Setelah tamat Perang Musuh Bisik yang pertama tahun 1831, seluruh negeri Kedah telah jatuh ketangan Siam, termasuk wilyah Kota Perai di Seberang Perai. British telah mengambil kesempatan ini untuk meluaskan lagi wilayah Province Wellesley dengan membuat perjanjian 1831, dimana Siam telah bersetuju untuk meluaskan wilayah British di Seberang Perai sebagai membalas jasa British membantu mereka semasa Perang Musuh Bisik.
Satu perjanjian ditandatangani antara R. Ibetson, Chao Phya Ligor dan Kapten James Low pada 2 November 1831, dengan perjanjian ini keluasan Province Wellelsey bertambah 284 batu persegi dan batu sempadan pertama mula diperkenalkan. Penandaan sempadan Kapten James Low dengan wakil Raja Ligor, Along Kru Najuk Nu diselesaikan pada 3 April 1832.
Sempadan baru British pada tahun 1831 adalah seperti berikut, dari Bukit Semantol di tepi Selatan Sungai Kuala Muda melalui jalan ke Sungai Perai di tempat 10 orlong timur Sungai Sungai Dua Hulu, kemudian menuruni tengah Sungai Perai ke muara Sungai Sintok, kemudian menaiki Sungai Sintok ke arah timur secara lurus, dan sehingga ke Bukit Mertajam, kemudian dari Bukit Mertajam sepanjang rangkaian bukit yang dipanggil Bukit Beratur ke tempat di tepi utara Sungai Kerian, 5 orlong di atas dan timur Bukit Tungal.
3 buah batu sempadan di bina sebagai tanda sempadan, di utara dibina Bukit Semantol, ditepi Sungai Muda, di kawasan tengah di tepi Sungai Perai di kawasan antara Kampung terus dan Kampung Kota, juga dikenali sebagai Trus Pillar dan di selatan, di tepi Sungai Kerian, di Bukit Tunggal.
Batu sempadan di utara dan selatan masih wujud sehingga sekarang, manakala batu sempadan tengah di Sungai Perai telah tiada, dipercayai kemungkinan telah dirobohksn ataupun tenggelam di dalam sungai akibat hakisan.
