Raja Perai – Tunku Sulaiman Ibni Almahum Sultan Abdullah Mukarram Shah
Pada abad ke 18 dan 19, Wilayah Perai mempunyai pentadbiran yang tersendiri dan pusat pentadbiran wilayah tersebut dikenali sebagai Kota Perai, ianya terletak di Kampung Kota, Permatang Pasir, Permatang Pauh, Seberang Perai Tengah.
Pemerintah yang mentadbir Kota Perai waktu itu ialah Tunku Sulaiman, beliau merupakan anakanda kepada Sultan Abdullah Mukarram Shah. Sultan kedah yang ke 20 merangkap adinda kepada Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II (Sultan Kedah ke 22).
Semasa pemerintahan Sultan Abdullah (1778-1797), Tunku Sulaiman telah dilantik sebagai pemerintah Arau, di Perlis. Pada masa tersebut, Perlis ditadbir oleh Tunku Dhiaudin, juga dikenali sebagai Raja Muda Kayang. Pada tahun 1797, Tunku Dhiaudin telah ditabal menjadi Sultan, kawasan Tunku Sulaiman di Arau telah diserahkan kepada Syed Harun Jamalullail. Sebagai ganti, Sultan Dhiaudin telah memberi wilayah Perai kepada Tunku Sulaiman. Luas wilayah Perai merangkumi hingga ke Karangan, Kulim.
Pada tahun 1803, setelah Sultan Diauddin turun takhta dan diganti oleh Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II, Tunku Sulaiman telah berpindah dari Perlis ke Perai dan menjadikan Kota Perai sebagai pusat pemerintahannya.
Tunku Sulaiman telibat secara langsung semasa kempen Perang Musuh Bisik yang pertama pada tahun 1831. Selepas kekalahan pasukan Kedah, beliau akhirnya ditangkap oleh Siam dan dipenjarakan di Kedah. Seluruh badan beliau di rantai dan tengkuknya di kunci dengan ikatan besi, beliau juga telah diseksa di dalam penjara dan akhirnya mati semasa di dalam tahanan.
