namun laluan dari hulu Sungai Perai masih berada di dalam kawalan Kota Perai. Hal ini menyebabkan British masih tidak senang hati kerana mereka ingin mengawal keseluruhan laluan Sungai Perai.
Beberapa percubaan untuk mendapatkan baki wilayah Kota Perai ini telah dilakukan oleh British sejak tahun 1845, merujuk kepada surat Kolonel Butterworth, Gabenor Negeri Selat kepada Sultan Kedah ke 23, Sultan Zainal Rashid I, bertarikh 5 Dis 1846. Akan tetapi Sultan Kedah tidak bersetuju menyerahkan kawasan ni kepada British pada waktu tersebut.
Akhirnya pada tahun 1869, melaui Thomas George Knox Esq, Konsul Jeneral British di Siam, telah memohon kawasan ini dari Raja Siam (Rama V). Pada waktu tersebut, Siam menghadapi tekanan akibat diasak oleh Perancis di bahagian utara, British mengambil kesempatan ini mendapatkan persetujuan dari Raja Siam. Akhirnya Rama V bersetuju menyerahkan kawasan ini walaupun tanpa persetujuan Sultan Kedah.
Satu perjanjian Inggeris-Siam telah ditandatangani dengan Chao Phya Sri Suriwongsa Phra Kalahome, Perdana Menteri Siam bagi pihak Raja Siam, pada 6 Mei 1869. Maka sejak itu berakhirlah pemerintahan Kota Perai dan juga wilayah Kedah di Seberang Perai. Tiada tinggalan kota atau bagunan yang dapat dilihat pada masa sekarang, merujuk kepada penduduk tempatan, kota yang dibina dahulu hanya menggunakan pokok-pokok buluh dan juga terusan sebagai struktur perlindungan kota. Maka tidak ada tinggalan struktur batu-bata yang dapat dilihat sekarang seperti kota-kota ditempat lain.
Namun ada juga pendapat mengatakan bvahawa struktur kota tersebut telah diroboh oleh Inggeris setelah mereka berjaya mendapatkan kawasan ini semasa persempadanan tahun 1869, namun tiada bukti bertulis mengenai hal tersebut. Antara tinggalan yang dapat dilihat sekarang hanyalah makam diraja, pokok buluh, terusan-terusan lama dan juga nama-nama kerabat sultan Kedah yang terdapat di dalam geran tanah lama di kawasan Kampung Kota dan juga Kampung Kubu.
