GS Pulau Pinang (GSPP)

1-Pinang-Pulau-GS-Logo

12 September 2023 - Lokasi Kepala Batas sebelum tahun 1897

Lokasi Kepala Batas sebelum tahun 1897 bukanlah di lokasi Kepala Batas sekarang, tapi di Pekan Darat, juga dikenali sebagai Samagagah Dalam, terletak diantara Permatang Kuching dan Ara Rendang.

12 September 2023 - Merbau Kudung, Sg Dua.

08 September 2023 - Penindasan British terhadap orang Melayu Seberang Perai tahun 1831

Penindasan British terhadap orang Melayu Seberang Perai tahun 1831
 
(Petikan temubual JT Thomson dengan Che Kota, seorang penduduk di wilayah Perai bersempadan dengan wilayah British).
 
Di sini, perhatian kami tertarik kepada seorang lelaki yang duduk di tepi jalan dan menangis dengan kuat. Semakin dekat kami mendekatinya, semakin kuat tangisannya. “Mengapa dia sedih begini?” saya bertanya kepada Oamut. “Mari kita berhenti, dan kemudian kamu boleh bertanya sendiri kepada Che Kota,” katanya. “Dia akan memberitahu kamu segala-galanya.” Jadi saya turun dan bertanya apa yang meresahkan lelaki itu.
 
Oh,” kata Che Kota, “seorang lelaki kulit putih bertanya tentang penyebab kesengsaraanku? Sepatutnya seorang lelaki kulit putih lebih mengetahui penyebabnya. Semua musibah yang telah menimpa aku melalui aniaya (penindasan) oleh pemerintah kulit putih di negara ini. Bukit kecil itu, bukit kecil yang indah, seperti sebuah pulau di tengah laut; bukit itu dipanggil Bukit Pelanduk, dahulu milikku.” “Sekarang milik siapa?” Dia bertanya kepada saya lagi.
 
“Pegawai utama Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) telah mengambilnya, dia telah menebang ladang dan mengeringkan sawah padi saya, pokok durian, manggis, mangga, dan cempedak saya telah ditebang. Semuanya telah hilang. Sekarang yang tinggal hanya tanah kosong, dan telah ditanam dengan pokok pala miliknya sendiri. Hati saya hancur, semangat saya hilang. Saya seperti bangau kesepian di tengah paya, tiada siapa yang memberi semangat kepada saya, tiada siapa yang memandang saya. Durian besar dengan beratus cabangnya yang penuh dengan buah tidak lagi gugur, sehingga anak-anak saya tidak dapat makan dan bersuka ria. Semuanya telah lenyap, daging saya telah menyusut, dan tulang saya juga telah mereput.”
 
Di sinilah dia dilanda emosi yang kuat, dan air matanya mengalir dengan deras. Saya memberinya sejumlah wang dan cuba untuk menghiburnya sebaik yang saya boleh; tetapi pada masa itu, lebih ramai lagi penduduk berkumpul dan berdiri di sekeliling. Keluhan mereka adalah hampir sama seperti Che Kota, mereka menyatakan bahawa bukit yang satu lagi, yang lebih besar daripada Bukit Pelanduk, dikenali sebagai Bukit Merah, dulunya merupakan ladang buah-buahan yang dimiliki oleh penduduk kampung. Kini, ladang-ladang buah itu telah ditebang dan digunakan untuk kegunaan peribadi pegawai utama SHTI, yang kemudiannya menanam pokok-pokok pala di sana.
 
Kisah rampasan tanah ini berlaku selepas peristiwa penentangan Tunku Kudin di Kedah tahun 1831. Pada waktu itu Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) telah mengakui pendudukan Siam ke atas Kedah. Oleh itu, dengan persetujuan Siam sempadan British diperluaskan. Sebelum itu, sempadan tahun 1800, wilayah British hampir tidak termasuk Permatang Pauh dan Bukit Pelanduk dan Bukit Merah pada waktu itu, masih berada di wilayah orang Melayu (Kedah). Pada 6 April 1832, barulah sempadan itu diperluaskan dan merangkumi kedua-dua bukit tersebut.
 
Sebelum penentangan Tunku Kudin tahun 1831, sebahagian besar kawasan Province Wellesley (Seberang Perai), dan pusat pemerintahan Perai di Kampung Kota telah bangkit melakukan penentangan terhadap British. Kejadian penentangan ini berlaku pada Ogos 1830 di kawasan Bukit Merah, ketika itu wilayah tersebut masih di dalam wilayah Tunku Sulaiman, dua tahun sebelum ia diserahkan kepada SHTI oleh Siam. Namun penentangan terhadap British ini terbantut kerana berlakunya Perang Musuh Bisik di Kedah pada tahun 1831, perang ini telah mengalihkan perhatian Tunku Sulaiman dan pengikutnya daripada penentangan terhadap British kepada perang menentang Siam di Kedah. Ini mungkin kerana mereka melihat ancaman Siam sebagai ancaman yang lebih mendesak pada masa itu.
 
Kenapa orang Melayu melakukan penentangan terhadap British di Bukit Merah pada tahun 1830. Di sinilah kita dapat melihat kelicikan dan penindasan pegawai SHTI ke atas orang Melayu ketika itu. Sebetulnya pegawai SHTI tersebut telah lama berminat untuk memiliki dua bukit tersebut, Bukit Merah dan Bukit Pelanduk. Namun, bukit-bukit ini berada di wilayah Kedah di bawah penguasaan Tunku Sulaiman, Oleh yang demikian, untuk mendapatkan juga dua bukit tersebut, mereka menggunakan helah dengan mewujudkan ketegangan atau konflik di antara penduduk tempatan di situ dan pihak SHTI.
 
Mereka mengirimkan pekerja mereka untuk memungut cukai di kawasan tersebut, meskipun mereka tahu bahawa orang Melayu di Bukit Merah tidak tinggal di dalam wilayah British. Orang Melayu menolak untuk membayar cukai, ini kerana cukai sebelum ini telah dibayar kepada pembesar mereka, Tunku Sulaiman.
 
SHTI mengambil tindakan ekstrem dengan mengirimkan tentera untuk memaksa penduduk membayar juga cukai tersebut, ini menyebabkan penduduk di situ bangkit membuat penentangan sebagai respons terhadap penindasan ini. Ketegangan meningkat, dan terjadilah pergolakan di antara SHTI dengan penduduk setempat.
 
Sekumpulan anggota polis dan beberapa orang pengawal pengiring telah diserang secara mengejut, seorang konstabel, tiga sepoy, dan beberapa orang peon telah dibunuh oleh orang Melayu.
 
Pihak British mengambil kesempatan dari situasi ini untuk mengenakan hukuman terhadap para penentang di Bukit Merah. Kerana takut dikenakan hukuman, ramai penduduk kampung yang tidak bersalah melarikan diri, ada yang ke Perak dan ada juga yang ke Patani. Akibat daripada peristiwa ini, banyak kebun buah dan sawah padi yang subur ditinggalkan. Dengan persetujuan dari pihak Siam, sempadan British telah diperluaskan hingga menjangkau rumah-rumah kosong yang telah ditinggalkan oleh orang Melayu.
 
Setelah tamat penentangan Tunku Kudin, keamanan di Seberang Perai telah dapat dikembalikan. Pegawai ketua SHTI yang telah lama mengidamkan dua bukit tersebut memohon untuk diberikan hak milik ke atas kedua-dua bukit dan tanah-tanah yang bersebelahan dengannya daripada gabenor Negeri Selat. Permohonan ini dengan senang hati diluluskan oleh pejabat tinggi tersebut, yang menganggap bahawa tanah-tanah tersebut adalah kawasan terbiar, tanpa sawah padi atau ladang buah-buahan. Oleh itu, bukit-bukit tersebut diambil alih, ladang buah-buahan ditebang dan dimusnahkan, dan digantikan dengan ladang-ladang pala.
 
Setelah Che Kota dan penduduk kampung yang lain menyedari diri mereka tidak bersalah diatas penentangan berdarah tersebut, mereka pulang untuk melihat rumah dan harta milik mereka, namun semuanya telah berada di tangan orang lain, dan tidak ada sehelai pun harta pusaka mereka yang tersisa. Pegawai yang sama mengusir mereka, kini memiliki hak sah atas harta tersebut dengan persetujuan rasmi daripada kerajaan negeri. Begitulah kelicikan pegawai SHTI (James Low) merampas tanah-tanah orang Melayu di Seberang Perai pada waktu itu.
 
Seandainya Siam tidak menyerang Kedah pada waktu tu, kemungkinan besar penentangan Tunku Sulaiman dan pengikutnya terhadap British di Seberang Perai akan berpanjangan, mungkin juga akan berlaku perang seperti Perang Naning, yang kebetulan berlaku pada tahun yang sama. Silap-silap hari bulan nasib James Low sama macam nasib Jww Birch di Perak.
 
#gspp #chekota #bukitpelanduk #bukitmerah #jameslow #tunkusulaiman #seberangperai #perangmusuhbisik #oamut

06 September 2023 - Sempadan 1831 (Sungai Muda - Sungai Perai)

Sempadan 1831 (Sungai Muda – Sungai Perai)
 
Draf sempadan Seberang Perai 1831 yang ditetapkan oleh Siam, menggunakan pokok sebagai penanda untuk menentukan sempadan wilayah. Draf ini dicadangkan kepada British selepas berakhirnya Perang Musuh Bisik fasa pertama (1831) sewaktu Tunku Kudin mengetuai angkatan pejuang Kedah. Garis sempadan yang ditetapkan ini merangkumi separuh bahagian utara dan timur wilayah Seberang Perai, bermula dari Sungai Muda hingga ke Sungai Perai.
 
Namun draf sempadan Siam yang menggunakan pokok ini kemudiannya telah diubah oleh British menjadi garis lurus. Mereka juga telah membina batu terat atau “boundary pillar” sebagai penanda awal sempadan di tebing selatan Sungai Muda. Dari sana, garis lurus sempadan ditarik menuju ke Sungai Perai, di mana sebuah lagi “boundary pillar” didirikan, di Sungai Dua.
 
Tujuan utama pembentukan sempadan ini adalah untuk mengawal laluan Sungai Korok dan Sungai Kereh, yang merupakan anak sungai yang menghubungkan Sungai Perai dan Sungai Muda. Laluan ini sangat penting pada masa itu kerana menjadi laluan utama bagi pejuang Kedah yang berkumpul di Kampung Kota untuk berulang alik ke Kedah. Pada masa tersebut, British telah mengawal dengan ketat laluan di Kuala Perai dan di laut, membuatkan laluan Sungai Kereh menjadi pilihan terbaik untuk menghindari pengawasan ketat British.
 
Pejuang-pejuang Kedah menggunakan laluan Sungai Kreh untuk ke Sungai Muda, dan dari sana mereka menyusup masuk ke wilayah sempadan Kedah dan melancarkan serangan terhadap pihak Siam yang menguasai Kedah ketika itu.
 
Daripada sumber lisan yang diperolehi, laluan Sungai Kereh ini juga menjadi laluan alternatif pedagang-pedagang dahulu. Apabila berlaku ribut di laut, mereka akan masuk dari Kuala Perai ke laluan ini dan menunggu sehingga ribut reda, kemudian keluar melalui Kuala Muda dan meneruskan perjalanan mereka.
 
p/s : Sungai Kereh sekarang penuh dengan t4ik b4bi Kampung Selamat.
 
#gspp #treaty1831 #seberangperai

05 September 2023 - Gajah Seberang Perai

Gajah at Seberang Perai
 
Elephants were plentiful in Province Wellesley at the time the British first took possession, and are still to be met with in the bordering forests. They are not nor does it appear that they were more largely used by the Malays in field labour or as beasts of burden, though it is said that the tin from the Patani and Perak mines is chiefly conveyed by these animals to the various depots.
 
They at one time formed an item of export to British India, the traffic having been carried on by the Coromandel native traders. The vessels used in the transport were constructed so that the planking of one side would open out or let down; these vessels were run some miles up the Prye river and moored in deep water close to the bank, the side was opened out and a broad planking sloped from the bank into the hold.
 
The elephants were enticed on to this planking, the extremity of which reaching on board was then suddenly lowered a little and the animals slid down into the hold. It is many years since this export stopped, and the demand in Siam is so great as to absorb all that are now reclaimed from the forests.
 
– John Cameron
 
#gspp #jalangajahmati

05 September 2023 - Badak Pulau Pinang

Patut dekat Sungai Bakap ada nama tempat Badak Mati, Sungai Badak Mati & Jalan Badak Mati. Dulu ni, awal abad ke 19 memang banyak badak di kawasan selatan Seberang Perai. Spesis badak ni dikenali sebagai badak sumbu kerbau, atau badak sumbu sumatera.
 
Spesies ini boleh ditemui di hutan tanah pamah sehingga ke hutan gunung dan kebiasaannya pada ketinggian 1000m dari aras laut, nama saintifiknya, Dicerorhinus sumatrenesis merupakan spesies badak yang terkecil di dunia. Kawasan taburannya dari kaki gunung Himalaya sehingga ke Myanmar, Thailand, Indonesia dan Malaysia.
 
#gspp #badakmati #sungaibakap #seberangperaiselatan

03 September 2023 - Kata-kata Oamut

“Gajah melambangkan kebijaksanaan, kerbau kejujuran, harimau keganasan, ular kelicikan, buaya ketamakan: jika semua sifat ini digabungkan pada manusia ia akan menjadi lebih berbahaya, berbanding gabungan kesemua binatang tersebut”
– #Oamut

02 September 2023 - Penambakan awal di Pulau Pinang 1909

Penambakan awal di Pulau Pinang.
 
Gambar setelah selesai kerja-kerja penambakan, kemudahan baharu seperti gudang dan jeti telah dibina. Church Street Pier dibina pada tahun 1897 untuk kapal yang lebih kecil seperti feri, manakala Bangunan Keretapi Tanah Melayu di seberang jalan telah siap pada tahun 1909.

01 September 2023 - Oamut

Oamut
 
Oamut (sebutan Inggeris), mungkin nama sebenar Ahmad. Salah seorang pejuang perang musuh bisik tahun 1838. Berasal dari Bukit Tengah, Seberang Perai. Pada awal tahun 1800 an, dia dan ramai lagi pemuda dari Pulau Pinang telah dibawa secara paksa ke Ceylon (Sri Lanka) untuk dijadikan askar British. Di sana mereka dilatih dan diserapkan ke dalam Ceylon Rifle Corp.
 
Semasa di Ceylon, Oamut banyak membantu British dalam usaha untuk mengurangkan pengaruh dan penentangan suku-suku di pedalaman Ceylon. Pada suatu ketika, dia juga telah menyelamatkan kaptennya yang tercedera semasa pertempuran, selama 3 hari dia menyembunyikan kaptenya di dalam hutan dan akhirnya berjaya membawanya keluar dengan selamat.
 
Dia berkhidmat di Ceylon selama 27 tahun, selepas mendapat pelepasan tanpa pencen, dia kemudian pulang ke Pulau Pinang untuk mencari ibu bapa dan saudaranya, namun mereka semua sudah tiada di situ, yang tinggal hanyalah tiang-tiang rumah ayahnya yang sudah reput.
 
Kecewa dengan keadaan tersebut, dia kemudiannya memasuki perkhidmatan polis, dan terlibat dalam operasi menangkap “lanun” yang terkenal bernama Che Mat. Diatas keberanian yang ditonjolkan itu, dia dilantik sebagai konstabel. Dia juga mempunyai pengaruh yang besar terhadap pegawai Syarikat Hindia Timur, James Low yang bertanggungjawab ke atas wilayah Wellesley (Seberang Perai) ketika itu.
 
Namun telah terjadi perselisihan diantara dia dan pegawainya, menyebabkan dia menamatkan perkhidmatannya bersama polis Syarikat India Timur. Dia kemudiannya menawarkan diri kepada Tunku Mohamad Saad, yang pada ketika itu sedang berperang untuk menghalau orang Siam keluar dari Kedah. Tugas baru beliau adalah melatih pejuang-pejuang di Seberang Perai, dan kemudian dia sendiri mengikuti ekspedisi ke Singora, dan Singora telah berjaya diambil alih oleh orang Melayu pada waktu itu.
 
Selepas kempen perang musuh bisik berakhir, dia kembali ke Seberang Perai dan menjadi pembantu kepada surveyor British iaitu J.T. Thomson yang menjalankan aktiviti survey di Pulau Pinang dan Seberang Perai.
 
Sumber info : J.T Thomson 1864
 
#gspp #ceylonriflecorp #perangmusuhbisik #oamut

31 Ogos 2023 - Tunku Abdullah ibn Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II

Tunku Abdullah ibn Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II
 
Rupanya Tunku Abdullah pernah duduk di Kg Kota lepas Perang Musuh Bisik (PMB) berakhir tahun 1839, waktu ni Kg Kota dah tak ada pemimpin selepas kematian Tunku Sulaiman pada tahun 1831, manakala Tunku Mohd Saad dikenakan hukuman buang daerah ke India pada tahun 1840 dan kembali semula ke Kg Kota tahun 1843.
 
Tunku Abdullah merupakan anakanda sulong Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II (SAT II) Beliau merupakan orang yang terawal dan watak penting semasa kempen PMB, menyertai kedua-dua siri PMB bersama Tunku Kudin (1831) dan Tunku Mohd Saad (1838)
 
Tahun 1836 SAT II dan pengikutnya telah ke Beruas dari Melaka, akibat melanggar arahan Inggeris supaya kembali semula ke Melaka, mereka telah diserang oleh Inggeris di Beruas, Tunku Abdullah mengalami kecederaan di kaki semasa serangan tersebut.
 
Pada tahun 1839, selepas pertempuran di Kota Kuala Kedah, Tunku Abdullah telah berundur ke Pulau Pinang, beliau mangkat pada tahun 1844/1845 akibat kecederaan di kakinya tidak sembuh. Pada tahun sama selepas kemangkatan Tunku Abdullah, ayahandanya Sultan Ahmad Tajuddin II juga mangkat akibat sakit usus.
 
Kemangkatan mereka menyebabkan Tunku Daei menaiki takhta Sultan Kedah pada tahun 1846 dengan memakai gelaran Sultan Zainal Rashid I.
 
#gspp #tunkuabdullah #kotaperai

30 Ogos 2023 - Bukit Inderamuda

We soon rose over the plain, and found ourselves on the top of a hill called Bukit Indra Muda, covered with clove trees and plantain gardens, the property of some enterprising Chinese settlers. Here we could scan the whole province from the Kerian to the Muda.
 
Selecting remarkable spots, I asked Oamut (Ahmad) whose they were. “That, “said he, “is Aur Gading, a nutmeg estate of the East India Company’s chief official; and that is the ferry station of Aur gading, the private property of the same official; and that is Bukit Jelutong, the coffee plantation of the same official; and that is Tulloh Ramis (Teluk Remis), the cocoanut estate of the same official, it extends from Bagan Luar to Tulloh (Teluk) Ayer Tawar.
 
Near six or seven miles; and that in the distance is Kota Aur, another private ferry of the same official, it commands the great northern road, by which all the population must pass; and that pretty hill to the south is Bukit Tamboon (Bukit Tambun), another nutmeg estate of the same official; and that low hill is Tasseh (Tasek) an intended sugar plantation of the same official.
 
– J.T Thomson (1838-1841)

27 Ogos 2023 - Kota dan Rumah Ngah Ibrahim

Kota dan Rumah Ngah Ibrahim
 
Kota Ngah Ibrahim, Matang, merupakan kawasan dan rumah kediaman Ngah Ibrahim anak kepada Che Long Jaafar, orang yang mula-mula menemui dan menerokai perusahaan bijih timah di Bukit Gantang Taiping, pada pertengahan kurun ke 19. Dengan penghasilan bijih timah ini Ngah Ibrahim telah menjadi kaya raya melebihi dari Sultan Perak sendiri. Sultan telah menganugerahkan gelaran Menteri Larut kepada Ngah Ibrahim.
 
Kemasukan kaum cina yang ramai telah mengakibatkan tertubuhnya banyak kumpulan kongsi gelap, antaranya kumpulan Ghee Hin dan Hai San. Kedua-dua kumpulan kongsi gelap ini sering bermusuhan. Begitu juga dengan Syarikat Hindi Timur Inggeris yang ingin campur tangan di Negeri Perak untuk memonopoli perniagaan bijih timah ini.
 
Atas ancaman-ancaman inilah, maka kota Ngah Ibrahim dibuat dengan kukuh. Tembok kotanya dibuat dari beberapa lapisan batu-bata setinggi lebih dari 3.5 meter, Rumah Ngah Ibrahim dibina betul-betul di tengah kota ini.
 
Pembinaan kompleks ini dipercayai siap pada tahun 1858. Kompleks Ini juga dijadikan sebagai pejabat dan tempat memungut cukai bijih timah di Jajahan Larut. Kota ini dihubungkan dengan Kuala Sepetang dengan jalan darat dan jalan terusan.
 
Rumah Ngah Ibrahim memainkan peranan penting dalam sejarah negeri Perak, khususnya selepas perjanjian Pangkor 1874. Sejak itu bermulalah penentangan pembesar-pembesar Perak terhadap British. Pada tahun 1875 berlaku peristiwa pembunuhan Residen British pertama di Perak, J.W.W. Birch.
 
Akibat dari peristiwa tersebut Ngah Ibrahim dihukum buang negeri dan Kota Ngah Ibrahim diambil alih oleh pihak British. Ia digunakan sebagai kediaman rasmi Kapten Tristam Speedy, Penolong Residen. Bagunan ini juga digunakan sebagai bangunan mahkamah untuk perbicaraan Datuk Maharajalela dan Datuk Sagor kerana tuduhan membunuh Residen British tersebut. Mereka didapati bersalah dan menjalani hukuman gantung di hadapan Kota Ngah Ibrahim pada 21 Januari 1877.
 
Pada tahun 1913-1922 bangunan rumah Ngah Ibrahim juga pernah dijadikan maktab perguruan yang pertama sebelum dipindahkan ke Maktab Perguruan Tanjung Malim, Perak. Pada 1923-1941 bangunan ini dijadikan sebagai Sekolah Melayu.
 
Kedatangan Jepun pada tahun 1941 kemudian telah menjadikan bagunan ini sebagai markas pertahanan tentera jepun sehingga tahun 1945. Selepas tamat perang dunia ke 2, bagunan ini kemudian dijadikan sebagai Sekolah Rendah Kebangsaan Matang sehingga ke akhir tahun 1970an.
 
Akhirnya pada tahun 1985 kawasan dan bangunan rumah Ngah Ibrahim ini dijadikan Pusat dan Pejabat Kompleks Sejarah Matang oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti.
 
#gspp #kotangahibrahim #matang #larut

26 Ogos 2023 - Makam Ngah Ibrahim

Makam Ngah Ibrahim
 
Ngah Ibrahim Bin Long Jaafar dilahirkan pada tahun 1837/1840. Bapa beliau Long Jaafar merupakan pembesar Bukit Gantang dan juga individu yang bertanggungjawab membuka lombong bijih timah di Klian Pauh (Taiping).
 
Beliau mangkat pada tahun 1895 dan jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Al Junid, Singapura, namun pada 9 September 2006, jenazah beliau telah berjaya dibawa pulang ke Perak dan dikebumikan semula di Kota Ngah Ibrahim, Matang, Taiping.
 
Usaha membawa balik jenazah telah disusun dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Jabatan Muzium dan Antikuiti, Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara dan beberapa badan sejarah termasuk kerajaan negeri Perak.
 
Setelah kematian bapanya Long Jaafar pada tahun 1857, pentadbiran Larut dikendali oleh bapa saudaranya, Ngah Lamat selama 2 tahun.
Ngah Ibrahim telah pergi mengadap Maharaja Johor iaitu Maharaja Abu Bakar, untuk mempelajari selok-belok pentadbiran dan kemudian kembali mengambil alih pemerintahan Larut.
 
Pada tahun 1863, Paduka Seri Sultan Jaafar mengurniakan gelaran Orang Kaya Menteri Sri Paduka Tuan kepada Ngah Ibrahim iaitu kedudukan Orang Besar Keempat dalam susunan pentadbiran Kerajaan Perak. Beliau juga dikenali sebagai Raja Larut dikalangan kelompok pegawai dan orang Eropah, manakala di kalangan orang Melayu, beliau dipanggil sebagai Tengku Menteri.
 
Kekayaan yang diraih melalui pungutan cukai hasil perlombongan bijih timah, hasil tanaman padi, tanaman kopi, buah pala, tebu, tembakau, bunga cengkih dan ubi kayu sesungguhnya berpadanan dengan statusnya sebagai seorang aristokrat Melayu terulung yang mendahului zamannya.
 
Beliau juga adalah orang yang bertanggung jawab membina jalan dari Matang ke Kelian Pauh (Taiping) serta masjid dan juga sebuah banglo di Pulau Pinang (Jalan Muntri). Beliau memiliki kapal perang berkuasa wap yang ditempah dari England iaitu S.S Indera Bayu dan S.S Bahtera Bayu serta pasukan polis terdiri daripada 110 orang yang diketuai oleh Kapten Speedy. Pasukan polis ini turut dilengkapi beberapa pucuk meriam Krupps buatan Jerman.
 
Kecekapan Ngah Ibrahim dalam pentadbiran daerah Larut khususnya telah menimbulkan rasa cemburu dan dendam di kalangan birokrasi penjajah di negeri Perak.
 
Sementelahan pula berlakunya peristiwa pembunuhan residen penjajah di Perak, kejadian ini diambil kesempatan oleh birokrasi penjajah untuk meminggirkan Ngah Ibrahim dari kekuasaan pentadbirannya di Larut dan Perak secara amnya telah menjadi titik tolak kepada perubahan riwayat kehidupan Ngah Ibrahim dan pembesar-pembesar Perak seterusnya.
 
Ekoran dari peristiwa itu Ngah Ibrahim akhirnya telah dijatuhkan hukuman dibuang negeri ke Pulau Seychelles pada 1877 dan dipindahkan ke Sarawak sebelum kembali ke Singapura dan meninggal dunia di sana pada 4 Februari 1895.
 
Sumber info : orangperak.com
 
#gspp #makamngahibrahim #taiping #matang #larut

18 Ogos 2023 - Makam Long Jaafar

Makam Long Jaafar
 
Semalam berkesempatan menziarahi makam Long Jaafar dan kaum kerabatnya di Bukit Gantang, Perak. Makam ini terletak di atas kawasan berbukit berhampiran dengan Masjid Jamek Bukit Gantang.
 
Sedikit maklumat sejarah mengenai Long Jaafar. Long Jaafar, pada mulanya merupakan seorang pedagang dan pembesar Melayu, yang dilantik oleh Sultan untuk memungut cukai daripada hasil penanaman padi di wilayah utara Perak (Kerian & Kurau) berdekatan dengan selatan Seberang Perai.
 
Wilayahnya kemudian telah berkembang ke selatan setelah beliau membuka sejarah baru dalam perusahaan perlombongan bijih timah di daerah Larut, pada tahun 1848. Pada waktu itu kebanyakan lombong-lombong diusahakan oleh orang Cina dari Pulau Pinang. Long Jaafar menerima cukai atau royalti ke atas bijih timah tersebut dan mendapat geran secara bertulis untuk seluruh daerah Larut daripada Sultan Jaffar, yang kemudiannya diperbaharui oleh Sultan Ali.
 
Long Jaafar kemudiannya menemui sebuah lagi kawasan baharu yang kaya dengan bijih timah di Kelian Bharu (Kamunting). Ia menjadikan Larut berkembang dengan pesat dan Long Jaffar dianggap sebagai pengasas perkembangan bandar Taiping dan seorang jutawan bijih timah.
 
Beliau meninggal dunia pada Ogos 1857.
Selepas kematiannya, wilayah Larut yang terletak di antara Sungai Kerian dan Sungai Kecil yang dipanggil Sungai Tinggi di utara Beruas, telah beralih kepada saudaranya Ngah Lamat, wilayah Kerian dan Bagan Tiang kepada saudaranya Che Mohamad Ali dan Kurau kepada Penghulu Raja Muda.
 
Pada waktu itu anakandanya Ngah Ibrahim baru berumur 19 tahun. Kemudian setelah Ngah Ibrahim meningkat dewasa, seluruh wilayah Larut dan kekayaan Long Jaffar telah diwariskan kepadanya.
 
Info: Penang Gazette 1860
 
#gspp #Longjaffar #Larut

18 Ogos 2023 - Lebai Deraman & To' Dahaman adakah orang yang sama?

17 Ogos 2023 - Kesetiaan Tunku Sulaiman (Raja Perai)

Kesetiaan Tunku Sulaiman (Raja Perai)

Tunku Sulaiman, walaupun diasak dan ditekan oleh Siam dan British semasa zaman Perang Musuh Bisik (1831), namun ia sesekali tidak menggugat kesetiaan kepada kekandanya, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II.

Mengkalau kata dia tunduk dan pro Siam pada waktu tu, selepas perang kemungkinan wilayah Perai akan diserahkan kepada beliau sama macam wilayah-wilayah Kedah yang telah dipecahkan oleh Siam pada waktu tu, dan Perai akan menjadi sebuah negeri yang berasingan seperti, Perlis, Setol dan Kubang Pasu (serah balik pada kedah tahun 1864), Namun kerana kesetiaannya kepada Sultan, malah turut terlibat sama dengan perang, perkara tersebut tidak berlaku.

Terlalu banyak pengorbanan Tunku Sulaiman. Untuk mempertahan negeri Kedah itu sendiri, dia sanggup kehilangan wilayahnya, dipenjarakan dan disiksa oleh Siam sehingga dirinya terkorban. Inilah harga sebuat kesetiaan yang sejati. Bila terkenang balik kisah dia, sedih pun ada. Alfatihah buat Tunku Sulaiman ibn Sultan Abdullah Mukarram Shah.

#GSPP #TunkuSulaiman #KotaPerai #SeberangPerai

02 Ogos 2023 - "Tok Nador Berkajang Kain"

“Tok Nador Berkajang Kain”
 
Salah satu peribahasa melayu yang digunakan oleh orang di sebelah utara, yang bermaksud zaman dahulu kala atau ketinggalan zaman. Dari mana datangnya peribahasa ini?
 
Dulu admin pernah bagi pendapat kemungkinan Tok Nadur yang dimaksudkan ialah Francis Light, memandangkan dulu pembesar-pembesar melayu menggelar beliau sebagai Dato’ Guanador atau Gabenor. Dari perkataan Guanador menjadi Nador/Nadoq. Asal perkataan Guanador pula dipinjam dari perkataan Portugis, iaitu Governador.
 
Namun kalau merujuk kepada pendapat yang lain, Tok Nador atau Tok Nadoq ni, ia merujuk kepada pedagang yang berniaga di pulau pinang pada masa dulu, dan ada juga pendapat mengatakan Tok Nador ni ialah Major Nador Khan, sepoy British, orang yang membina masjid kapitan keling, tapi apa kaitan pula dengan berkajang kain?
 
Kajang bermaksud sesuatu benda yang dijadikan atap atau pelindung dari panas. Kalau merujuk kepada pendapat tersebut, Tok Nador berkajang kain dimaksudkan sebagai Tok Nador berkhemah kain, tapi macam tak berapa kena dengan maksud tu, depa nak berkhemah kain untuk apa.
 
Jadi admin berpendapat bahawa kajang kain tersebut bukanlah khemah, tapi payung yang diperbuat daripada kain. Dan ia digunakan oleh Dato’ Guanador atau Francis Light pada waktu itu, memandangkan cuaca di Pulau Pinang panas dan orang Eropah belum terbisa dengan cuaca di sini mereka menggunakan payung untuk bergerak kemana-mana.
 
Kemungkinan itulah asal kepada peribahasa “Tok Nador Berkajang Kain”, dan bukanlah pedagang atau Nador Khan berkhemah kain, dan maksud zaman dahulu kala tersebut merujuk kepada zaman awal kedatangan British di Pulau Pinang.
 
#gspp #toknadoq #pulaupinang #francislight

31 Julai 2023 - Wilayah Pantai Barat Siam, Kedah, British, Perak & Selangor tahun 1835.

Wilayah Pantai Barat Siam, Kedah, British, Perak & Selangor tahun 1835.
Sebelah Seberang Perai :
1. Bukkah – Kuala Bekah
2. Jooroo – Juru
3. Batu Kawan
4. Changkat Kalidang – Changkat Kledang
5. Prye – Perai
6. Junjong – Kuala Junjong/Jawi
7. Tongar – Bukit Tengah
8. Krian – Kerian/Nibong Tebal

25 Julai 2023 - Makam Purba Pulau Aman (Pulau Gedung)

Makam Purba Pulau Aman (Pulau Gedung)
 
“This island is noted for a number of local saints or kramats. To name a few, they are Kramat To’ Janggut, Kramat Batu Payung, all these and other on such a little island”.
 
– Morning Tribune, 24 September 1947,

24 Julai 2023 - Eksplorasi jejak makam Pulau Gedung kali ke-2

Eksplorasi jejak makam Pulau Gedung kali ke-2 (24/7/2023).
 
Puas keliling pulau hari ni, terdapat banyak gua-gua di sebelah barat pulau, ada lebih kurang 5 hingga 6 gua, atau lebih lagi. Antara gua yang terkenal ialah Gua Perompak. Tak jauh dari gua tersebut ada struktur batu kawi besar di tebing pulau dikenali sebagai Batu Perompak. Dari atas batu perompak ini juga, kita dapat lihat struktur muncung kapal lama yang dipercayai telah karam di kawasan pulau ini suatu masa dahulu.
 
Walaupun, masih belum berjaya menjejaki makam di pulau ni, kami tetap berpuas hati dapat eksplorasi Pulau Gedung kali ni, habis keliling bawah pulau, kami naik pula ke puncak, naik bukit turun bukit, namun belum jumpa kesan-kesan makam tersebut. Insyaallah kalau ada rezeki kita mai lain nanti.
 
#gspp #makam #pulaugedung #pulauaman

20 Julai 2023 - Makam Tak Bernisan, Kampung Bukit Indera Muda, Seberang Perai Tengah

Makam Tak Bernisan
Terletak di Kampung Bukit Indera Muda, Seberang Perai Tengah. Timbunan tanah dan batu yang dipercayai makam ini terletak di dalam kawasan berpagar milik Jabatan Pengairan dan Saliran.
Tidak diketahui pemilik makam ini, memandangkan tiada batu nisan pada makam tersebut, kemungkinan nisan diubah, atau nisan kayu yang telah reput, namun penduduk tempatan dan pekerja JPS mengatakan bahawa timbunan ini merupakan makam, dan telah lama wujud di situ.
Ada pendapat mengatakan makam ini ada kaitan dengan nama Indera Muda, kemungkinan pembesar atau penghulu dari kesultanan Kedah dahulu, yang membuka Kampung Bukit Indera Muda ini.
Wallahualam..
Kepada orang Bukit Indera Muda yang ada info pasal makam ni boleh PM admin.
P/s : Nama Kampung Bukit Indera Muda telah ada di dalam peta Seberang Perai tahun 1831 dan terletak berdekatan dengan Kampung Kota.
#gspp #bukitinderamuda #makam

18 Julai 2023 - Sejarah Masjid Aceh (Masjid Lama), Ara Kuda, Seberang Perai Utara

Sejarah Masjid Aceh (Masjid Lama), Ara Kuda, Seberang Perai Utara
 
Masjid Aceh di Ara Kuda dipercayai dibina oleh orang-orang Aceh yang tinggal di Ara Kuda pada waktu dulu, namun sebelum ini, tidak diketahui lebih lanjut sejarah dan kaitannya dengan orang Aceh.
 
Setelah dibaca rekod dalam Penang Gezzet barulah diketahui asal usul orang Aceh di Ara Kuda.
 
Sebelum tahun 1888 British bergantung kepada Negeri Aceh untuk bekalan lada, jadi untuk mengurangkan kebergantungan mereka pada Aceh, pada tahun 1888 British telah cuba untuk tanam ladanya sendiri dan membawa penduduk Aceh untuk membuka ladang-ladang lada di Pulau Pinang.
 
Antara kawasan yang ditanam dengan lada pada waktu tu ialah di Pulau Rimau, Bukit Dumbar, Bukit Erskine dan Ara Kuda di sebelah Seberang Perai. Bayaran premium serta sewa dikenakan ke atas setiap ladang yang dibuka.
 
Ramai penduduk Aceh tinggal di Ara Kuda pada waktu tu, dan sebuah masjid telah dibina di situ, dan dikenali sehingga kini sebagai Masjid Aceh. Menurut sumber dari Hj Dahlan Fadzil, masjid ini dibina oleh ahli perniagaan/hartawan Aceh, kemungkinan hartawan yang dimaksudkan adalah taukeh ladang lada di situ pada waktu tersebut.
 
Namun pada masa kini masjid tersebut tidak lagi digunakan, selepas masjid baru, iaitu Masjid Jamek Ara Kuda dibina tidak jauh dari lokasi Masjid Acheh ini. Pada tahun 2020 bagunan masjid ini diserahkan kepada pihak Madrasah Darul Ma’arif untuk dijadikan sebagai Pusat Pengajian Tahfiz dan telah mula beroperasi pada bulan Mei tahun ini.
 
#gspp #masjidaceh #arakuda #seberangperqi

16 Julai 2023 - Menjejak Makam Lama Pulau Gedong @ Pulau Aman

Menjejak Makam Lama Pulau Gedong @ Pulau Aman, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.
 
Hajatnya nak cuba jejak makam purba di Pulau Aman, namun belum rezeki nak jumpa makam tu, apa-apa pun terima kasih pada sahabat kita, Saudara Yusuf ank jati Pulau Aman yang banyak bagi info pasal Pulau ni.
 
Selain makam, ada banyak lagi tinggalan sejarah di Pulau Aman, antaranya gedung peluru di Pulau Gedung, bersebelahan dengan Pulau Aman. Gedung ini dibina pada tahun 1901, namun kalau kita tengok pada peta tahun 1897, gedung ini telah pun ada, dan ditanda sebagai Dynamite Station.
 
Dynamite station ni dipercayai dibina untuk menyimpan bahan letupan, untuk kegunaan kuari di sebelah utara Pulau Gedong, yang telah wujud sekitar tahun 1870.
 
P/s : Nama lama Pulau Aman ialah Pulau Kra ditukar kepada Pulau Aman pada tahun 1949.
 
#gspp #pulauaman #pulaugedung #pulaupianang

14 Julai 2023 - Kampung Kubu / Kampung Kota, Seberang Prai 1853

Kampung Kubu / Kampung Kota
Seberang Prai 1853
 
“The preparations of the Kedah Chief for his expedition to Perak proceed slowly, not only at Kedah, but at Kubu, a place a short distance inland of Kotah. A small body of Siamese from Ligor have lately joined him, and this not only shows that Tunku Daei’s intervention in the Perak civil war has the sanction of the King of Siam, but leads us to infer that his designs go beyond merely assisting one of the parties against the other.”
 
“I am directed by the Officiating Governor to request that you immediately adopt measures for obtaining accurate intelligence regarding the assembly of any armed force on the frontiers of the Province, destined to interfere with the neighboring country of Perak”
 
Hebat noh orang Seberang Perai, habis perang di Kedah 1842, tahun 1853 p perang di Perak pulak.
 
Kalau baca dalam penang gazette, tindakan Tunku Daie (Sultan Zainal Rashid I) pada tahun 1853 ni adalah percubaan Kedah untuk mendapatkan kembali wilayah Kerian, (kawasan selatan Sungai Kerian hingga ke Sungai Kurau). Bantuan ketenteraan dari Kedah dan Seberang Perai dihantar kepada Sultan Perak pada waktu tu dengan harapan, sebagai balasan, Sultan Perak akan mengembalikan Daerah Kerian kepada Kedah. Namun usahanya tidak berjaya.
 
Tahun 1853-1857 ni, berlaku perang saudara, perebutan takhta diantara Sultan Abdullah Muhammad Shah I Perak dan Raja Ngah Jaafar (pada masa itu Raja Muda), berikutan perang saudara tersebut Sultan Abdullah telah dikalahkan yang membawa diri ke istananya di Durian Sebatang. Pada tahun 1857 Raja Ngah Jaafar ditabal sebagai Sultan Perak yang baru dikenali sebagai Sultan Ja’afar Safiuddin Mu’adzam Shah ibni al-Marhum Raja Kechil Tengah Ahmad, Sultan Perak ke-23.
 
#gspp #kampungkubu #seberangperai #kampungkota #kotaperai

14 Julai 2023 - Wajah baru Makam Diraja Kampung Kota.

Wajah baru Makam Diraja Kampung Kota, Seberang Perai, Pulau Pinang.

11 Julai 2023 - Naratif British terhadap pejuang-pejuang Melayu

Naratif British terhadap pejuang-pejuang Melayu
 
Singapore Free Press 1837
 
Terjemahan:
“Beberapa hari yang lalu, sebuah bot bersenjata di Sungai Perai cuba memasuki laluan melepasi Thana (Balai) Polis di sempadan berhampiran dengan Pos Siam di Kotah (Kampung Kota), tetapi ditentang oleh Polis di situ dan dihalau ke arah sungai kecil, di mana kumpulan mereka berpecah, meninggalkan bot dan beberapa senjata, bukti yang jelas, menunjukkan mereka adalah lanun.
 
Kami telah diberitahu bahawa Majistret tempatan, Kapten Low, segera pergi ke tempat kejadian, tetapi tidak dapat menemui sebarang jejak mereka. Sejak penyingkiran Tunku Sulaiman (adik bekas Sultan Kedah) dari Kotah, tempat itu telah diduduki oleh kumpulan perompak, dan disebabkan Sungai Perai yang sangat lebar, tidak ada apa-apa yang menghalang mereka untuk turun pada waktu malam dan merosakkan pelabuhan kami di sepanjang kedua-dua belah tebing sungai.
 
Kami berharap pihak berkuasa tempatan di Province Wellesley akan berbincang dengan Ketua-Ketua Siam mengenai perkara ini, walaupun kami mengesyaki mereka tidak akan bersedia untuk menyokong usaha kami untuk memusnahkan kumpulan perompak tersebut, yang jelas telah mendapat manfaat dari ekspedisi mereka.”
 
Kalau ikut laporan British dan naratif depa, orang-orang yang menentang dan tak ikut undang-undang depa digelar lanun, namun harus diingat bahawa orang-orang inilah yang berkumpul di Kampung Kota (Kotah) dan pergi berperang bersama-sama angkatan Tunku Mohamad Saad pada tahun 1838 di Kota Kuala Kedah, dan ramai yang terkorban di sana.
 
P/s : Catatan dari British memang berguna, tapi kita sebagai orang melayu kena paham mengikut naratif kita, jangan percaya bulat-bulat apa yang ditulis.

02 Julai 2023 - Rancangan Serangan Siam ke atas Pulau Pinang

Rancangan Serangan Siam ke atas Pulau Pinang.
 
Rupanya sebelum tahun 1826, Raja Ligor pernah merancang untuk menyerang Pulau Pinang, pada waktu tersebut perjanjian Burney belum dimetrai. Perkara ini didedahkan oleh perisik Siam yang ditangkap British pada waktu itu. Serangan tersebut bertujuan untuk menangkap Sultan Ahmad Tajuddin II yang berlindung di Pulau Pinang ketika itu.
 
Terdapat beberapa strategi yang telah mereka rancang untuk membuat serangan tersebut, salah satunya menggunakan angkatan tentera dari laut dan darat.
Dikatakan akan ada dua pasukan, darat dan laut yang akan melakukan serangan tersebut. Sebanyak 200 buah perahu telah dikumpulkan, mereka akan menyerang Pulau Pinang di beberapa kawasan secara serentak. Pasukan terbesar akan mendarat berhampiran Tanjung Tokong (Pulau Tikus), dan yang lain akan mara ke Telok Ayer Raja, iaitu pantai di bahagian utara pulau, beberapa pasukan akan menyerang di sebelah Balik Pulau dan beberapa pasukan lagi di Sungai Keluang.
 
Seramai 4000 tentera akan datang melalui jalan laut, dan pada masa yang sama seramai 4000 orang tentera akan datang dari darat melalui Kuala Muda dan akan turun secara mengejut di Perai, seterusnya membakar kawasan Perai. Keadaan akan menjadi huru hara pada waktu tersebut, dan kesempatan itu, mereka akan merampas semua bot yang datang ke situ pada waktu malam. Semua rumah-rumah atap akan dibakar. Orang Cina di Pulau Pinang juga dijangka akan menyertai serangan mereka ini.
 
Mereka menjangkakan serangan ini akan membuatkan orang Inggeris melarikan diri ke atas kapal dan sebahagian lagi akan melarikan diri ke arah bukit. Pasukan dari pantai bertentangan (Perai) akan mengambil alih Kubu British. Risikan Siam juga memaklumkan bahawa, pasukan Sepoy berada di lokasi yang agak jauh dari tempat serangan. Oleh itu, satu pasukan akan dikerahkan untuk menghalang kedatangan Sepoy ke bandar, sementara pasukan dari Perai mengambil alih Kubu dan pasukan lain yang terlibat, membakar rumah-rumah di sekitar bandar.
 
Mereka juga berfikiran bahawa jika pasukan Sepoy berjaya masuk ke bandar, mereka tidak akan dapat membezakan orang Siam dan orang Melayu, oleh itu pasukan Sepoy akan teragak-agak untuk menyerang pasukan Siam. Dalam kekalutan tersebut satu pasukan akan menyerbu dan memecahkan pintu kediaman Sultan Kedah dan melarikannya bersama dan seberapa ramai wanita dan barang-barang berharga yang mereka boleh rampas.
 
Namun rancangan serangan Siam ini akhirnya diketahui British, setelah beberapa perisik mereka berjaya ditangkap, dan rancangan serangan tersebut tidak dapat dilaksanakan. Ramai perisik Siam pada waktu itu tinggal di Pulau Pinang, dan mereka ini terdiri dari berbagai kaum, Siam, Cina, India peranakan dan ada juga dari kalangan orang Melayu sendiri, yang mana keluarga mereka masih berada di Kedah dan menerima ancaman dari Siam.
 
Setelah perjanjian Burney dibuat pada tahun 1826, tiada lagi ancaman Siam di Pulau Pinang. Sultan Ahmad Tajuddin II berpindah ke Telok Ayer Tawar di Seberang pada tahun 1827, kemudiannya pada tahun 1830 baginda kembali ke Pulau Pinang, dan akhirnya pada tahun 1832, selepas serangan Tunku Kudin di Kedah, SATII dipindahkan ke Melaka.
 
Sumber rujukan : Burney Papers Vol II

12 Jun 2023 - Batu Terat atau Frontier pillar treaty 1869

Batu terat atau Frontier pillar treaty 1869, batu ke 5 berjaya dikesan, yang ni batu dekat area Sungai Lembu, jalan nak ke Kampung Keladi, Kulim. Tak jauh dari signbord sempadan Penang-Kedah.
 
Kalau berdasarkan peta, ada 29 ketoi batu ni di sepanjang sempadan, bermula dari Ekor Kuching (utara) sampai ke Bukit Panchor (Selatan). Sebelum ni yang berjaya dikesan ada 4, iaitu di Kampung Lalang, Sungai Lembu, Tasek Junjung dan Bukit Panchor.
 
Kita akan cuba jejak di lokasi yang lain-lain, tapi agak mencabar jugak, sebab kebanyakan dok dalam hutan ataupun tanah persendirian. Tak jauh dari batu 1869 ni ada batu kecil, batu sempadan persetujuan Kedah Pulau Pinag 1912.
 
Kalau nk tau pasai treaty 1869 boleh baca balik posting dulu yang admin pernah tulis :
#Gspp #batuterat #treaty1869 #seberangperai

24 May 2023 - Kerja-kerja naik taraf makam Kampung Kota

Kerja-kerja naik taraf makam Kampung Kota, kemungkinan ada perancangan Sultan Kedah akan mai ziarah nanti.
 
Apa-apa pun terima kasih kepada Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah di atas usaha untuk menaik taraf Makam Diraja Kampung Kota ni, seterusnya memelihara warisan sejarah Seberang Perai.
 
#gspp #makamkampungkta #Tunkusulaiman #kotaperai

23 May 2023 - Perang Kulim 1888

Perang Kulim 1888
Semalam admin ada share satu artikel berkenaan dengan Perang Nyonya Cantik atau Perang Kulim. Artikel tu ditulis di dalam akhbar Berita Harian tahun 1871, dan ia ditulis berdasarkan sumber lisan penduduk tempatan pada waktu tu dan juga Tok Ali, individu yang dikatakan hidup semasa zaman perang tersebut, yang berusia 140 tahun pada tahun 1971 tu.
 
Ada beberapa perkara yang kurang tepat dalam artikel tersebut, antaranya tahun peristiwa tu berlaku, al maklumlah sumber lisan ni, biasalah ada perkara yang kurang tepat dan ditokok tambah, macam buaya keramat apa bagai tu.
 
Untuk posting kali ni kita cuba buat “crosscheck” dengan sumber bertulis dari British pulak. Dalam catatan Pinang gazette and Straits chronicle, peristiwa ni berlaku pada tahu 1888, bukan tahun 1880 seperti yang ditulis dalam artikel tersebut.
 
Pergaduhan atau perang ini berlaku di antara penduduk bangsa Cina dari suku Hui Chew dan Teo Chew. Ada beberapa pendapat mengenai punca persengketaan dua puak ni, ada pendapat mengatakan pergaduhan berpunca di rumah pelacuran, berebut nyonya cantik, tapi ada juga laporan yang menafikan perkara ini, sebaliknya menyatakan pergaduhan terjadi kerana 300 orang pelombong Cina telah dipecat oleh majikan mereka kerana tak mampu untuk membayar gaji. Akhirnya pelombong-pelombong ni menyerang dan merompak beberapa kongsi di sana.
 
Namun apa pun puncanya, yang pasti, ia adalah disebabkan oleh perbezaan budaya dan cara hidup diantara dua suku ni dan juga persaingan ekonomi di antara mereka. Suku Hui Chew ni pelombong bijih timah, pendatang yang datang dari lombong di Larut, manakala suku Teow Chew pula memang dah lama duduk di Kulim, depa ni kebanyakannya petani, tanam ubi kayu, dan ada juga yang jadi pelombong.
 
Ada catatan menyatakan, pada 15 Mei 1888, satu pergaduhan telah berlaku di sebuah rumah pelacuran, di antara pelombong suku Hui Chew dan suku Teow Chew. Namun suku Hui Chew lebih ramai pada waktu tu, dan mereka telah berjaya mengalahkan puak Teow Chew.
 
Pada hari berikutnya, keadaan menjadi lebih serius, pelombong-pelombong dari kongsi gelap Gee Hin juga turut serta di dalam pergaduhan tersebut, dan mereka ni telah berpihak kepada suku Teow Chew, hal ni telah menyebabkan tercetus balik pergaduhan di antara mereka. Ada beberapa individu cuba untuk menyelesaikan pergaduhan tersebut, tapi kedua-dua belah pihak enggan mengalah.
 
Selepas daripada itu, Lau Tsoo, ketua kongsi gelap Gee Hin di Kulim, panggil kedua-dua pihak bertemu di hadapannya, dan cuba untuk mendamaikan mereka, namun mereka terlalu beremosi, sehingga menyebabkan Lau Tsoo, hilang kesabaran, dia terus menghempaskan paipnya ke tanah dan berkata; ” jika kamu tidak mahu menyelesaikan, maka berlawanlah”.
 
Akibatnya, rusuhan pun bermula. Puak Hui Chew memiliki senapang dan peluru, mereka serang dan kejar puak Teow Chew yang tidak berdaya dan menyebabkan puak Teow Chew melarikan diri ke dalam hutan. Empat orang puak Toew Chew telah dipenggal kepala mereka dan ada juga yang dibakar.
Tunku Mohamed Saad (DO Kulim) dan Penghulu Elang pada waktu tu, telah melakukan pelbagai usaha untuk menyelesaikan pertelingkahan ini. Satu pertemuan dibuat dengan ketua-ketua puak yang bertelagah ini, namun usaha mereka juga tidak berhasil.
 
Malah ketua puak Hui Chew, yang bernama Low Chew, bukannya menahan anak buah dia dari berperang, malah menjadi batu api, mendorong mereka untuk menyerang puak Teo Chew habis-hanisan. Pada hari Isnin, 4 haribulan, sejumlah besar puak Hui Chew, yang dipimpin oleh Low Chew sendiri, melakukan serangan terhadap pelombong Ng Siang Hok dan Cheah Tek Taie.
 
Puak Teo Chew cuba bertahan di dalam parit-parit tanah yang dibuat dengan tergesa-gesa, tetapi setelah pertempuran singkat, mereka telah dikalahkan dan berundur. Sekitar 20 hingga 30 orang terbunuh dan selebihnya melarikan diri. Lombong-lombong milik puak Teow Chew kemudiannya dihancurkan dan dibakar, malah pondok-pondok di kebun milik puak Teo Chew juga kemudian dibakar.
 
Selepas pada tu, tak ada lagi puak Teow Chew yang tinggal di Kulim. Mereka semua melarikan diri ke wilayah Inggeris dan membiarkan puak Hui Chew berkuasa di Kulim. Namun, kebanyak dari puak Teow Chew, mereka ingin kembali semula ke Kulim, dan jika mereka kembali, pertempuran baru pasti akan berlaku.
 
Untuk mencegah kejadian yang lebih buruk berlaku British menghantar Resident Councillor W. E. Maxwell dari Dinding ke Kulim bersama dengan Assistant Protector of Chinese, Mr Powell, District Officer, Mr. Capper, and Chief Inspector Mackenzie mewakili Polis.
 
Selepas menginap semalaman di Bukit Mertajam, mereka pergi ke Kulim pada hari berikutnya. Di sempadan mereka disambut oleh pengawal Sikh bersenjata dan menemani mereka ke sebuah kampung di Kulim. Jalan-jalan di situ dikawal oleh orang Melayu yang bersenjata.
 
Di sebuah rumah berdekatan pintu masuk kampung, mereka menemui Sultan dan Tunku Yaakob (Raja Muda). Pekan Kulim sunyi, tetapi di sekelilingnya masih terdapat tanda-tanda kekecohan yang terjadi baru-baru ini: parit pertahanan, rumah-rumah kongsi yang terbakar, dan terdapat mayat di beberapa tempat.
Kebiasaannya, sebelum ini hanya terdapat beberapa orang Melayu yang menjaga Kulim di bawah Tunku Mohamed Saad dan Penghulu Elang. Namun pada waktu tu terdapat kira-kira 1000 orang lelaki bersenjata di kawasan tersebut. Selepas meninjau keadaan semasa di Kulim, mereka berbincang mengenai hal tersebut dengan Sultan dan Tunku Yacob, Tuan Maxwell dan rombongannya meninggalkan Kulim pada petang Isnin, dengan diiringi oleh Sultan, dan pada malam itu juga Tuan Maxwell pulang ke Pulau Pinang.
 
Selepas meninggalkan Kulim, Sultan mengamati perkembangan Kulim dari Pulau Pinang. Pihak bekuasa Kedah perlu mendamaikan pertelingkahan diantara dua puak ini, mereka harus dihukum dengan tegas, dan menyita senjata dari semua orang Cina di tempat tersebut.
 
Sejumlah besar anggota pasukan Sultan Kedah telah dihantar. Setiap hari mereka melalui Pulau Pinang untuk ke Kulim, mereka diiringi tanpa senjata, oleh polis Negeri Selat di Jalan Bahru dan Bukit Mertajam ke sempadan. Dianggarkan sekitar 500 hingga 600 orang telah pergi ke sana, sejak tercetusnya peperangan tersebut, dan sekarang terdapat sekitar 1500 orang Melayu dan Sikh di Kulim.
 
Kekacauan yang berlaku begitu dekat dengan perbatasan sempadan Inggeris, hal tersebut amat berbahaya dan menjadi ancaman bagi penempatan Inggeris. Oleh yang demikian beberapa Pos polis telah didirikan di tiga tempat di perbatasan, iaitu di Machang Bubok, Pagar Tras, dan Tassek, dan 12 orang, Sikh dan Melayu, ditempatkan di pos masing-masing.
 
Selain itu, sistem pasport juga telah diperkenalkan, Inggeris juga merancang untuk membina sebuah stesen telegraf di Bukit Mertajam, dan akan menghubungkan Machang Bubok dengan komunikasi telefon, Sultan dikatakan bersedia untuk melanjutkan jalur telegraf hingga ke Kulim.
Dengan keberadaan Tunku Yakob bersama sejumlah besar pasukan bersenjata di bawah arahannya, ia telah dapat meredakan kekacauan di Kulim. Beliau mendirikan dua buah kubu pertahanan atau benteng kecil, di setiap hujung pekan, kubu tersebut mampu menampung 150 orang setiap satu.
Akhirnya pasukan dari puak Hui Chew menyerah diri kepada pasukan Tunku Yaakob dan Sultan. Dengan tertangkapnya orang-orang Hui Chew ini keadaaan di Kulim telah dapat dipulihkan semula setelah hampir sebulan berada dalam kacau bilau.
 
Pada 16 Jun 1888, puak Teo Chew mulai pulang ke Kulim. Manakala puak Hui Chew pula dibawa ke Alor Setar untuk dibicarakan, dan hukuman ke atas mereka diputuskan pada tahun 1889.
 
Loh Chew bernasib baik kerana dia hanya dikenakan hukuman penjara berantai sampai mati bersama Chu Ah Yu. Manakala tiga orang lagi iaitu Ang Lee, Ah Ngee dan Teow Fatt telah dikenakan hukuman bunuh. Baki lagi sebelas orang dihukum penjara sampai mati tanpa dirantai.
 
Sumber info : Pinang gazette and Straits Chronical 1888 & Kedah Selepas Perang Kulim
 
#gspp #perangkulim

22 May 2023 - Perang "Nyonya Chantek" Kulim

Perang “Nyonya Chantek” Kulim
Berita Harian, 5 Januari 1971
Alias Puteh
 
Satu perang yang memakan lebih dari 100 jiwa yang dikenali dengan “Perang Nyonya Chantek” telah berlaku di kawasan bandar Kulim di Kedah kira-kira tahun 1880-1881.
 
Ketika itu bandar Kulim lebih dikenal dengan panggilan ‘Pekan Kepala Batas’ dan penduduknya pula adalah terdiri dari orang-orang Cina yang bekerja di lombong-lombong di situ. Menurut cerita yang dinyatakan kepada saya oleh Enche Basir bin Husain, 65 tahun, berasal dari Kampong Ayer Merah, Kulim, orang-orang Cina pada masa itu mempunyai dua puak “kumpulan haram” yang menguasai tuan2 punya lombong bijih di sekitar Pekan ‘Kepala Batas’ (Kulim) itu. 2 Kumpulan “Kumpulan-kumpulan haram” ini menggunakan cara ‘peras ugut’ untuk mendapatkan wang dari taukeh-taukeh yang mempunyai lombong-lombong bijih disitu. Sekiranya taukeh-taukeh ini enggan memberikan wang perlindungan, maka orang-orang dari kumpulan haram yang meminta wang itu akan merosakkan harta benda taukeh-taukeh itu dan mengugut keselamatan pekerja2 lombong yang berkenaan,” kata Enche Basir.
 
Kumpulan haram ini adalah terdiri dari dua kumpulan yang besar iaitu Kumpulan Puteh yang mengandungi puak-puak China keturunan Teochew dan Khek. sementara yang satu lagi ialah Kumpulan Merah yang terdiri dari puak-puak Makau dan Kongfu.
 
Kumpulan Merah mengawal di sekitar kawasan Utara Pekan Kepala Batas (Kulim) dan Kumpulan Puteh pula mengawal di kawasan Selatan pekan itu. Enche Basir yang mendengar cerita ini dari orang tuanya pada zaman beliau masih anak-anak lagi meneruskan kesahnya.
 
Punca-Punca Perang ini selain dikenal dengan nama Perang Nyonya Chantek, adalah dikenal dengan Perang “Merah-Puteh” yang melibatkan dua kumpulan tersebut.
 
Perang yang dimaksudkan disini bukanlah bermakna perang yang melibatkan beratus-ratus orang dan mengambil masa berbulan-bulan tetapi perang ini lebih merupakan pertempuran-pertempuran kecil yang berlaku sekali sekala dan kisah pertempuran ini pun sangat lambat untuk sampai kepada pihak berkuasa Negeri Kedah di Alor Setar samasa itu.
 
Maklumlah Negeri Kedah pada masa itu belum ada lagi jalan-jalan yang baik, cuma perhubungan yang dapat dilakukan ialah dengan menggunakan perahu atau tongkang melalui sungai dan berjalan kaki sahaja, jelas Enche Basir lagi.
 
Menurut beliau, punca perang ini berlaku adalah berkisar dari perebutan dua kumpulan ini untuk menguasai rumah-rumah “Loh Kee'” atau “sarang-sarang persundalan”, yang pada zaman itu begitu banyak sekali di sekitar kawasan pekan tersebut.
 
“Persundalan” pada masa itu di pekan ini begitu berleluasa sekali kerana kira-kira 8 atau 9 buah rumah-rumah ‘persundalan’ atau Loh Kee ada di pekan itu dan hitung panjang sebuah rumah mempunyai dari 15 hingga 20 orang pelacur!
 
Anak-anak gadis terutamanya yang berumur di antara 15 hingga 20 tahun dijadikan perempuan lacur oleh ibubapa mereka yang berhutang dengan seseorang “taukeh” dan untuk mendapatkan wang guna melangsaikan hutang piutang mereka, maka anak2 gadis mereka ‘dipajak’ untuk beberapa tahun kepada seseorang taukeh di Loh Kee, dari mana mereka mendapatkan wang untuk tujuan mereka itu.
 
Ketika itu ada seorang pelacur yang terkenal dengan kecantikannya dan digelar Swee Mooi dan menjadi rebutan taukeh-taukeh lombong di Pekan Kepala Batas (Kulim) ini.
 
Mangsa 
“Swee Mooi” atau “Nyonya Chantek” atau Perempuan Chantek Ini adalah di bawah jagaan Kumpulan Merah, tetapi seorang taukeh lombong yang dilindungi oleh Kumpulan Puteh berkehendakan perempuan lacur ini dan mengupah orang-orang dari Kumpulan Puteh untuk merampas perempuan itu dari jagaan orang-orang Merah.
 
“Berikutan dengan kejadian perampasan perempuan Swee Mooi inilah, pergaduhan diantara kedua-dua puak ini senantiasa berlaku dari masa ke masa, senantiasa ada sahaja orang-orang dari kedua2 puak ini yang terlibat dalam pergaduhan-pergaduhan di sekitar kawasan melombong itu.
 
Menurut cerita Enche Basir lagi puak Puteh yang menguasai kawasan Selatan pekan itu, apabila dapat membunuh salah seorang dari orang kumpulan Merah akan memenggal leher orang itu dan menggantungkannya di atas sebatang pokok ru yang besar dan membiarkannya di situ sebagai menjadi contoh kepada orang-orang dari puak Merah.
 
Pokok ru itu hingga beberapa tahun yang lalu masih hidup lagi, tetapi baru-baru ini pihak JKR telah menebangkannya guna membesarkan jalan raya kerana pokok itu terletak kira-kira di Batu 21/2 Jalan Raya Kulim-Bukit Mertajam.
 
Berlarutan
Peristiwa perang itu berlarutan hingga kira-kira 5 bulan dan menelan mangsa kira-kira 100 orang dari kedua-dua puak, cuma setelah begitu lama perang itu berlaku, barulah pihak berkuasa mendapat tahu serta menghantarkan orang untuk menangkap seorang Panglima iaitu Ketua Puak Merah yang bernama Panglima Chong atau Ah Chong.
 
Salah seorang orang Sultan yang datang bersama angkatan yang diketuai oleh Penghulu Tahir, ialah “Tok ‘Ali Benggali” atau Tok Ali Bomoh yang sekarang tinggal di Kampung Kilang Makau, kira-kira 4 batu ke selatan Sungai Petani.
 
Menurut Tok Ali, ketika ditemui di rumah-nya beliau bersama Allahyarham Penghulu Tahir (Ketua) dan juga Panglima Taha telah diperintahkan oleh Sultan Kedah untuk membawa Panglima Ah Chong sama ada hidup ataupun mati ke Alor Setar untuk dibicarakan dan dihukum.
 
Pengalaman
“Ini adalah kerana Panglima Ah Chong lah yang menyebabkan berlakunya perang itu dan oleh kerana Panglima itu handal orangnya dan sukar dikalahkan oleh orang-orang di Kulim atau Pekan Kepala Batas itu, kerana itulah pihak Sultan memerintahkan kami supaya pergi kesana dan menangkap Panglima Ah Chong itu.
 
Tok Ali yang mendawa berusia 140 tahun dan mengetahui kesah Mat Kilau (kerana beliau juga yang mengesahkan tanda di punggung Mat Kilau yang memberikan bukti yang kuat bahawa Mat Siam itu adalah (Mat Kilau) masih boleh mengingatkan pengalaman beliau ketika menawan Panglima Ah Chong di Kulim itu menyatakan tahun Hijrah ketika perang itu berlaku ialah kira-kira pada tahun 1300 Hijrah. (la itu 90 tahun yang lalu)
 
Tok Wan dengan Penghulu Tahir, dan Panglima Taha dari Kuala Kedah datang dengan tongkang dan belayar hingga ke Bagan Tuan Kechil (sekarang Butterworth). Dari situ kami berjalan ke Machang Bubok dan terus ke Kulim” jelas beliau.
 
Beliau menyebut bahawa Panglima Ah Chong yang tinggal di Sungai Ular, kira-kira 3 batu dari Pekan Kepala Batas (Kulim) juga dipanggil datang ke Balai Kulim dan diminta supaya menyerah diri.
 
“Dengan sedikit pun tak melawan Panglima Ah Chong pun menyerahkan senjatanya kepada Penghulu Tahir Yang bermakna beliau dengan rela menyerah diri beliau, terang Tok Ali pula.
 
Dibicarakan
“Kemudian rombongan kami pun berjalanlah pulang melalui Machang Bubok hingga lah ke Bagan Tuan Kechil dengan membawa Panglima Ah Chong dan berlayar menuju Kuala Kedah” sambung beliau lagi.
 
“Apabila tiba di Alor Setar setelah dibicara oleh pihak berkuasa Kerajaan Negeri Kedah, Panglima Ah Chong pun dihukum bunuh sampai mati” tambah Tok Ali.
Menurut beliau riwayat Panglima Ah Chong itu tidak tamat di situ sahaja, kerana sebelum dia dibunuh dia telah meminta kepada pihak yang berkenaan supaya mayatnya dibuang ke dalam sungai.
 
“Tidak lama kemudian menurut Tok Ali, mayat itu bertukar menjadi buaya keramat. Demikiannya kesan Perang Nyonya yang jarang orang diperkatkan.
#gspp #perangkulim #perangnyonyacantik

15 May 2023 - Senarai Balai Polis di Pulau Pinang dan Seberang Perai tahun 1856

Senarai Balai Polis di Pulau Pinang dan Seberang Perai tahun 1856, kalau tengok pada peta sempadan 1831, balai polis ditanda dengan nama Tanah.
#gspp #tanah #policestation
 

11 May 2023 - Senarai nama Penghulu mukim di Seberang Perai dan Pulau Pinang tahun 1856

Senarai nama Penghulu mukim di Seberang Perai dan Pulau Pinang tahun 1856, tak termasuk mukim dalam kawasan segitiga, sebab waktu ni segitiga kota perai masih dalam negeri Kedah.
 
Sumber info : Penang Gazzete & Straits Chronicle
 
#gspp #penghulu

09 May 2023 - Bukit To’ Kanga

Bukit To’ Kanga
Terletak di Mukim 12, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai, Pulau Pinang.
 
Bukit yang berketinggian hampir 838kaki daripada aras laut, meliputi Kampung To’ Kanga dan Sungai To’ Kanga yang menghala ke Sungai Juru.
Bukit yang berhampiran adalah Bukit Juru dan perkampungan Juru, Kampung Sekolah dan Bagan Nyiur. Kini sebahagian lot di Bukit To’ Kanga dijadikan sebagai kuari.
 
Siapakah To’ Kanga?
 
Kepada yang mempunyai info sejarah Bukit To’ Kanga dan perkampungan To’ Kanga, Bolehlah berkongsi cerita di ruangan komen.

06 May 2023 - Hari ini dalam Sejarah 06 May 1869

Hari ini dalam sejarah 6 Mei 1869, persempadanan ke 3 Seberang Perai.
 
Kota Perai, Wilayah Kedah terakhir di Seberang Perai (Treaty 1869)
Sejak tahun 1846 lagi British telah berhasrat untuk mengambil kawasan segitiga kota perai ni. Merujuk kepada surat Kolonel Butterworth, Gabenor Negeri Selat kepada Sultan Zainal Rashid I bertarikh 5 Dis 1846. Akan tetapi Sultan Kedah tidak bersetuju menyerahkan kawasan ni kepada British pada waktu tersebut.
 
Oleh kerana tidak mendapat persetujuan sultan, pada tahun 1860 British sekali lagi, melalui Mr Blundell, Gabenor negeri Selat pada ketika tu, cuba meminta kawasan ini dari Raja Siam. Akan tetapi Raja Siam ketika itu tidak mahu mencampuri urusan negeri Kedah dan menyerahkan kuasa kepada Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah. Sultan bersetuju untuk menyerahkannya, tetapi dengan syarat British harus menyerahkan kembali daerah Kerian kepada Kedah.
 
Oleh kerana British ingin menjaga kepentingannya dengan Perak, mereka tidak dapat memenuhi syarat Sultan pada ketika itu. Maka British gagal sekali lagi untuk mendapatkan kawasan segitiga ni dan kawasan ni kekal di dalam negeri kedah sehingga tahun 1869. Akibat pertambahan penduduk di Pulau Pinang, British terpaksa mencari kawasan baru untuk membuka ladang pertanian bagi menampung keperluan makanan di Pulau Pinang. Pada 1869 british cuba sekali lagi untuk mengambil kawasan segitiga ini. Permohonan dibuat sekali lagi pada Sultan tetapi di tolak.
 
Akhirnya British melaui Thomas George Knox Esq, Konsul Jeneral British di Siam, memohon kawasan ini dari Raja Siam (Rama V). Pada masa ini, Siam menghadapi tekanan akibat diasak oleh Perancis di bahagian utara, British mengambil kesempatan ini mendapatkan persetujuan dari Raja Siam. Akhirnya Rama V bersetuju menyerahkan kawasan ini walaupun tanpa persetujuan Sultan Kedah. Satu perjanjian Inggeris-Siam telah ditandatangani dengan Perdana Menteri Siam, Chao Phya Sri Suriwongsa Phra Kalahome, Perdana Menteri Siam bagi pihak Raja Siam, pada 6 Mei 1869.
 
Maka hilanglah Wilayah Kota Perai, wilayah terakhir Kedah di Seberang Perai.
 
#gspp #kenalisejarah #seberangperai #perjanjian1868

06 May 2023 - Pulau Jerejak

Pulau Jerejak
Tahun 1786, Francis Light, telah tiba di Pulau Jerejak sebelum menuju ke Pulau Pinang. Pada tahun 1797, Kolonel Arthur Wellesley mencadangkan bahawa Pulau Jerejak dijadikan tapak untuk Fort Cornwallis (Kota Cornwallis).
 
Cadangannya untuk membina sebuah pangkalan tentera di Pulau Jerejak bertujuan untuk mengawal bandar Jamestown yang kini dikenali sebagai Bayan Lepas.
 
Wellesley tidak menyokong Pulau Pinang sebagai tapak untuk Kota Cornwallis. Namun, cadangan Wellesley tidak diterima kerana Georgetown telah menjadi sebuah pelabuhan yang menguntungkan dan Jamestown atau sebarang kemudahan ketenteraan di Pulau Jerejak jelas tidak diperlukan.
Pulau Pinang telah dibanjiri oleh pendatang-pendatang dari luar pada waktu itu. Sebagai langkah mencegah, semua pendatang harus diperiksa di pusat pemeriksaan kesihatan di Pulau Jerejak sebelum dibenarkan mendarat di Pulau Pinang.
 
Pada tahun tahun 1868, Pulau Jerejak telah dijadikan sebuah pusat kuarantin untuk pesakit kusta, dan pada akhir dekad 1930-an, sebuah hospital kusta dibina di bahagian timur pulau ini.
 
Selepas perang dunia ke 2, penyakit tuberculosis (TB) telah menyerang Pulau Pinang, Ia sejenis penyakit yang boleh berjangkit melalui batuk. Penduduk yang dijangkiti TB dibawa ke Jerejak dan tinggal bersama pesakit kusta.
 
Namun mereka tidak ditempatkan bersama, pesakit TB ditempatkan di sebelah pantai yang bertentangan. Pada tahun 1948, sebuah sanatorium TB dibina di bahagian selatan pulau itu.
 
Pada 12 Jun 1969, Sebuah Pusat Pemulihan diasaskan di Pulau Jerejak dan menjadi sebuah penjara keselamatan tertinggi. Sejak itu Pulau Jerejak mendapat gelaran sebagai Alcatraz Malaysia.
 
Penjara Jerejak menempatkan mereka yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969, iaitu mereka yang terlibat dengan kejadian 13 Mei. Ia membolehkan orang ramai ditahan tanpa perbicaraan.
 
Selain daripada tahanan politik, ia juga menjadi pusat tahanan bagi pesalah yang ditangkap atas tuduhan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985, Ramai ketua-ketua kongsi gelap dan pengedar dadah telah ditahan di sana.
 
Antara peristiwa penting yang berlaku semasa Pulau Jerejak dijadikan penjara, ialah rusuhan pada tahun 1981, kejadian berlaku apabila 100 orang tahanan membantah hukuman lanjutan secara tiba-tiba dan memusnahkan sebahagian bangunan penjara.
 
Ia akhirnya ditutup pada tahun 1993 untuk memberi laluan kepada rancangan pembangunan Pulau Pinang bagi pulau itu, dan banduan lain telah dipindahkan ke Kemudahan Pemulihan Muar di Johor.
 
#gspp #pulaujerejak

12 April 2023 - Kampung atau tempat di Seberang Perai yang menggunakan nama Tok

Kampung atau tempat di Seberang Perai yang menggunakan nama Tok, nama-nama ni kita boleh tengok dalam peta Seberang Perai seawal abad ke 19, paling lama Kampung Tok Kangar di juru, dalam peta persempadanan tahun 1800 dah ada nama dia.
 
Nama tok-tok ni mungkin digunakan sempena nama peneroka awal kawasan tersebut, atau penghulu kampung. Kemungkinan juga nama tokoh ulama, pahlawan dan sebagainya. Sapa-sapa yang asal dari kampung-kampung ni, dan ada cerita sejarah disebalik nama kampung ni, boleh la pakat kongsi mai sikit noh.
 
Kalau ada lagi nama yang tak tersenarai dalam ni, sila tambah dekat komen.
 
#gspp #seberangperai #kampung

11 April 2023 - Lakaran suasana di Pulau Pinang tahun 1830an, zaman Perang Musuh Bisik

Lakaran suasana di Pulau Pinang tahun 1830an, zaman Perang Musuh Bisik.
 
#Gspp #penang #negeriselat

11 April 2023 - Pondok Polis Berapit, Bukit Mertajam

Pondok Polis Berapit, Bukit Mertajam
Dirasmikan pada tahun 25 Nov 1976 oleh Tuan Haji Abdul Majid bin Ahmad, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang pada waktu itu.
Pondok polis ini terletak di Kampung Baru Berapit, dilengkapi dengan ‘bunker’ di keempat-empat penjuru pagar, bertujuan melindungi pondok polis dan kampung baru dari serangan pengganas Komunis.
 
Pada tahun 70 an masih terdapat ancaman daripada pengganas komunis di kawasan sekitar Seberang Perai, antaranya pada tahun 1975 telah berlaku serangan terhadap landasan keretapi berapit, tidak jauh dari kawasan perkampungan ini, dan satu lagi serangan di landasan keretapi di Kampung Manggis, Simpang Ampat.
 
Pondok polis ini telah terbiar begitu lama, namun baru-baru ini kawasan ini telah dibersihkan dan mungkin ada projek yang akan dijalankan di sini.
 
#gspp
#kenalisejarah
#komunis

21 Mac 2023 - Versi nama Tunku Mohamad Taib Puteh

Versi nama Tunku Mohamad Taib Puteh
1. Burney Papers : Tunku Mohamad Taib Puteh
2. Surat Raja Ligor : Tunku Masa A-Hip/Mat Taip
3. Luang Udomsombat : Tunku Akip
4. Surat Burney : Tunku Mohamad Legeb/Payeh
5. The Blockade of Kedah : Tunku Mohamad Type Etam
 
Individu dan kisah yang sama tapi nama berbeza-beza, Kalau baca sekali lalu memang akan ingat ada 5 watak yang berbeza, tapi bila dok kaji2 balik, rupaya hanya satu watak tapi ejaan dan sebutan lain-lain, sama juga macam Tunku Mohamad Saad, ada juga disebut Tunku Mohamad Said, Tunku Mohamad Asahad, Tunku Mohamad Saud & Kumat Suat.
 
Kalau baca penulisan-penulisan sebelum ni banyak yang tulis Tunku Mohamad Taib ni mengetaui pasukan dari Setol, ada kesilapan sikit dekat situ, yang mengetuai pasukan dari Setol adalah Panglima Mat Taib dan bukan Tunku Mohamad Taib yang kebetulan nama depa sama.
Manakala Tunku Mohamad Taib pula mengetahui angkatan dari Seberang Perai melalui jalan darat. Pasukan beliau membantu kekandanya menawan kembali Kota Kuala Kedah, dan seterusnya meneruskan serangan hingga ke Singgora. Antara yang bersama-sama dengan pasukannya ialah, Tunku Mohamad Jiwa, Syed Husien (Acheh), Tunku Mohamad Senawi dan lain-lain lagi.
 
#Perangmusuhbisik
#gspp

16 Mac 2023 - Bagan Tuan Kechil

Bagan Tuan Kechil
Siapakah Tuan Kechil? Kalau menurut catatan berkaitan Perang Musuh Bisik, Tuan Kechil ni merupakan seorang saudagar atau pedagang dari Pulau Pinang. Nama sebenarnya ialah Ahmad, anak kepada Saudagar Raja Haji Kassim dari Pulau Pinang.
 
Beliau bergiat aktif dalam Perang Musuh Bisik semasa zaman penentangan Tunku Kudin. Ada beberapa catatan mengenai beliau, antaranya beliau mengetuai pasukan bekas askar Sepoy, dan melancarkan serangan terhadap Siam di Kedah.
 
“𝐀𝐛𝐨𝐮𝐭 𝟑𝟎 𝐨𝐫 𝟒𝟎 𝐧𝐚𝐭𝐢𝐯𝐞𝐬 𝐨𝐟 𝐇𝐢𝐧𝐝𝐨𝐬𝐭𝐚𝐧 (𝐦𝐨𝐬𝐭 𝐨𝐟 𝐰𝐡𝐨𝐦 𝐰𝐞𝐫𝐞 𝐝𝐢𝐬𝐜𝐡𝐚𝐫𝐠𝐞𝐝 𝐒𝐞𝐩𝐨𝐲𝐬) 𝐰𝐡𝐨 𝐥𝐞𝐝 𝐭𝐡𝐞 𝐚𝐭𝐭𝐚𝐜𝐤, 𝐚𝐧𝐝 𝐰𝐡𝐨𝐬𝐞 𝐚𝐩𝐩𝐞𝐚𝐫𝐚𝐧𝐜𝐞 𝐮𝐧𝐝𝐞𝐫 𝐀𝐡𝐦𝐞𝐝 𝐨𝐫 𝐓𝐮𝐚𝐧 𝐊𝐞𝐜𝐡𝐢𝐥, 𝐦𝐞𝐫𝐜𝐡𝐚𝐧𝐭 𝐨𝐟 𝐏𝐞𝐧𝐚𝐧𝐠, 𝐭𝐡𝐞𝐢𝐫 𝐜𝐨𝐦𝐦𝐚𝐧𝐝𝐞𝐫 (𝐚𝐧𝐝 𝐰𝐡𝐨 𝐰𝐨𝐫𝐞 𝐚 𝐁𝐫𝐢𝐭𝐢𝐬𝐡 𝐨𝐟𝐟𝐢𝐜𝐞𝐫’𝐬 𝐮𝐧𝐢𝐟𝐨𝐫𝐦, 𝐢𝐭 𝐢𝐬 𝐫𝐞𝐩𝐨𝐫𝐭𝐞𝐝), 𝐚𝐭 𝐭𝐡𝐞𝐢𝐫 𝐡𝐞𝐚𝐝, 𝐬𝐨 𝐩𝐚𝐫𝐚𝐥𝐲𝐳𝐞𝐝 𝐭𝐡𝐞 𝐞𝐟𝐟𝐨𝐫𝐭𝐬 𝐨𝐟 𝐭𝐡𝐞 𝐒𝐢𝐚𝐦𝐞𝐬𝐞 𝐭𝐡𝐚𝐭 𝐭𝐡𝐞𝐲 𝐦𝐚𝐝𝐞 𝐛𝐮𝐭 𝐚 𝐬𝐡𝐨𝐫𝐭 𝐫𝐞𝐬𝐢𝐬𝐭𝐚𝐧𝐜𝐞 𝐚𝐧𝐝 𝐟𝐥𝐞𝐝, 𝐚𝐟𝐭𝐞𝐫 𝐤𝐢𝐥𝐥𝐢𝐧𝐠.”
 
Beliau juga mempunyai kapal dan angkatan lautnya sendiri dan selalu pergi ke Kedah untuk melancarkan serangan hendap terhadap tentera Siam. Hebat Tuan Kechil ni, walaupun beliau seorang saudagar dan tiada kepentingan terhadap negeri Kedah, namun atas nama agama beliau sanggup bersama-sama menentang kekejaman Siam di Kedah.
 
Kemungkinan besar nama Bagan Tuan Kecil di Butterworth/Bagan sekarang ini adalah bersempena dengan nama beliau. Dulu ada jeti lama di kawasan Bagan Tuan Kechil, sekarang dah termasuk dalam kawasan Penang Port.
 
Sumber info: Burney Papers vol III
#gspp
#bagantuankechil
#perangmusuhbisik

25 Febuari 2023 - Kawasan Tadahan Air Seberang Perai

Kawasan Tadahan Air Seberang Perai
Empangan Mengkuang merupakan empangan simpanan air yang terbesar di Pulau Pinang. Ia telah dibuka pada tahun 1985. Sebelum adanya empangan ini, sewaktu zaman British, mereka telah membina beberapa empangan atau kawasan tadahan air di sekitar Bukit Mertajam dan juga di Bukit Panchor.
 
Antara yang terawal dibina, adalah di Bukit Panchor dan Berapit sekitar tahun 1888-1898. Pada awal abad ke 20 Bukit Mertajam telah menyaksikan peningkatan penduduk yang mendadak. Hal ini berlaku selepas pentadbiran British membina stesen kereta api di Bukit Mertajam dan menghubungkan bandar itu ke Alor Setar di Kedah sekitar tahun 1912-1915.
 
Rangkaian kereta api itu juga turut menghubungkan terus ke Siam, dan telah menyebabkan ledakan dalam aktiviti perdagangan, terutama sekali perdagangan barangan dan sumber galian. Pekan ini berkembang dengan begitu pesat sehinggakan penduduk di kawasan itu mula menghadapi masalah kekurangan air.
 
Keadaan menjadi lebih teruk akibat kemarau pada tahun 1926, sehubungan dengan itu 2 lagi kawasan tadahan air telah dibina iaitu di Bukit Seraya dan Cherok Tok Kun. Kesan tinggalan kawasan tadahan atau empangan-empangan ini masih dapat dilihat sehingga sekarang.
 
P/s : Teringan zaman sekolah, kayuh basikal mai mengai ikan talapia dekat Kolam Berapit, kena rabat tangga, tinggi jugak la tara nak sampai ke kolam. Jalan tu mungkin dah tak ada lani lepas empangan mengkuang diperbesar.
#gspp
#watersupply
#kenalisejarah

24 Febuari 2023 - Nama mukim berdasarkan peta negeri Pulau Pinang tahun 1931

Nama mukim berdasarkan peta negeri Pulau Pinang tahun 1931. Pada masa sekarang mukim di setiap daerah di Pulau Pinang lebih dikenali dengan panggilan nombor.
#gspp
#mukimpulaupinang
#kenalisejarah

23 Febuari 2023 - Bukit Langkap, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

Bukit Langkap
Berketinggian 180 meter dari paras laut, terletak di tepi Highway (BKE), Seberang Perai Tengah. Nama asal bukit ni Langkap, tapi sejak dua menjak viral orang dok hiking bukit ni, tetiba jadi Bukit Suling lah pulak, tapi nasib baik la, nama Langkap masih kekal lagi hingga sekarang.
 
Berkaitan Bukit Langkap ni, ada satu cerita lisan yang menarik, yang ada kaitan dengan Perang Musuh Bisik. Dikatakan bahawa, kawasan bukit ini dulu adalah tempat simpanan kelengkapan perang semasa berlakunya perang musuh bisik di Kedah. Barang kelengkapan dan senjata perang disimpan disini untuk mengelakkan daripada diketahui oleh British dan juga Siam.
 
Para pejuang dari Seberang Perai akan berkumpul di Penanti untuk mendapatkan kelengkapan perang tersebut, seterusnya ke Kampung Kota, dan bergerak ke Kedah dan berperang disana. Asal nama Penanti dikatakan berasal dari para pejuang yang “menanti” disini untuk mendapatkan kelengkapan perang tersebut.
 
Manakala nama Langkap diambil sempena dengan “kelengkapan @ lengkap” yang disimpan disini. Namun kisah ini hanyalah cerita-cerita lisan, kesahihannya tak dapat nak pastikan, mungkin betul, mungkin juga tidak. Belum jumpa lagi rekod bertulis mengenai kisah ini.
 
Tapi kalau kita tengok dalam kamus dewan bahasa, makna langkap juga merujuk kepada sejenis pokok palma, mungkin juga nama Bukit Langkap berasal dari nama pokok tersebut.
 
Tak kisahlah dari mana asal nama tersebut, yang penting nama asal sesuatu tempat haruslah dikekalkan dan janganlah ditukar dengan sewenang-wenangnya.
#gspp
#bukitlangkap
#bukitsuling

31 Disember 2022 - SEJARAH HOSPITAL PULAU PINANG

Hospital Pulau Pinang merupakan sebuah pusat rujukan yang cemerlang dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan di Wilayah Utara, Semenanjung Malaysia. Hospital ini juga adalah di antara kemudahan rawatan kesihatan yang terawal diadakan di negara ini.
 
1812 – Sebuah hospital sementara telah didirikan di sebuah tapak di mana letaknya Hotel Eastern & Oriental sekarang.
1854 – Saudagar Cina Mun Ah Po telah membina Pauper Hospital untuk keperluan rawatan para penagih candu.
1882 – Tapak hospital ini diserahkan kepada pihak Inggeris tahun 1882 dan didirikan sebuah hospital yang sempurna.
Di tapak asal ini, Hospital Besar Pulau Pinang mula dibina. Kos pembinaan ketika itu ialah $90,997.00.
 
Senarai nama penyumbang dana yang tertulis pada patu peringatan.
(1879)
1. Toa Peh Kong Kongsi
2. Ghee Hing Kongsi
3. Tan Beng Swee
4. Mess Noordin & Shaik Yousoof
5. Ghulam Meydin Merican
6. Dalbadal & Yahaya Merican
7. Pah Etam Kadir Hossain
8. Mahamed Joonoos & Mahamed Ariff
9. Meerah Pullay Kakah & Che Ismail
10. Shaik Bram & Mahamed Fahar
11. Cauder Meydin & B Kader Saw
12. Shaik Ismail & Mahamed Hassan
13. Aboosti Merican & Coopah Peechay
14. Shaik Emam
15. Chalong Hajee Mahamaed Noor Abdul
16. Cauder Merican
17. Mahamed Allee & Mahamed Noordin
18. Sultan Merican
19. Keechee Mahamed Shariff
20. Mahamed Ghous Malim
21. Mahamed Amin & Mahamed Meydin
22. Peer Mahamed & Sangardoss
23. Chandapa & Ong Hong Guan
24. Shaik Jan & Madar Saw
25. Pakir
26. Muna Mastan & Hajee Aboo Bakar
27. Syarikat Oh Yean Heng & Gan Kim Swee
(1890)
28. Rama V Chulalongkorn
 
#gspp #hospitalbesarpulaupinang #kenalisejarah

30 Disember 2022 - Zaman Kemerosotan Kota Lama (1918)

Zaman Kemerosotan Kota Lama (1918)
Kota Bandarhari (Kota Kuala Muda) pernah menjadi bandar terbesar, dan terpenting di Kedah, akan tetapi zaman kegemilangannya telah jatuh, dan kini hanya tinggal tinggalan yang menyedihkan.
 
Ia berada di kemuncak kemakmurannya lebih kurang satu generasi yang lalu, dan pada asalnya, pertumbuhan dan perkembangan kota tersebut disebabkan kemasukan secara tiba-tiba penduduk dari utara Kedah kira-kira 30 tahun yang lalu. Khabar angin (musuh bisik) tersebar menyatakan bahawa orang Siam akan menyerang Kedah dari Singgora dan akan membawa pergi semua gadis yang boleh dikahwinkan ke Siam.
 
Untuk menyelamatkan diri, mereka melarikan diri ke sempadan Seberang Prai (Province Wellesley) wilayah British. Jarak dengan Kota sangat dekat iaitu di tebing bertentangan dengan Sungai Muda. Antara faktor lain penghijrahan mereka adalah kerana ingin mengelak sistem “Krah” atau (buruh paksa) yang popular di Kedah sebelum pendudukan British. Kesan daripada penghijrahan ini secara tidak langsung memberi kesan kepada kepadatan dan pertambahan populasi penduduk di Kota Bandarhari.
 
Untuk mengimbau kembali kegemilangan Kota Bandahari atau Kota (nama singkatan), nama Haji Wan Lah (bapa saudara Sultan ‘sekarang’ Sultan Abdul Hamid) tidak boleh dilupakan. Beliau merupakan pemerintah yang paling berkuasa yang pernah memegang tampuk pemerintahan di daerah ini di bawah pemerintahan yang lama, iaitu semasa negeri itu dipecahkan oleh Sultan. Haji Wan Lah antara pembesar kepercayaan Sultan, beliau telah diberi kuasa yang besar dan mempunyai kebebasan untuk mentadbir kota mengikut caranya sendiri.
 
Pada zaman Haji Wan Lah, kota itu menjadi makmur. Dalam erti kata lain, kota tersebut menjadi sangat ‘ramai’, meminjam frasa tempatan yang menggambarkan kesesakan di tengah-tengah persekitaran yang tidak begitu bersih yang begitu tipikal dengan pekan Melayu lama di tebing sungai.
Saya masih dapat mengingati dengan jelas suasana hiruk-pikuk kilang kayu, bengkel membina bot, kilang padi, dan jumlah rakit kayu yang tidak terkira banyaknya yang datang dari pedalaman dan bersepah di tebing sungai. Tarikan utama di Kota ialah tempat perjudian, di mana tempat permainan orang yang mempunyai kepentingan dan tempat kerabat dan tauke-tauke kaya dari Pulau Pinang, penyabung ayam dan penagih candu berebut-rebut antara satu sama lain mengelilingi meja “poh”.
 
Hari ini Kota hampir tiada peniaga dan penduduk, jalan-jalannya lengang, dan kesuraman telah melanda bandar purba itu. Rumah-rumah rendah yang unik dengan dinding bata tebal, mengimbau kembali pemandangan yang biasa di Melaka lama.
 
Kemerosotan Kota bermula apabila pusat pemerintahan kerajaan dipindahkan ke Sungai Petani, dan juga pembukaan jalan kereta baru ke Baling dan kawasan pedalaman. Hal ini telah menghentikan peranan kota sebagai pusat pengedaran dan pengangkutan sungai dari pedalaman Kedah ke Butterworth.
Bot kargo dan rumah-rumah yang unik, yang suatu masa dulu pernah menjadi pemandangan indah Sungai Muda, telah hilang sepenuhnya dari kota. Sama ada telah dirobohkan atau dijual kepada Ranong dan Negeri Siam lain untuk kegunaan di sana.
 
Kenangan kecil Kota ini juga tidak akan lengkap tanpa mengenang nama Encik Speers, Penolong Pesuruhjaya Polis, beliau orang pertama yang mengenal pasti keberuntungan dan keistimewaan tempat itu sebelum kedatangan pemerintahan British. Dengan memerhati dan membimbing kerja-kerja di luar jabatannya sendiri, dia menjadi seperti pelindung dan penjaga keamanan di seluruh daerah itu.
 
Kerja kerasnya telah membantu membina bandar baru di tengah-tengah daerah terkaya di Kedah, Perkara ini amat menggembirakannya, tetapi pada masa sekarang amat sedih menyaksikan pemergian orang-orang lama, mengingatkan zaman dahulu yang indah, daerah yang begitu kaya dan bersejarah.
 
– Pinang gazette and Straits chronicle 1918
 
#gspp #kotakualamuda #kenalisejarah

24 Disember 2022 - Kampung Serani

Kampung Serani
“Gifford Symonds felled and cleared the jungle at Pongsu Seriboo which was full of ant-hills, and had 200 to 300 relongs of padi planted by Portuguese Seranis.
 
The village is to this day known as Kampong Serani and is not far from Malakoff Estate (the inhabitants are Mahomedans).”
Ada lagi ka orang Serani dkt area Pongsu Seribu, Pokok Sena lani?
 
#gspp #kampungserani

22 Disember 2022 - James Low (Part 2) Catatan Kenangan Ku Yu (Adinda Ku Din Setoi)

(Reminiscences of Ku Yu, 1923)
Saya merupakan keturunan Sultan Abdullah Merhome Bukit Pinang melalui susur galur kerabat Diraja Kedah. Kami kini dipanggil sebagai ‘Ku’ dan bukannya Tunku. Ayah saya ialah Ku Kamis, anak kepada Ku Ngen, anak kepada Tunku Temenggong yang merupakan anak kepada Sultan Abdullah, itu saja maklumat yang saya ingat tentang sejarah keluarga saya yang diceritakan oleh ayahanda saya. Kolonel Low, Gabenor Wilayah Wellesley (Seberang Perai) mengambil ayah saya sebagai anak angkat dan mengahwinkannya dengan ibu saya.
Kolonel Low sezaman dengan Encik Nairn, (seorang saudagar terkemuka Pulau Pinang, dikatakan sebagai anak kepada Lord Elgin yang dilahirkan di Macao). Beliau membuka beberapa buah ladang buah pala di pelbagai bahagian Wilayah, antaranya Bukit Kechil (Bukit Merah), Bukit Tambun dan Aur Gading. Kolonel Low menjual ladang Aur Gading kepada En. Harriet, Bukit Tambun kepada Hardouin, seorang usahawan Perancis, pengasas loyang untuk membuat kuali tembaga, yang digunakan di ladang gula di Wilayah itu, manakala Mahomed Noordin membeli Bukit Kechil (Bukit Merah).
Banglo-banglo yang dibina oleh Kolonel Low di Bukit Kechil (Bukit Merah) dan Bukit Tambun masih wujud sehingga hari ini dan dalam keadaan yang baik, (berusia kira-kira 100 tahun). Dia juga mempunyai beberapa tanah di kawasan air terjun di Pulau Pinang, tetapi tiada tanaman yang ditanam di situ. Kolonel Low mempunyai seorang anak perempuan bernama Missie bersama isterinya Nona Bah, seorang wanita Tenow (Tenasserim). Anak perempuan mereka telah berkahkawin lari dengan Aime, anak lelaki kepada Jemal, pekerja kepada Kolonel Low, pasangan itu berkahwin mengikut cara Islam.
Perkara ini menghancurkan hati ayahnya. Sebenarnya Kolonel Low sangat menyukai orang Siam dan Melayu, beliau mengembara bersama mereka ke seluruh negara mencari “kaharone” (harta karun). Beliau menjumpai debu emas yang dileburnya menjadi jongkong dan perhiasan emas, selain beberapa loh batu purba dengan tulisan San-sa-krit (Sanskrit), yang mana hanya orang Siam sahaja yang dapat menguraikannya.
Saya terlalu muda untuk mengingati perkara-perkara ini, tetapi ayah saya memberitahu saya tentangnya. Ayah saya adalah pengurus Ladang Bukit Kechil. Selepas kematian Kolonel Low, Encik Nairn mentadbir harta pusakanya. Dia meninggalkan tali pinggang pedangnya kepada ayah saya, dan saya rasa abang saya Ku Din memilikinya sekarang.
 
 
#gspp #rumahjameslow #bukitmerah #jameslow

21 Disember 2022 - James Low (Part 1) Pegawai British paling lama bertugas di Pulau Pinang dan Negeri Selat.

Dilahirkan pada 4 April 1791 di parish of Kettle, Fifeshire, Scotland, anak lelaki Alexander Low, dan isterinya Anne Thomson. Selepas menerima pendidikan ‘Matematik dan falsafah’ di Kolej Edinburgh, beliau menyertai perkhidmatan Syarikat Hindia Timur sebagai Kadet pada usia 20 tahun.
Setelah dicalonkan oleh Robert Thornton, salah seorang Pengarah syarikat, atas cadangan Earl daripada Leven dan Melville. Pada bulan Jun 1812 beliau telah ditauliahkan sebagai, ‘Ensign’ dalam Madras Native Infantry ke-25 dan beliau telah dilantik dan bertindak sebagai pembantu kepada kornya pada Mei 1817.
Pada Bulan Ogos tahun tersebut, beliau dinaikan pangkatnya ke pangkat Leftenan dalam Madras Native Infantry ke-23, tiga bulan kemudian dia telah dijadikan sebagai A.D.C tambahan sementara kepada Sir John Malcolm yang ketika itu aktif dalam operasi ketenteraan sebagai brigadier dalam tentera Deccan (India).
 
Seperti pegawai tentera Madras yang terkenal, terutamanya Kapten Henry Burney, selepas lima tahun perkhidmatan tentera di India, Low telah dipindahkan ke Pulau Pinang dan berada di bawah arahan Kerajaan Pulau Pinang berkuat kuasa 1 Januari 1818.
Sebaik sahaja tiba di Pulau Pinang, Low telah terjerumus ke kancah sosial tempatan. Pada Jun 1818 pada ‘acara sosial tahun itu’ dia merupakan salah seorang saksi kepada perkahwinan dua anak perempuan sulung dan anak saudara Gabenor, Kolonel Alexander Bannerman.
Dua tahun selepas ketibaannya di Pulau Pinang, Low telah dilantik dan bertanggungjawab ke atas Kor Tempatan Pulau Pinang yang baru ditubuhkan. Kor ini diwujudkan untuk menjimatkan perbelanjaan barisan Rejimen dan antara tugas lainnya ialah tindakan menentang lanun dan berurusan dengan masalah dalaman di Seberang Perai.
 
Kor ini terdiri daripada ‘orang tempatan dari Wilayah utara Bengal’ dan kekal di bawah perintah Low sehingga ia dibubarkan pada pertengahan 1827. Tidak seperti kebanyakan rakan sezamannya, dengan pengecualian tertentu seperti Burney, James Low menggunakan tahun-tahun awalnya di Pulau Pinang untuk mempelajari kedua-dua bahasa Melayu dan bahasa Thai.
 
Pada tahun 1824 beliau telah dianugerahkan anugerah khas untuk kecekapannya dalam bahasa Thai, anugerah ini merupakan penghargaan kepada keupayaan luar biasa tersebut. Hal ini juga disebabkan kerana tiada orang lain yang mempunyai pengetahuan linguistik yang sama sepertinya pada waktu itu.
Fasa ketenteraan dalam kerjaya awalnya telah memberinya laluan yang singkat, apabila dia bekerja dalam beberapa siri misi politik yang penting. Misi pertamanya adalah semasa meletusnya Perang Anglo Burma.
 
Bersambung….
 
#gspp #kenalisejarah #jameslow

20 Disember 2022 - Petikan daripada artikel Memories of Malaya (Penang Gezzet 1923).

“𝘗𝘳𝘰𝘷𝘪𝘯𝘤𝘦 𝘞𝘦𝘭𝘭𝘦𝘴𝘭𝘦𝘺 𝘸𝘢𝘴 𝘢 𝘴𝘮𝘢𝘭𝘭𝘦𝘳 𝘴𝘵𝘢𝘵𝘦 𝘵𝘩𝘢𝘯 𝘪𝘵 𝘪𝘴 𝘯𝘰𝘸, 𝘢𝘯𝘥 𝘢 𝘨𝘳𝘦𝘢𝘵 𝘱𝘢𝘳𝘵 𝘰𝘧 𝘵𝘩𝘦 𝘱𝘳𝘦𝘴𝘦𝘯𝘵 𝘣𝘢𝘤𝘬 𝘤𝘰𝘶𝘯𝘵𝘳𝘺 𝘸𝘢𝘴 𝘵𝘩𝘦𝘯 𝘒𝘦𝘥𝘢𝘩 𝘵𝘦𝘳𝘳𝘪𝘵𝘰𝘳𝘺. 𝘐 𝘳𝘦𝘮𝘦𝘮𝘣𝘦𝘳 𝘵𝘩𝘦 𝘵𝘪𝘮𝘦 𝘸𝘩𝘦𝘯 𝘒𝘶𝘣𝘶, 𝘵𝘩𝘦 𝘰𝘭𝘥 𝘴𝘦𝘢𝘵 𝘰𝘧 𝘵𝘩𝘦 𝘚𝘶𝘭𝘵𝘢𝘯 𝘰𝘧 𝘒𝘦𝘥𝘢𝘩 𝘰𝘯 𝘵𝘩𝘦 𝘗𝘳𝘢𝘪 𝘳𝘪𝘷𝘦𝘳, 𝘸𝘢𝘴 𝘤𝘦𝘢𝘥𝘦𝘥 𝘵𝘰 𝘗𝘳𝘰𝘷𝘪𝘯𝘤𝘦 𝘞𝘦𝘭𝘭𝘦𝘴𝘭𝘦𝘺.”
“𝘈𝘵 𝘵𝘩𝘢𝘵 𝘵𝘪𝘮𝘦 𝘛𝘶𝘯𝘬𝘶 𝘈𝘣𝘪𝘥𝘢𝘩, 𝘵𝘩𝘦 𝘴𝘰𝘯 𝘰𝘧 𝘵𝘩𝘦 𝘧𝘢𝘮𝘰𝘶𝘴 𝘛𝘯𝘬𝘶 𝘔𝘰𝘩𝘥 𝘚𝘢𝘢𝘥 𝘸𝘩𝘰 𝘥𝘳𝘰𝘷𝘦 𝘵𝘩𝘦 𝘚𝘪𝘢𝘮𝘦𝘴𝘦 𝘧𝘳𝘰𝘮 𝘒𝘦𝘥𝘢𝘩, 𝘸𝘢𝘴 𝘵𝘩𝘦 𝘙𝘢𝘫𝘢 𝘪𝘯 𝘤𝘩𝘢𝘳𝘨𝘦 𝘰𝘧 𝘵𝘩𝘦 𝘸𝘩𝘰𝘭𝘦 𝘰𝘧 𝘵𝘩𝘦 𝘒𝘶𝘭𝘪𝘮 𝘥𝘪𝘴𝘵𝘳𝘪𝘤𝘵, 𝘸𝘪𝘵𝘩 𝘩𝘪𝘴 𝘩𝘦𝘢𝘥𝘲𝘶𝘢𝘳𝘵𝘦𝘳𝘴 𝘢𝘵 𝘒𝘶𝘣𝘶.”
“𝘌𝘷𝘦𝘯 𝘉𝘢𝘨𝘢𝘯 𝘓𝘢𝘭𝘢𝘯𝘨 𝘸𝘢𝘴 𝘵𝘩𝘦𝘯 𝘪𝘯 𝘒𝘦𝘥𝘢𝘩 𝘵𝘦𝘳𝘳𝘪𝘵𝘰𝘳𝘺, 𝘢𝘯𝘥 𝘛𝘶𝘯𝘬𝘶 𝘏𝘢𝘬𝘪, 𝘴𝘰𝘯 𝘰𝘧 𝘛𝘶𝘯𝘬𝘶 𝘚𝘭𝘦𝘪𝘮𝘢𝘯, 𝘸𝘢𝘴 𝘳𝘶𝘭𝘪𝘯𝘨 𝘵𝘩𝘪𝘴 𝘥𝘪𝘴𝘵𝘳𝘪𝘤𝘵. 𝘛𝘶𝘯𝘬𝘶 𝘚𝘭𝘦𝘪𝘮𝘢𝘯, 𝘸𝘩𝘰 𝘸𝘢𝘴 𝘢 𝘣𝘳𝘰𝘵𝘩𝘦𝘳 𝘰𝘧 𝘵𝘩𝘦 𝘦𝘹𝘪𝘭𝘦𝘥 𝘚𝘶𝘭𝘵𝘢𝘯 𝘰𝘧 𝘒𝘦𝘥𝘢𝘩 𝘰𝘳 𝘔𝘦𝘳𝘩𝘰𝘮𝘦 𝘔𝘢𝘭𝘢𝘤𝘤𝘢, 𝘸𝘢𝘴 𝘬𝘪𝘭𝘭𝘦𝘥 𝘣𝘺 𝘵𝘩𝘦 𝘚𝘪𝘢𝘮𝘦𝘴𝘦 𝘸𝘩𝘰 𝘪𝘯𝘷𝘦𝘪𝘨𝘭𝘦𝘥 𝘩𝘪𝘮 𝘪𝘯𝘵𝘰 𝘓𝘪𝘨𝘰𝘳 𝘰𝘯 𝘵𝘩𝘦 𝘱𝘳𝘦𝘵𝘦𝘹𝘵 𝘰𝘧 𝘢𝘱𝘱𝘰𝘪𝘯𝘵𝘪𝘯𝘨 𝘩𝘪𝘮 𝘚𝘶𝘭𝘵𝘢𝘯 𝘪𝘯 𝘱𝘭𝘢𝘤𝘦 𝘰𝘧 𝘩𝘪𝘴 𝘣𝘳𝘰𝘵𝘩𝘦𝘳, 𝘢𝘯𝘥 𝘴𝘱𝘭𝘪𝘵 𝘰𝘱𝘦𝘯 𝘩𝘪𝘴 𝘤𝘩𝘦𝘴𝘵.”
Dalam artikel ni disebut selepas kematian Tunku Mohd Saad, tempoh antara 1847-1869 Kawasan Kota Perai termasuk Kulim di tadbir oleh anakandanya Tunku Abidah dan pusat pemerintahan masih kekal di Kubu atau Kampung Kota.
Manakala anakanda Tunku Sulaiman, Tunku Haki (Akil) pula mentadbir kawasan Bagan Lalang, kemungkinan dilantik oleh British sebagai penghulu atau pentadbir memandangkan kawasan Bagan Lalang pada waktu ini sudah menjadi wilayah British, semasa persempadanan pertama tahun 1800 lagi.
Kalau nak kata anakanda Tunku Sulaiman mentadbir Bagan Lalang, sebelum 1800, iaitu semasa seluruh seberang perai masih dibawah Kedah, macam tak logik pulak, Tunku Sulaiman pindah ke Perai dari Arau pun tahun 1802-1804 macam tu, masa ni Bagan Lalang dah masuk wilayah British.
Apapun kita simpan dulu maklumat ni, dan pengalian berkaitan sejarah Kota Perai diteruskan, harap-harap dapat petunjuk lain pulak lepas ni.
#gspp #kotaperai #tunkusulaiman #tunkumohdsaad #seberangperai #kulim

19 Disember 2022 - Terusan Wan Muhamad Saman

Eksport beras Kedah ke Pulau Pinang pada awal tahun 1900 adalah sebanyak 3,278,000 gantang, manakala padi pula 7,950,000 gantang. Padi yang ditanam oleh penduduk Melayu dibeli oleh peniaga kecil Cina, dan menjualnya kepada peniaga Cina yang lebih besar, di Alor Setar, Sungai Sala dan Sungai Limau seterusnya mengeksportnya ke Pulau Pinang.
 
Kira-kira 24 tahun yang lalu (1885), Dato’ Wan Muhammad Saman, seorang Menteri Kedah yang terkenal, telah mengilhamkan pembinaan terusan yang dikenali sebagai “Sungai Korok Wan Mat” di sebelah selatan Sungai Kedah. Pada waktu itu penanaman padi hanya terhad di kawasan yang agak kecil, iaitu di pantai berhampiran Kuala Kedah. Kawasan di antara Alor Setar dan Puncak Kedah (Gunung Jerai) adalah kawasan hutan paya dan buluh.
 
Wan Mat (nama panggilan) mempunyai idea berani untuk membuat terusan dalam garis lurus dari Alor Setar ke Gunung Jerai. Jarak dari hujung ke hujung ialah 22 batu. Kawasan ini hanya boleh dilalui dengan menggunakan gajah pada waktu itu, Wan Mat tidak mempunyai juruukur atau jurutera untuk membantunya, dan dirinya juga tidak mempunyai latihan khas, menyebabkan dia ditertawakan pada waktu itu.
 
Walau bagaimanapun, dia mendapat kebenaran daripada Sultan untuk membuat terusan dengan perbelanjaannya sendiri, sebagai balasan dia mendapat konsesi 20 relong tanah di kedua-dua belah terusan apabila siap digali. Tanah-tanah ini seterusnya akan dijual kepada peneroka yang berminat pada kadar seragam, iaitu $3 bagi setiap relong persegi.
 
Dia juga dibenarkan untuk mengenakan sewa tahunan sebanyak 50sen bagi setiap relong, dan ditetapkan bahawa rakyat boleh mengusahakan tanah dengan membayar kepadanya sewa dan mereka akan dikecualikan daripada liabiliti daripada menjadi buruh paksa.
 
Kesukaran yang terpaksa hadapinya adalah sangat besar, ini kerana dia tidak mempunyai alat ukur, dia membuat garisannya terusan dengan menggunakan cahaya api yang dinyalakan di tempat yang jauh pada waktu malam. Dia juga tidak mempunyai modal yang mencukupi untuk kerja itu, terdapat tiga kali cubaan untuk membunuhnya oleh kuli Cina kerana dia tidak dapat membayar gaji kepada mereka.
 
Walau bagaimanapun, selepas beberapa tahun ‘berjuang’ membina terusan tersebut, akhirnya kerja-kerja pembinaan itu selesai dan sebuah monumen kecil, telah didirikan oleh Sultan di tebing sungai Kedah, di mana terusan bertemu dengan sungai, untuk memperingati pencapaian yang mengagumkan itu.
Terusan selebar 24 kaki dan dalam lima kaki itu berjaya dari segi kewangan dan juga dari sudut kejuruteraan. Peneroka mencurah-curah masuk, mereka diberi jalur tanah di kedua-dua belah terusan, dan bahagian relong di tepi terusan dengan keluasan penuh 20 relong. Setiap relong mewakili bayaran sekaligus sebanyak $120, dan sewa tahunan sebanyak $20, manakala kos purata untuk membuat panjang terusan relong adalah antara $50 dan $55. (Tanah yang perlu dibayar oleh peneroka dulunya, sebanyak $3 per relong kini bertukar pada $60 per relong). Didorong oleh kejayaannya itu, Wan Mat lebih bercita-cita tinggi dan melakukan usaha-usaha yang lebih lagi untuk memajukan kawasan pertanian di Kedah.
 
Ideanya adalah untuk memotong pada sudut tepat ke terusan besar, satu lagi terusan dibina, terusan ini menghubungkan Sungai Pendang, di tempat yang dipanggil Tanah Merah, kira-kira 12 batu dari Alor Setar, dengan sungai kecil yang dipanggil Sungai Kangkong, yang mengalir ke laut.
 
Terusan itu berada pada dua aras, iaitu aras tinggi, antara Tanah Merah dan persimpangan dengan terusan besar sejauh 6 setengah batu, di mana air akan dipam dari sungai Pendang dan mengairi terusan tersebut, bagi aras yang lebih rendah pula, salirannya di sebelah laut terusan besar tersebut. Jarak terusan itu dalah sepanjang 4 batu.
 
Setelah terusan itu dibina, pam kuasa 40 kuda digunakan dan ditempatkan di dalam bilik enjin di Tanah Merah. Skim pengairan, tersebut bagaimanapun mengalami kerosakan dan gagal. Walaupun begitu ia masih berfungsi sebagai laluan air untuk tanah yang diuasahakan di kedua-dua belah terusan. Terusan itu seterusnya akan diambil alih oleh Jabatan Kerja Raya (Public Works Department) untuk memastikan, sama ada kecacatan skim itu boleh diperbaiki, dan ia perlu diperbaiki dengan apa cara sekalipun.
 
Kejayaan “terusan besar” tersebut, menyebabkan ramai pembesar yang ingin meniru projek tersebut, mereka memperoleh konsesi untuk membinanya di kawasan di antara terusan besar dan pantai, terusan dibina pada sudut tepat ke terusan besar dan garis pantai, yang akan mengalir ke sungai-sungai kecil yang mengalir ke dalam laut.
 
Wan Yunus mendapat konsesi untuk Sungai Daun, Sungai Limau dan Sungai Sedaka, Tunku Minah untuk Sungai Dulang, dan Syed Osman untuk Sungai Yan Kechil. Daripada semua terusan ini, terusan Sungai Limau adalah yang terbesar. Ia memanjang dari pantai ke pedalaman sejauh 2 batu, sehingga menghampiri dalam 40 relong terusan Wan Mat, dan kemudian, berpusing ke selatan pada sudut tepat, meneruskan laluannya selari dengan terusan Wan Mat sejauh kira-kira 1 batu.
 
Kekurangan utama semua terusan ini ialah ia tidak bersambung antara satu sama lain, ini kerana tiada pemegang konsesi bersedia untuk memotong terusan mereka melalui jalur 20 relong dan kos tersebut tidak mahu dibayar oleh milik pemegang konsesi yang lain. Pada waktu itu, Sultan juga membuat terusan di sebuah tempat bernama Alor Changlih, utara sungai Kedah. Syed Abdullah Al Mahdali, (Bendahari Negeri) mendapat konsesi untuk terusan di utara itu, dan Wan Yahya, Penguasa Monopoli Chandu pada waktu itu, mendapat konsesi untuk terusan dikawasan lebih utara, iaitu di Sanglang, sempadan Perlis.
Sultan menghabiskan sebahagian besar kerja-kerja pembinaan terusan tersebut dan menyerahkannya kepada Kerajaan. Syed Abdullah pula tidak melakukan apa-apa kerja pada terusannya, dan selepas kematiannya pada tahun itu, kerajaan menyambung semula konsesi tersebut. Wan Yahya membina terusan yang panjangnya kira-kira 3 batu, dan dia sedang berunding dengan kerajaan dengan tujuan untuk mendapatkan haknya. Terusan besar Wan Mat, dan terusan Tanah Merah – Kangkong telah diambil alih oleh Kerajaan apabila Wan Mat, yang tidak mempunyai anak, meninggal dunia pada tahun 1898.
 
Terusan Wan Yunus dan Tunku Minah turut diambil alih oleh Kerajaan selepas kematian mereka. Syed Osman menyerahkan konsesinya beberapa tahun lalu atas perjanjian pembayaran pampasan, akan tetapi disebabkan pelbagai masalah dan kesukaran, perjanjian tersebut masih belum ditunaikan, tetapi ia akan diselesaikan secepat mungkin.
 
Setelah Kerajaan memperoleh terusan Wan Yahya, kerajaan telah mempunyai kuasa penuh terhadap semua terusan Negeri Kedah. Peruntukan telah dibuat dalam belanjawan tahun semasa, untuk menyambung terusan Daun, Limau, Sedaka, Dulang dan Yan Kechil, serta memanjangkan terusan Sanglang.

Kerja-kerja ini akan memberi kesan serta-merta terhadap pembukaan lebih banyak kawasan tanah yang baru. Tanah di Kedah adalah tanah yang terbaik untuk tanaman padi. Rekod terbaik, kedah menghasilkan 4 guncha padi setiap relong. Guncha adalah bersamaan dengan 10 nalih atau 160 gantang, gantang ialah gelen atau satu perlapan bushel dan relong adalah kira-kira dua pertiga daripada ekar.

Oleh itu, hasilnya adalah 120 gantang per ekar. Walau bagaimanapun mana-mana tanah yang dapat menghasilkan 3 guncha, ia sudah dianggap sangat baik. Hanya satu musim tanaman setahun, tetapi oleh kerana tanah yang sama ditanam tahun demi tahun, adalah perlu untuk pembajaan tanah. Bekalan tahi kelawar banyak diperolehi daripada bukit batu kapur yang menjulang di tengah-tengah sawah, antaraya Gunung Keriang (Bukit Gajah), Kodiang, Kapluh dan Hantu, berhampiran sempadan Perlis.
 
Padi-padi tersebut dibeli oleh peniaga kecil Cina, dengan membayar wang pendahuluan kepada orang Melayu semasa musim tanaman padi, hal ini menyebabkan hasil tanaman dibeli pada kadar di bawah harga pasaran semasa musim menuai.
 
Hanya terdapat satu kilang beras wap di Negeri ini, yang pemiliknya telah memperoleh hak untuk beberapa tahun yang lalu daripada Sultan dan memperoleh dokumen yang memberi keistimewaan eksklusif kepadanya yang hanya akan tamat tempoh dua belas tahun lagi. Terdapat duti eksport $8 setiap koyan (40 pikul) ke atas beras, dan $4 ke atas padi. Hak memungut duti ini dipegang oleh petani, dan ia akan mengambil masa 8 tahun sebelum Kerajaan dapat mengutip duti ini sendiri.
 
Tidak banyak selain padi yang ditanam di Kota Setar, dahulunya terdapat ladang gula berdekatan dengan Alor Setar, tetapi ia gagal mengaut keuntungan dan ditutup kira-kira dua tahun lalu dan digantikan dengan getah.
 
Info : Straits Eco (Mail Edition) 1910
 
#gspp #terusanwanmuhamadsaman #ked

09 Disember 2022 - Unsung Hero Tragedi Feri Karam di Sungai Kerian 1972

Individu yang dimaksudkan ialah pemandu feri yang karam di Sungai Kerian tersebut. Beliau bernama Annamalai Samanthan, berumur 42 tahun ketika itu. Nama beliau dikenang sebagai wira yang gugur nyawanya selepas membantu menyelamatkan mangsa feri karam tanpa mengira bangsa dan agama.
 
Tragedi ini berlaku pada 13 September 1972 yang lalu. Peristiwa ini tidak mungkin dapat dilupakan oleh penduduk disekitar kedua-dua kawasan sempadan Sungai Kerian. Sekurang-kurangnya 27 orang, kebanyakannya kanak-kanak sekolah, telah terkorban dalam tragedi ini. Feri yang berkhidmat antara Bandar Bahru, Kedah dan Parit Buntar, di daerah Krian di Perak, telah terbalik dan tenggelam di Sungai Kerian.
 
Dahulu jalan perhubungan antara dua pekan kecil ini ialah melalui feri tarik yang diikat dengan sistem pulley dan ditunda oleh bot kecil dari belakang. Feri ini perlu menyeberang Sungai Kerian sejauh hampir 100 meter dengan 20 minit perjalanan. Kesibukan feri ini selalunya pada waktu pagi, semasa kanak-kanak ke sekolah kerana itu sahaja perkhidmatan atau laluan yang menghubungkan antara Pekan Bandar Baharu dan Pekan Parit Buntar.
 
Kemalangan berlaku pada pukul 6.30 pagi, iaitu semasa feri tersebut dalam perjalanan dari Bandar Baharu menuju ke Parit Buntar. Feri tersebut membawa sebuah bas sekolah dengan muatan seramai 16 orang penumpang, penunggang basikal, seorang penunggang motosikal dan beberapa orang lagi murid sekolah yang menumpang menyeberang sungai itu.
 
Dipercayai sekurang-kurangnya seramai 38 orang berada di atas feri ketika kemalangan tersebut berlaku. Tragedi itu berlaku ketika air sungai mengalir dengan deras disebabkan hujan lebat yang turun tidak berhenti-henti sejak beberapa hari yang lalu. Arus sungai yang deras telah menyebabkan salah satu tali yang memastikan keselamatan supaya feri tidak dipukul arus, terputus.
 
Semasa itulah muncung feri mula tercuram sedikit demi sedikit sehingga bas yang berada di atas feri secara perlahan-perlahan menjunam ditelan arus deras bersama penumpang di dalamnya yang terperangkap dan tidak dapat keluar.
 
Menurutnya saksi, beberapa orang yang kebetulan berada di tepi tebing telah terjun dan ada juga yang mendayung sampan ke tempat kemalangan itu. Tujuh orang murid dapat ditarik naik ke sebuah sampan dan kemudian dibawa ke tepi tebing. Seorang anggota polis bernama Yusof yang sedang bertugas semasa kejadian tersebut, telah dapat menyelamatkan seorang murid sekolah.
 
Pada ketika itu juga, mendiang Anamalai telah bertungkus lumus untuk menyelamatkan mangsa. Dia dianggap sabagai “hero” dalam tragedi itu kerana dapat menyelamatkan beberapa orang kanak-kanak dari mati lemas sebelum dia sendiri menemui ajalnya.
 
Anamalai meninggalkan seorang balu dan lapan orang anak. Dia sangat dikenali di kalangan murid-murid sekolah yang menggunakan perkhidmatan feri tersebut.
 
Menurut beberapa orang yang melihat kejadian itu, Anamalai dilihat mengalami kepayahan dan keletihan bersama empat orang kanak-kanak yang memeluknya ketika itu. Mayat mendiang dijumpai dua batu jauh dari tempat kejadian itu.
 
Seorang lagi “hero” dalam tragedi tersebut ialah Ashaari bin Ahmad, seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Sungai Kechil. Ashaari yang turut berada dalam feri itu, telah dapat menyelamatkan dirinya dan juga menyelamatkan beberapa kanak2 yang hampir hanyut. Beliau bagaimanapun nyaris lemas bersama seorang kanak-kanak tetapi terselamat dan dihantar ke hospital untuk mendapat rawatan.
 
Gerakan penyelamat telah segera dilancarkan. Sehingga lewat malam, unit-unit tentera dari Taiping dan Ipoh mencuba untuk mengangkat feri yang tenggelam di dasar sungai tersebut. Satu pasukan penyelam dari Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia yang berpangkalan di Woodlands Singapura telah diminta membantu gerakan menyelamat.
 
Suasana sedih terus menyelubungi kawasan itu dengan beribu-ribu orang dari jauh dan dekat datang ke tempat itu untuk melihat usaha mencari mayat-mayat yang belum dijumpai.
 
Atas keprihatinan kerajaan negeri Perak pada waktu itu, lantas terus menjalankan projek pembinaan Jambatan Sultan Idris pada tahun berikutnya, untuk mengelakkan kejadian yang sama berulang dan memudahkan urusan penduduk di situ dalam kerja harian mereka.
 
#gspp #tragediferikaram #sungaikerian #paritbuntar #bandarbaharu

08 Disember 2022 - Bandar Baharu maju, tapi kalah dengan Parit Buntar

Oleh : IBRAHIM NGAH
Gambar oleh : OTHMAN YA’AKUB
 
BANDAR BAHARU, adalah merupakan sebuah pekan kecil yang letaknya di tepi Sungai Kerian yang menjadi sempadan antara Perak dengan Kedah. Bandar Baharu ini adalah merupakan salah sebuah daerah di dalam negeri Kedah dan jajahan Bandar Baharu ini letaknya di Kedah Selatan.
 
Di seberang Sungai Kerian ini terdapat sebuah bandar yang bernama ‘Parit Buntar’ yang duduknya di dalam negeri Perak. Jalan menuju ke Bandar Baharu ini yang paling dekat sekali ialah ikut Parit Buntar dengan menyeberang ‘feri’ di Sungai Kerian. Feri yang menjadi penghubung antara Bandar Baharu dengan Parit Buntar ini tidak dikenakan sebarang bayaran kepada penumpang-penumpangnya.
 
Kereta-kereta kecil dan motosikal sahaja yang dibenarkan untuk menaiki feri tersebut dengan tidak dikenakan apa-apa bayaran juga. Feri di Sungai Kerian ini selalu sahaja rosak dan jika feri rosak kereta-kereta dan motosikal terpaksa ikut jalan Nibong Tebal, Seberang Perai.
 
Jika kita mengikut jalan Nibong Tebal, perjalanan kita dari Parit Buntar menuju ke Bandar Baharu adalah kira-kira 6 batu sahaja. Perhubungan di antara Bandar Baharu dengan Parit Buntar adalah baik, semua penduduk-penduduk Bandar Baharu pergi membeli belah dan menonton wayang gambar di Parit Buntar.
 
Tambang
Perkhidmatan feri sahaja tidak cukup, terutama masa petang, penduduk-penduduk Bandar Baharu terpaksa menyeberang dengan menaiki perahu yang tambangnya cuma 10 sen sahaja. Jambatan untuk menghubungkan kedua-dua buah bandar ini masih belum dibina lagi.
 
Menurut beberapa orang penduduk-penduduk dari Bandar Baharu yang saya temui di feri menyatakan bahawa, pekan Bandar Baharu tidak ada apa-apa perubahannya. Kata mereka: “Pekan Parit Buntar jauh lebih besar dan maju jika dibandingkan dengan tarikh sebelum kita merdeka dahulu.
 
“Semua kemudahan telah ada di Parit Buntar, itu lah sebabnya kami sentiasa berulang-alik ke Parit Buntar untuk melepaskan penat bekerja hari-hari. “Kami tidak kira walau pun kami terpaksa menaiki feri dan kadang2 kami juga terpaksa membayar tambang perahu.”
 
Menoreh
Saya dan Othman Ya’akub telah bermalam di rumah seorang sahabat yang bapanya menjadi Imam di masjid Bandar Baharu. Penduduk-penduduk di daerah Bandar Baharu ini kebanyakannya menumpukan mata pencarian mereka kepada bersawah padi dan menoreh getah.
 
Ayah sahabat kami Tuan Haji Hashim atau yang lebih dikenal dengan nama Lebai Hashim itu memberi tahu kami, “Sawah padi yang anak lihat tadi adalah berasal dari kebun estet kepunyaan orang Inggeris, ketika pemerintahan Jepun, kita sangat susah untuk mendapatkan beras. Jepun memerintahkan menebang semua pokok getah itu untuk dijadikan sawah.”
 
“Sawah ini subur tetapi soal untuk mendapatkan air untuk mengairi sawah padi agak susah sedikit terutama jika musim kemarau.” Tuan Hajl Hashim memberi tahu bahawa banyak kemudahan yang telah dinikmati oleh penduduk-penduduk kampung itu dari sejak merdeka.
 
“Tetapi anak-anak muda kita jarang-jarang yang menghargai tentang nikmat yang telah mereka dapati dan apa yang mereka katakan ialah rasa tidak puas hati sahaja.” tambah Haji Hashim. Tuan Haji bersungguh-sungguh hati memberitahu kami bahawa memang telah banyak perubahan yang dinikmati oleh penduduk-penduduk Bandar Baharu.
 
Percuma
Katanya: “Cuba anak lihat jalan masuk ke kampung kami pun sudah besar, dahulu (zaman penjajah) kami hanya jalan di atas permatang sahaja.”
“Bekalan air paip percuma di tepi jalan sekarang telah disediakan, dahulu kami hanya meminum air yang terpaksa ditapis lebih dahulu untuk dijernihkan.”
“Tentang pelajaran pula di Bandar Baharu ini sekarang sudah ada sekolah menengah, dahulu sekolah rendah pun sangat buruk.” Pada keesokan harinya saya telah pergi ke Serdang dengan tujuan untuk menemui wakil rakyat kawasan Bandar Baharu, Tuan Haji Zainuddin. Malangnya kebetulan Tuan Haji Zainuddin tidak ada di bandar Serdang ketika lawatan kami itu.
 
Di Serdang yang jauhnya cuma kira-kira 12 batu sahaja dari Bandar Baharu telah didapati sebuah lombong bijih timah kepunyaan orang kulit putih. Khabarnya lombong ini dahulu kepunyaan bumiputera, saya juga tidak tahu kenapakah lombong ini boleh sampai ke tangan orang kulit putih.
Kami juga difahamkan bahawa kawasan Serdang ini banyak tanah yang ada mengandungi hasil bijih timahnya. Setelah kira-kira dua jam berada di Bandar Serdang, kami telah balik semula ke Bandar Baharu dengan tujuan untuk menemul Pegawai Daerah, tetapi kami juga tidak berpeluang menemui Pegawai Daerah di Bandar Baharu.
 
Berita Harian, 6 Oktober 1968
 
#gspp #kenalisejarah

07 Disember 2022 - Tuntutan Sultan Perak ke atas daerah Trans Kerian, Seberang Perai Selatan.

Tuntutan tersebut dibuat pada tahun 1982, terdapat 2 artikel di dalam The Straits Time, 19 dan 20 Ogos berkaitan hal berkenaan.
 
Artikel 1
Sultan Perak Membuat Tuntutan Kepada 50 Km Persegi Tanah di Selatan Province Wellesley (Seberang Perai)
KUALA LUMPUR, Rabu. – Sultan Perak hari ini menuntut tanah seluas kira-kira 50 km persegi di hujung selatan Province Wellesley (Seberang Perai) dan mahu Pulau Pinang mengembalikannya ke negeri Perak.
 
Baginda juga telah meminta 21 ahli parlimen Perak membangkitkan isu itu apabila Parlimen bersidang pada Oktober. Beberapa ahli parlimen telah mengesahkan menerima permintaan itu tetapi enggan mengulas. Kerajaan Pulau Pinang juga enggan mengulas mengenai tuntutan itu, yang berdasarkan Perjanjian Pangkor 1874 yang diwujudkan semasa pendudukan British di Malaysia.
 
Tanah yang dituntut kebanyakannya terdiri daripada sawah padi dan terletak di antara Sungai Kerian di utara dan sempadan Perak-Pulau Pinang di selatan. Dua bandar terdekat di luar kawasan yang dituntut ialah Parit Buntar di Perak dan Nibong Tebal di Province Wellesley
 
Persempadanan semula
Sultan membuat tuntutannya dalam temubual dengan Muzium Negara, dan menyatakan bahawa baginda hanya mempunyai salinan perjanjian itu, dan dokumen yang asal nampaknya telah hilang. Sumber menyatakan bahawa, dokumen perjanjian asal dipercayai berada di Singapura, tetapi berkemungkinan ia berada di London atau di India, memetik keyataan seorang ahli sejarah hari ini.
 
Permintaan
Sultan berharap pihak Kerajaan Persekutuan dapat campur tangan dan mengembalikan tanah itu kepada Perak. Tiada ulasan hari ini daripada pihak Kerajaan Persekutuan. Ini bukan kali pertama Pulau Pinang terlibat dalam pertelingkahan dengan jirannya. Beberapa tahun lalu, Kedah cuba meminta pihak berkuasa menaikkan bayaran tahunan yang diterimanya. Wilayah Seberang Perai, seperti yang diketahui sekarang, diserahkan kepada Pulau Pinang ketika Pulau Pinang masih merupakan Negeri Selat.
 
Tetapi pihak Kerajaan Persekutuan, sebagai kuasa pengganti Britain, menolak permintaan Kedah. Sumber politik hari ini berkata, ini adalah kali pertama negeri di dalam persekutuan Malaysia membuat tuntutan ke atas wilayah negeri lain sejak merdeka.
Pada tahun 1965, Kesultanan Brunei membuat tuntutan ke atas kawasan Limbang dan Lawas bahagian kelima Sarawak tetapi rakyat Malaysia terus-menerus menolak tuntutan tersebut.
 
Artikel 2
Tuntutan Sultan Perak ‘Diasaskan di atas Tanah Yang Goyah’
KUALA LUMPUR, Khamis. Tuntutan Sultan Perak ke atas tanah seluas kira-kira 50 km persegi di hujung selatan Provinsi Wellesley telah mengejutkan pihak Kerajaan Persekutuan dan Pulau Pinang, tetapi baginda berada di tanah yang goyah, menurut ahli sejarah dan peguam di sini.
Menurut pandangan mereka, Perak sepatutnya menuntut tanah itu sama ada pada masa perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 1948 atau selewat-lewatnya semasa rundingan Merdeka sehingga 1957. Namun, itu tidak menghalang Sultan menitahkan 21 ahli parlimen Perak untuk membangkitkan isu itu pada sidang Parlimen Oktober.
 
Walaupun tuntutan itu mempunyai kesahihan, tetapi Perjanjian Pangkor 1874, telah menjadi asasnya, namun perkara berkaitan sempadan masih kabur. Perkara kedua belas perjanjian itu mengatakan bahawa “Tanah selatan, di selatan Sungai Krian, iaitu bahagian tanah yang mengalir ke sungai dari selatan, diisytiharkan sebagai wilayah British sebagai pembetulan sempadan Province Wellesley, sempadan tersebut ditandakan oleh pesuruhjaya, seorang dinamakan oleh kerajaan Negeri-Negeri Selat dan satu lagi oleh Sultan Perak”.
 
Seorang ahli sejarah tempatan berkata tidak jelas daripada artikel perjanjian itu sama ada wilayah yang dituntut adalah kawasan yang dimaksudkan. “Kita kena teliti peta Perak ketika itu dan sekarang,” katanya. Tetapi sumber undang-undang berkata jika tuntutan Perak ditegakkan, mungkin terdapat masalah di bahagian lain di negara ini. Selangor, misalnya, boleh menuntut kawasan utara Sungai Bernam yang kini sebahagian daripada Perak dan Pahang Sungai Gombak berdekatan Kuala Lumpur.
 
Seorang ahli parlimen Perak hari ini menggesa satu suruhanjaya ditubuhkan untuk membawa perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Bagaimanapun, sebarang tindakan untuk menyerahkan wilayah kepada Perak ditentang oleh Ahli Parlimen Parti Tindakan Demokratik dari Pulau Pinang, Encik Karpal Singh, yang meminta Ketua Menteri, Dr Lim Chong Eu, menyatakan pendiriannya mengenai perkara itu.

05 Disember 2022 - Perang Saudara Kerian

Tahun 1850-1860 Daerah Kerian dan Bagan Tiang yang bersempadan dengan Seberang Perai ditadbir dan dibawah kekuasaan Che Mohamed Ali. Daerah tersebut telah dianugerahkan kepada beliau oleh Long Jaafar. Keadaan ini telah menyebabkan ketidakpuasan hati pembesar lantikan Sultan dan menyebabkan berlakunya perang saudara. Panglima Besar Mahomed Kasasi, pembesar di bawah kuasa Sultan, telah memulakan percubaannya untuk menggulingkan Che Mohamed Ali di Bagan Tiang.
 
Pada tahun 1855 Long Jaafar telah melantik Hj Osman (Nahkoda Piah) menjadi Panghulu di Kerian, mewakili Che Mahomed Ali. Beberapa tahun kemudian, datang pula Kulop Sharif dari Larut menuntut daerah ini dan mendakwa wilayah ini dianugerahkan oleh Raja Muda kepadanya dan melantik Hj Osman sebagai timbalannya.
 
Kubu pertahanan Hj Osman terletak di muara Sungai Semang, anak sungai yang bergabung dengan Sungai Kerian kira-kira setengah batu dari Bukit Tungal, kawasan di mana wilayah British berakhir. Kubu tersebut berketinggian 12 kaki tinggi dibina daripada batang pokok nibong dan batang pokok hutan setebal beberapa inci dan diikat dengan rotan. Bahagian dalam melingkupi ruang seluas kira-kira 25 ela persegi yang mempunyai platform setinggi kira-kira 10 kaki, berbumbung daun nipah dan dipasang dengan senjata api. Benteng luar adalah kira-kira 40 ela panjang pada setiap sisi. Benteng atas lebih besar daripada yang di bawah dan dipasang dengan lebih banyak senjata api.
 
Laluan Sungai Kerian dari Bukit Tungal ke Kuala Kerian adalah laluan bagi penduduk di sebelah British, Perak, dan kawasan pedalaman. Di sebelah Bukit Tungal, di tebing kanan/utara ialah wilayah Kedah. Sungai Kerian termasuk di dalam negeri Kedah dan Perak. Penduduk kedua-dua negeri ini mempunyai hak untuk menggunakan bahagian hilir sungai sebagai laluan keluar mereka ke laut, dan hak British ke atas sungai tersebut hanya sehingga Bukit Tunggal.
Panglima Besar tinggal di tebing sungai sebelah Perak, iaitu berhampiran Kuala Kerian, berhadapan dengan Rantau Panjang di sebelah wilayah British. Che Mohamed Ali enggan mengiktiraf kewibawaan Panglima Besar Mahomed Kasasi dan disokong oleh beberapa pegawai besar negeri. Tuntutannya itu adalah berdasarkan penganugerahan kawasan itu dari Long Jaafar kepadanya dan telah disahkan oleh Raja Muda dan Raja Bendahara dan dimetrai dengan cop mohor jawatan mereka.
 
Pertikaian mengenai kawasan ini disebabkan kepentingannya sebagai laluan pengangkutan hasil mahsul, terutamanya kayu balak dan bijih timah dari pedalaman Perak dan Kedah. Setiap hasil yang dikeluarkan melalui sungai ini akan dikenakan cukai, hasil-hasil cukai ini menjadi sumber pendapatan pembesar-pembesar pada waktu itu.
 
Kedua-dua wakil Sultan dan wakil Long Jaafar telah datang ke Pulau Pinang, untuk mendapatkan sokongan Kerajaan British bagi pihak masing-masing. Pada mulanya Kolonel Cavenagh enggan campur tangan sama sekali. Akan tetapi pedagang dari Pulau Pinang telah membuat petisyen dan mendesak supaya British campur tangan untuk menyelesaikan pertelingkahan ini. Ini kerana perang saudara tersebut telah mencederakan dan merosakan banyak harta benda pengusaha kayu balak dan pelombong yang tidak bersalah, terutamanya orang cina dari Pulau Pinang.
 
Hal ini bertambah parah apabila seorang wakil British Mr Robertson bersama Panglima Besar diserang di Kubu Sungai Semang ketika ingin menyelesaikan pertikaian cukai pengusaha kayu cina bernama Chau Kun Chi. 5 rakit kayu balak yang telah diapungkan di Sungai Krian telah ditahan oleh Panglima Budi dan Haji Osman di Kubu ini, atas alasan bahawa cukai kayu tersebut belum dibayar kepadanya.
 
Semasa Mr Robertson sampai di kubu berkenaan, satu tembakan telah dilepaskan, dan sebilangan besar orang Melayu yang dianggarkan melebihi 80 orang, keluar dari hutan dan melepaskan tembakan senapang dan blunderbus. Mr Robertson mengarahkan tembakan balas, keadaan berlanjutan selama 10 minit.
Sebutir peluru menembusi lengan baju En. Robertson, seorang peon terkena peluru yang menembusi seluarnya, manakala seorang lagi, yang berada di dalam sampan kecil cedera di tangan.
 
Di dalam bot Panglima Besar yang lebih kecil, seorang daripada pengikutnya ditembak di lutut, dan seorang lagi menerima tembakan di pipinya. Di atas rakit kayu balak, seorang pekerja cina terbunuh dan dua orang cedera, selebihnya berenang ke tepi tebing kedah dan ada juga yang melarikan diri dengan sampan.
Akhirnya peristiwa ini telah memberi peluang kepada campur tangan British untuk meleraikan pertelingkahan tersebut. Langkah yang paling berkesan adalah dengan mengambil alih kawasan ini, dan membolehkan British berkuasa penuh terhadap Kuala Kerian. Maka pada tahun 1874, melalui perjanjian Pangkor, akhirnya kawasan ini diambil alih oleh British dan menjadi sebahagian daripada Seberang Perai.
 
Sumber info : S’pore Free Press 1860
 
#gspp #seberangperai #kerian #perangsaudara

12 November 2022 - Banjir di Kg Kota, Kg Kubu dan Kg Terus, hujan lebat petang kemarin.

Banjir di Kg Kota, Kg Kubu dan Kg Terus, hujan lebat petang kemarin.
 
Harap pihak terlibat, yang nak tambun kawasan paya di kawasan ni, untuk bina perumahan mampu milik boleh kaji balik keputusan tu. Belum tambun pun dah banjir, kalau dah tambun wallahualam, makin teruk banjir rasanya.
 
Kawasan paya di sini memang menjadi kawasan tadahan air hujan di Sungai Perai dari dulu lagi, dan tak perlu di ganggu, apa yang perlu adalah untuk membaiki saliran anak-anak sungai untuk mengelakan banjir berlaku.
 
Nasib baik air laut tak pasang, kalau pasang kalu mau paras dada banjir semalam.
 
Mohon pihak terlibat kaji balik cadangan projek tersebut, nak buat perumahan mampu milik baguih dah, cuma cari la kawasan yang lebih sesuai, jangan nanti keadaan jadi bertambah buruk, naya orang-orang kampung dekat sini.
 
#gspp #banjir #kgkota #kotaperai

04 November 2022 - Kemangkatan Tunku Kudin Klang (Tunku Diauddin ibn Almarhum Sultan Zainal Rashid I)

Marhum Tunku Dhiauddin, bekas Wizurai Selangor telah mangkat di kediamannya, “Rumah Uddini”, Jalan Kelawai, pada hari Isnin pukul sembilan malam. Jenazahnya akan dihantar ke Alor Setar, Kedah menggunakan Kapal layar kerajaan Perlis “Mambang”, untuk disemadikan di tanah perkuburan Diraja di Langgar. Disebabkan keadaan air laut surut, Membang terpaksa berlabuh di tepi pantai di hadapan Jalan Northam, di suatu tempat di luar “Rumah Kedah”.
Tiada nobat, atau suara bacaan doa kedengaran. Keranda ditanggung dengan senyap oleh kira-kira dua puluh orang lelaki dari Rumah Uddini di seberang Jalan Kelawai dan melalui perkampungan Melayu ke pantai. Pada jam 8.45 malam, keranda yang ditutup dengan kain berwarna kuning Diraja itu diletakkan di dalam sebuah bot milik Encik A. D. Neubronner, Konsulat Jeneral Siam.
 
Tunku Mahmud, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Kedah, Tunku Bahadur Shah, anak sulung Almarhum dan Tunku Saad (Pegawai Daerah, Kulim Kedah) bersama dua ulama Melayu, mengiringi keranda. Bot itu dikayuh ke kapal layar, dan berlepas serta-merta selepas keranda itu dipindahkan.
Turut hadir di pantai ialah En. A. D. Neubronner (Konsul Jeneral bagi Siam), Tuan Syed Munseer (Pesuruhjaya Tanah, Kedah), En. B. E. Mitchell (Pesuruhjaya Polis, Kedah) dan ramai alim ulama Melayu dan Islam yang terkemuka di Pulau Pinang dan Kedah. Tunku Mahmud yang mengiringi keranda tersebut tidak meneruskan perjalanan ke Kedah.
 
Tunku Dhiauddin merupakan adik kepada Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah III iaitu anakanda kepada Almarhum Sri Sultan Zainal Rashid I. Dua orang lagi saudara mereka ialah Tunku Yusuf dan Tunku Yaakob. Isteri pertama Sultan Ahmad Tajuddin ialah Allahyarhamah Mak Wan Besar, yang meninggal dunia beberapa bulan lalu. Dengan isteri keduanya, baginda mempunyai dua anak lelaki.
 
Apabila bapanya meninggal dunia. Tunku Petra (Sultan Zainal Rashid II) putera Sulung dari isteri kedua, telah dipilih menjadi Sultan dan Sultan H.H. Tunku Abdul Hamid, telah dijadikan Raja Muda pemangku kepada Tunku Petra.
 
Tunku Petra mengahwini puteri Tunku Dhiauddin, Tunku Mariam, tetapi tidak mempunyai anak. Tunku Petra hanya memerintah beberapa tahun sahaja, ini kerana pertabalannya telah disahkan tidak sah. Kerajaan setetusnya ditadbir oleh Pemangku Raja iaitu Tunku Dhiauddin dan Tunku Yacob, yang dilantik oleh Kerajaan Siam kerana pada waktu itu Tunku Petra terlalu muda dan kurang pengalaman mentadbir.
 
Secara kebetulan, bukan sahaja Tunku Diauddin, tetapi dua orang adiknya, Tunku Yusuf dan Tunku Yaacob juga meninggal dunia di Pulau Pinang dan semuanya di kawasan yang sama.
 
Tunku Yusuf meninggal dunia di “Dewan Cinnamon”. Dewan ini telah dirobohkan dan “Rumah Uddini,” kediaman Tunku Dhiauddin didirikan di tapaknya. Tunku Yaacob pula meninggal dunia di “Rumah Kedah” tidak jauh dari situ.
 
Sumber info : Pinang gazette and Straits chronicle, 26 May 1909
 
#gspp #tunkukudinklang #pulaupinang
 

30 Oktober 2022 - Habib Muhammad Al-Habshe, Kampung Syed, Kelawai, Pulau Pinang

Habib Muhammad Al-Habshe, Kampung Syed, Kelawai, Pulau Pinang
Habib/Sayyid Muhammad Al-Habshe dikatakan biasa berkhidmat dengan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II pada awal abad 1800-an. Pada zaman beliau, banyak Tuan-Tuan Syed yang menetap dan berkhidmat di Kedah. Makam beliau terletak di Kelawai dan dikatakan nisan asalnya ada pahatan nama “Syed Muhammad Puteh”.
 
Tanah di Kampung Al-Habshe di Kelawai, Tanjong Pulau Pinang itu asalnya milik Tunku Sayyid Abdul Rahman Al-Aidid anak kepada Tunku Sayyid Hussain Al-Aidid putera raja Aceh, orang kaya besar dan ‘Raja Pulau Pinang’. Tanah itu kemudian dijual kepada Sayyid Muhamad Al-Habshe bernilai 500 Spanish Dollars .
Keluarga Sayyid Muhammad Al-Habshe
 
Anak
1.Habib Nuh bin Sayyid Muhammad Al-Habshe. Beliau adalah seorang majzub di Singapura. Habib Nuh sangat warak dan dikagumi oleh seluruh lapisan masyarakat baik yang tua dan muda. Habib Nuh lahir di atas kapal Syed Muhammad AzZahir, ayahanda Tunku Kudin Syihab dan diberi nama” Nuh ” sempena mengingat Nabi Nuh AS yang membawa cahaya rahmat dalam kapalnya. Habib Nuh wafat pada tahun 1866 dan dikebumikan di atas sebuah bukit kecil di Jalan Palmer, Singapura.
 
2. Habib Ariffin Bin Muhammad Al-Habshe. Beliau seorang kadi besar di Pulau Pinang. Wafat pada tahun 1904. Namanya terpahat di kedua-dua nisan berdekatan dengan makam ayahandanya, Sayyid Muhammad Al-Habshe.
 
3. Syed Zain Bin Muhammad Puteh Al-Habshe, anak ketiga Sayyid Muhammad Al-Habshe, Beliau juga biasa berkhidmat dengan Tunku Kudin Klang (Tunku Diauddin), semasa Tunku Kudin menjadi pembesar di Selangor.
 
Cucu
Syarifah Madaniah Binti Syed Nuh Al Habshe. Beliau merupakan anak perempuan Habib Noh. Wafat pada tahun 1851 dan makam beliau terletak di Masjid Teluk Ayer Tawar, Seberang Perai. Dipercayai juga bahawa suami beliau ialah Syed Muhammad Bin Hasan Al-Shatiri, Imam Masjid Jelutong. Syed Muhammad Al-Shatiri juga wafat di Seberang Perai dan kemungkinan makamnya bersebelahan dengan makam isterinya di Teluk Air Tawar.
 
Cicit
Syed Hasan Bin Syed Muhammad Al-Shatiri, berkemungkinan anak Syed Muhammad Al-Shatiri bersama Sharifah Madaniah. Beliau yg aktif di Pulau Pinang pada tahun 1910-1920-an dan pernah menjawat sebagai ahli Mohamedan Advisory Board di Penang.
 
Sumber rujukan : S’pore free press, Penang Gazet, fb Nabil Nadri
 
#gspp #pulaupinang

06 Oktober 2022 - Laporan Penang Press bertarikh 2/2/1839 mengenai kejayaan pasukan Kedah menawan Madelong dan Singora

Laporan Penang Press bertarikh 2/2/1839 mengenai kejayaan pasukan Kedah menawan Madelong dan Singora
 
Catatan terkini dari Kedah memberitahu kita bahawa angkatan tentera Melayu di pedalaman yang terdiri daripada 7000 orang setiap satu dan yang telah dihantar untuk menawan Madelong dan Singora telah berjaya sepenuhnya.
 
Madelong – di daerah Lampang telah jatuh ke tangan mereka selepas sedikit tentangan; Siam telah melarikan diri dan berlindung di Singora dengan mengandaikan ia adalah tempat yang lebih kuat dan selamat.
 
Di sini sekumpulan besar orang telah berhimpun sebelum kedatangan pembesar Melayu, Tuanko Mahamed Taheb (Tunku Mohamad Taib), yang sebelum ini, perhatiannya telah tertumpu selama dua atau tiga hari untuk membuat persiapan untuk pertempuran dan memulakan serangan ke atas Singora.
 
Pertempuran – dengan penuh keazaman itu nampaknya telah bermula pada waktu petang dan diteruskan sepanjang malam hingga keesokan harinya sehingga kira-kira pukul lapan, apabila tempat itu akhirnya ditawan dan berlaku peristiwa penyembelihan yang amat dahsyat.
 
Mereka yang melarikan diri mencari perlindungan di dalam hutan dan menjadi amalan biasa di kalangan orang-orang ini, tiada belas kasihan diberikan, kecuali wanita dan kanak-kanak, sehingga lebih daripada 1500 tawanan yang telah dihantar ke Kedah dengan harta rampasan yang besar.
 
Kedah – dikatakan penuh dengan tawanan Siam dari semua jenis dan diagihkan di sekitar kampung-kampung.
 
Singora – Singora yang terkenal kini hanyalah timbunan abu yang telah dibakar oleh orang Melayu. Dinyatakan juga bahawa sejumlah besar bijirin dan barang keperluan lain ditemui di tempat ini yang akan berguna kepada pihak yang menakluki kawasan tersebut.
 
Tentera yang menang, dengan penuh keterujaan dengan kemenangan itu telah membuat perarakan menuju ke Ligor, bandar sempadan terkuat dan terakhir yang dahulunya di bawah kekuasaan raja-raja Melayu.
 
Orang Melayu menyatakan keazaman mereka untuk menakluki Ligor, dan dari penghinaan yang telah mereka terima, mereka juga mahu orang Siam merasai, bahawa kejatuhan Siam akan berlaku tidak lama lagi.
 

05 Oktober 2022 - Tunku Mohamad Taib Puteh pahlawan Seberang Perai 1838

Tunku Mohamad Taib Puteh pahlawan Seberang Perai 1838
 
Antara tokoh pejuang Perang Musuh Bisik yang jarang didendangkan kisahnya, tapi memainkan peranan yang penting semasa tempoh peperangan tersebut. Tunku Mohamad Taib merupakan adik kepada Tunku Mohamad Saad.
 
Semasa serangan Siam ke atas Kota Kuala Kedah pada tahun 1821, Tunku Mohamad Saad dan Tunku Mohamad Taib telah menjadi tawanan Siam dan di bawa ke Bangkok bersama-sama kerabat sultan Kedah yang lain.
 
Akan tetapi mereka telah dibebaskan apabila Inggeris membuat pejanjian Burney dengan Siam pada tahun 1826. Selepas dibebaskan Tunku Mohamad Taib menetap Seberang Perai. Dalam laporan James Low mengatakan bahawa Tunku Mohamad Taib dan pengikut-pengikutnya menetap di Kampung Kubu berdekatan dengan Kampung Kota dan ‘residence’ Tunku Sulaiman.
 
Tunku Mohamad Taib ditugaskan untuk menjaga Kampung Kota semasa Tunku Mohamad Saad dan Wan Mohd Ali mengedarkan surat jemputan di Seberang Perai.
 
Pasukan dari Seberang Perai diketuai Tunku Mohamad Taib, mula bergerak ke Sungai Muda pada Mei 1838. Beliau bersama 300 orang pejuang telah menyerang dari darat, manakala pasukan Tunku Mohamad Saad dan Wan Mohamad Ali menyerang dari arah laut.
 
Pasukan tersebut telah berjaya menghancurkan kubu Siam di sempadan Seberang Perai iaitu di Sungai Muda dan bergabung dengan pasukan kekandanya Tunku Mohd Saad dan Wan Mohamad Ali di Sungai Merbok.
 
Pada 3 Ogos 1838 angkatan di bawah Tunku Mohamad Taib telah datang dari darat ke Kota Kuala Kedah. Mereka membawa bersama keluarga orang-orang melayu yang berperang bagi pihak Siam di dalam kota.
 
Keluarga orang melayu dijadikan benteng pertahanan. Apabila 3 orang tua dan 2 wanita terkorban serta ramai yang cedera, menyebabkan orang melayu yang berada di dalam kota tidak sanggup untuk menyerang dan keluar untuk menyokong Tunku Mohamad Taib.
 
Setelah berjaya menawan kembali Kota Kuala Kedah, Tunku Mohamad Saad diiringi 500 pejuang Kedah yang diketuai oleh Che Teh, telah pergi ke Singgora untuk berunding bagi mendapatkan sokongan Raja Singora.
 
Akan tetapi beliau terpaksa menunggu selama 40 hari, dan rundingan tersebut gagal, akhirnya beliau pulang ke Kedah.
 
Tunku Mohamad Taib kemudiannya mengambil alih angkatan pejuang Kedah dan maju ke sempadan Phoong Po atau Tong Po, oleh kerana serangan yang tertangguh begitu lama selama 40 hari, tanpa berlengah lagi beliau terus menuju ke pelabuhan laut Singgora. Orang-orang Singora telah berundur secara beransur-ansur.
 
Tunku Mohamad Taib mengarahkan satu lagi pasukan di bawah Wan Ha dan Wan Mat Pulau, mereka berpecah untuk menyokong pertempuran yang berlaku di daerah Chenak, Patani dan di sana pasukan mereka bergabung dengan orang Patani dan menaiki bot di muara Sungai Patani bagi meneruskan perjalanan mereka melalui laut untuk membantu pasukan Tunku Mohamad Taib menawan Singora.
 
Bersambung…
 
-Burney Papers vol V
 

30 September 2022 - Seberang Jaya

Seberang Jaya
 
Tanggal 11 Ogos 1976 merupakan permulaan lembaran baru dalam Program Perindustrian Luar Bandar dan Perbandaran Luar Bandar negara, dengan pembukaan bandar baru Seberang Jaya di Seberang Perai.
 
Seberang Jaya berkeluasan lebih daripada 12,000 ekar, terletak di daerah Seberang Perai Tengah bukan sahaja akan menjadi sebuah bandar terancang dan serba lengkap yang pertama, tetapi ia juga menjadi pusat pentadbiran dan pertumbuhan penduduk yang baru di Seberang Perai.
 
Seberang Jaya juga dijangka akan menggantikan bandar Butterworth dan Bukit Mertajam dan menjadi bandar besar yang menghubungkan kedua-dua bandar ini dan kawasan sekeliling Mak Mandin dan Kawasan Perindustrian Perai. Ia juga akan menjadi salah satu kawasan berasaskan ekonomi terbesar di Pulau Pinang.
 
Perasmian Seberang Jaya disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn. Antara tetamu kehormat yang turut hafir Datin Suhaila, Ketua Menteri Dr. Lim Chong Eu dan Puan Lim, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri dan pegawai kanan kerajaan.
 
Majlis tersebut diadakan di tapak Pesta Pembangunan yang terletak berhampiran deretan rumah berkembar di perumahan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang Fasa I. Antara acara kemuncak majlis ialah meninjau pelbagai rumah jenis kos rendah yang telah dibina di situ.
 
– Staraits Echo 1976
 
#gspp #seberangjaya #kenalisejarah #pulaupinang
Seberang-Jaya

29 September 2022 - 300 kaki Sungai Kecil Ilir

300 Kaki, Sungai Kechil Ilir
Posting kemarin kita bercerita mengenai pekan Sungai Kechil Ilir di Kedah bersempadan dengan daerah Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang. Kawasan ini juga dikenali sebagai Kampung 300 kaki.
 
Apa maksud 300 kaki? 300 kaki bermaksud jarak buffer zone antara garisan sempadan di kedua-dua belah negeri. Dahulu jarak 300 kaki di sepanjang sempadan tidak dibenarkan untuk membina kediaman atau rumah.
 
Perkara ini boleh dirujuk pada Ordinan 56 (Tanah) Kedah yang dibuat semasa perjanjian persempadanan tahun 1869.
 
𝟓𝟔 𝑷𝑬𝑹𝑴𝑰𝑻 𝑲𝑯𝑨𝑺 𝑼𝑵𝑻𝑼𝑲 𝑹𝑰𝒁𝑨𝑩 𝑲𝑬𝑹𝑨𝑱𝑨𝑨𝑵. 𝟓𝟖. (𝟏) 𝑻𝒊𝒂𝒅𝒂 𝒕𝒂𝒏𝒂𝒉 𝒅𝒂𝒍𝒂𝒎 𝒍𝒊𝒏𝒈𝒌𝒖𝒏𝒈𝒂𝒏 𝟑𝟎𝟎 𝒌𝒂𝒌𝒊 𝒅𝒂𝒓𝒊 𝒔𝒆𝒎𝒑𝒂𝒅𝒂𝒏 𝒂𝒏𝒕𝒂𝒓𝒂 𝑲𝒆𝒅𝒂𝒉 𝒅𝒂𝒏 𝑷𝒓𝒐𝒗𝒊𝒏𝒄𝒆 𝑾𝒆𝒍𝒍𝒆𝒔𝒍𝒆𝒚 𝒃𝒐𝒍𝒆𝒉 𝒅𝒊𝒃𝒆𝒓𝒊 𝒎𝒊𝒍𝒊𝒌 𝒅𝒊 𝒃𝒂𝒘𝒂𝒉 𝒉𝒂𝒌𝒎𝒊𝒍𝒊𝒌 𝒌𝒆𝒌𝒂𝒍, 𝒕𝒆𝒕𝒂𝒑𝒊 𝑷𝒆𝒏𝒈𝒂𝒓𝒂𝒉 𝒃𝒐𝒍𝒆𝒉 𝒎𝒆𝒍𝒖𝒍𝒖𝒔𝒌𝒂𝒏 𝒑𝒆𝒏𝒈𝒆𝒍𝒖𝒂𝒓𝒂𝒏 𝒑𝒆𝒓𝒎𝒊𝒕 𝒌𝒉𝒂𝒔 𝒖𝒏𝒕𝒖𝒌 𝒑𝒆𝒏𝒅𝒖𝒅𝒖𝒌𝒂𝒏 𝒕𝒂𝒏𝒂𝒉 𝑵𝒆𝒈𝒆𝒓𝒊 𝒅𝒂𝒍𝒂𝒎 𝒉𝒂𝒅 𝒔𝒆𝒅𝒆𝒎𝒊𝒌𝒊𝒂𝒏 𝒖𝒏𝒕𝒖𝒌 𝒕𝒖𝒋𝒖𝒂𝒏 𝒑𝒆𝒏𝒂𝒏𝒂𝒎𝒂𝒏, 𝒔𝒆𝒕𝒆𝒍𝒂𝒉 𝒎𝒆𝒎𝒃𝒂𝒚𝒂𝒓 𝒚𝒖𝒓𝒂𝒏 𝒕𝒊𝒏𝒋𝒂𝒖𝒂𝒏 𝒚𝒂𝒏𝒈 𝒅𝒊𝒕𝒆𝒕𝒂𝒑𝒌𝒂𝒏 𝒅𝒆𝒏𝒈𝒂𝒏 𝒌𝒂𝒅𝒂𝒓𝒂𝒏 𝒃𝒂𝒚𝒂𝒓𝒂𝒏 𝒚𝒂𝒏𝒈 𝒎𝒖𝒏𝒂𝒔𝒂𝒃𝒂𝒉 𝒅𝒂𝒏 𝒅𝒊𝒃𝒂𝒚𝒂𝒓 𝒅𝒆𝒏𝒈𝒂𝒏 𝒄𝒂𝒓𝒂 𝒑𝒓𝒆𝒎𝒊𝒖𝒎.
 
Rumah kediaman atau kampung hendaklah berada dalam jarak 300 kaki dari sempadan. Nama Kampung 300 kaki mungkin mengambil nama sempena jarak buffer zone dengan sempadan ini. Kalau tak silap di sebelah Relau pun ada nama kampung 300 kaki.
 
Mungkin juga, pada waktu dulu memang telah ada penempatan di atas garisan sempadan, namun apabila ordinan 56 ni dilaksana kemungkinan penempatan tersebut telah diubah atau digenjak 300 kaki dari sempadan
 
Pada tahun 1931, Ordinan 56 ini telah diubahsuai, jarak 300 kaki tidak dipakai lagi dan buffer zone dikecilkan menjadi 10 kaki sahaja, hal ini berdasarkan pertukaran surat menyurat Kedah dan Pulau Pinang waktu itu.
 
Jadi GSPP berpendapat, disebabkan Ordinan 56 ini lah nama Kampung 300 kaki wujud dan kekal sehingga sekarang. Kalau penduduk kampung ada cerita yang tersendiri boleh share di komen.
 
Kredit info : Tuan Kamarul Haizal Koderat
 
#gspp #kenalisejarah #300kaki #seberangperaiselatan
sungai-kecil-illir
sungai-kecil-illir
sungai-kecil-illir

27 September 2022 - Kemangkatan Tunku Mohamad Saad

Kemangkatan Tunku Mahamad Saad.
 
Kemangkatan seorang putera, daripada keturunan kerabat Sultan Kedah yang begitu banyak sumbangannya terhadap negeri Kedah. Selama bertahun-tahun beliau berjuang menentang penjajahan Siam di Kedah.
 
Akan tetapi nasib beliau tidak begitu baik semasa tahun-tahun terakhir hayatnya. Tunku Mohamad Saad mangkat pada malam Ahad di lorong Hutton, Pulau Pinang di rumah ibunya.
 
Beliau telah berpindah ke Hutton Lane dari Kota Perai di Seberang Perai, sejurus selepas tamatnya konflik yang berlaku pada tahun 1846.
Sejak itu kesihatan beliau semakin merosot dan beliau mengalami ‘rheumatism’ atau sakit sendi. Keadaan ini berlanjutan sehingga kemangkatannya pada 11 April 1847.
 
Upacara pengebumian dilakukan menjelang tengahari, di mana tiada sebarang upacara pengebumian mengikut adat istiadat diraja atau lambang diraja yang digunakan. Tiada siapa yang mengetahui Tunku Mohd Saad tinggal di Pulau Pinang sebelum ini, kecuali saudara maranya yang terdekat.
Abdul Kader Ali, beberapa Syed, Haji dan Imam telah datang untuk menziarahi serta menyampaikan ucapan takziah mereka.
 
Jenazahnya telah dibawa oleh penduduk di kawasan tersebut, yang sebahagian besar mereka adalah orang Melayu, ke “Tok Keramat” dan disemadikan di dalam ruang yang dikhaskan untuk kerabat.
 
Memetik kata-kata JR Logan, peguam yang membela Tunku Mohd Saad semasa perbicaraannya pada tahun 1841, mengenai kemangkatan Tunku Mohamad Saad, beliau menyatakan bahawa Tunku Mohamad Saad magkat dengat penuh penghormatan dan kemuliaan.
 
“𝘛𝘶𝘯𝘬𝘶 𝘔𝘰𝘩𝘢𝘮𝘢𝘥 𝘚𝘢𝘢𝘥 𝘳𝘦𝘵𝘪𝘳𝘦𝘥 𝘶𝘯𝘢𝘣𝘭𝘦 𝘵𝘰 𝘤𝘰𝘯𝘵𝘦𝘯𝘥 𝘭𝘰𝘯𝘨𝘦𝘳 𝘸𝘪𝘵𝘩 𝘰𝘷𝘦𝘳𝘸𝘩𝘦𝘭𝘮𝘪𝘯𝘨 𝘱𝘰𝘸𝘦𝘳, 𝘢𝘯𝘥 𝘧𝘪𝘭𝘭𝘦𝘥 𝘸𝘪𝘵𝘩 𝘥𝘢𝘳𝘬 𝘱𝘳𝘦𝘴𝘢𝘨𝘦𝘴 𝘰𝘧 𝘵𝘩𝘦 𝘧𝘢𝘵𝘦 𝘸𝘩𝘪𝘤𝘩 𝘢𝘸𝘢𝘪𝘵𝘦𝘥 𝘩𝘪𝘴 𝘱𝘦𝘰𝘱𝘭𝘦, 𝘣𝘶𝘵 𝘩𝘦 𝘳𝘦𝘵𝘪𝘳𝘦𝘥 𝘤𝘰𝘷𝘦𝘳𝘦𝘥 𝘸𝘪𝘵𝘩 𝘩𝘰𝘯𝘰𝘳 𝘢𝘯𝘥 𝘸𝘪𝘵𝘩 𝘨𝘭𝘰𝘳𝘺. 𝘏𝘦 𝘩𝘢𝘥 𝘢𝘤𝘩𝘪𝘦𝘷𝘦𝘥 𝘢 𝘧𝘢𝘮𝘦 𝘸𝘩𝘪𝘤𝘩 𝘧𝘰𝘶𝘯𝘥 𝘵𝘳𝘪𝘣𝘶𝘵𝘦𝘴 𝘸𝘩𝘦𝘳𝘦𝘷𝘦𝘳 𝘵𝘩𝘦 𝘔𝘢𝘭𝘢𝘺𝘢𝘯 𝘭𝘢𝘯𝘨𝘶𝘢𝘨𝘦 𝘸𝘢𝘴 𝘴𝘱𝘰𝘬𝘦𝘯, 𝘢𝘯𝘥 𝘈𝘳𝘢𝘣𝘪𝘢 𝘳𝘦𝘫𝘰𝘪𝘤𝘦𝘥 𝘵𝘩𝘢𝘵 𝘵𝘩𝘦 𝘣𝘭𝘰𝘰𝘥 𝘰𝘧 𝘩𝘦𝘳 𝘪𝘯𝘥𝘰𝘮𝘪𝘵𝘢𝘣𝘭𝘦 𝘴𝘰𝘮𝘦 𝘴𝘩𝘰𝘶𝘭𝘥 𝘩𝘢𝘷𝘦 𝘣𝘦𝘦𝘯 𝘳𝘢𝘪𝘴𝘦𝘥 𝘣𝘺 𝘢 𝘩𝘦𝘳𝘰 𝘢𝘮𝘰𝘯𝘨𝘴𝘵 𝘵𝘩𝘦 𝘔𝘢𝘭𝘢𝘺𝘴. 𝘉𝘶𝘵 𝘩𝘦 𝘳𝘦𝘵𝘪𝘳𝘦𝘥 𝘸𝘪𝘵𝘩 𝘴𝘰𝘮𝘦𝘵𝘩𝘪𝘯𝘨 𝘮𝘰𝘳𝘦 𝘵𝘩𝘢𝘯 𝘧𝘢𝘮𝘦, 𝘩𝘦 𝘳𝘦𝘵𝘪𝘳𝘦𝘥 𝘧𝘰𝘭𝘭𝘰𝘸𝘦𝘥 𝘣𝘺 𝘵𝘩𝘦 𝘱𝘳𝘢𝘺𝘦𝘳𝘴 𝘰𝘧 𝘢𝘯 𝘢𝘥𝘰𝘳𝘪𝘯𝘨 𝘯𝘢𝘵𝘪𝘰𝘯”
-𝘑𝘙 𝘓𝘰𝘨𝘢𝘯
 
Kemungkinan besar makam Tunku Mohamad Saad sekarang berada di Tanah Perkuburan Jalan Perak, juga dikenali sebagai “Tok Keramat” berdekatan dengan Masjid Jamek Hashim Yahya. Terdapat sebuah makam nisan acheh di dalam bagunan yang dibina seperti langgar disitu.
 
Tetapi tidak dapat dipastikan kesahihan makam tersebut, kerana tiada nama atau tanda pada batu nisan. Walau di mana pun makam beliau yang sebenar, marilah kita sama-sama berdoa semoga roh beliau dirahmati dan ditempatkan bersama orang-orang beriman.
 
Aamiin…
 
Al-Fatihah buat Tunku Mohamad Saad Ibn Tunku Daud.
 
Sumber info : The Singapore Free Press
 
#gspp #tunkumohamadsaad #perangmusuhbisik
Kemangkatan-Tunku-Mohamad-Saad-1
Kemangkatan-Tunku-Mohamad-Saad-1

21 September 2022 - Peta Lama Pulau Pinang 1805

Peta lama Pulau Pinang tahun 1805
 
” The point on which the principal town in Prince of Wales’s Island, called George Town and Fort Cornwallis are situated, lies by a mean of Observations in North Latitude 5.30 and by a Series of Lunar Observations and Chronometer accounts from short runs, in Long : 100.16 Cast from Greenwich. Its length is 16 Statute Miles from North 1 South – Its breath from 8 to 12 Statute Miles.”
 
Boleh tengok sungai-sungai utama di Pulau Pinang, Sungai Pinang, Sungai Gelugor, Sungai Dua, Sungai Nibong & Sungai Keluang (Cluan).
 
#gspp #pulaupinang #kenalisejarah
Pinang-Pulau

18 September 2022 - Surat Tunku Mohd Saad berkaitan Wilayah Perai

Surat Tunku Mohd Saad berkaitan Wilayah Perai
 
Posting kali ni kita cuma memahami isi kandungan Surat Tunku Mohd Saad yang berkaitan dengan wilayah Perai di bawah pemerintahan Tunku Sulaiman merangkap bapa saudara dan mertuanya.
 
Sebelum berpindah ke Perai, Tunku Sulaiman merupakan pembesar di Arau, Perlis. Akan tetapi Tunku Dhiauddin, Raja Muda Kayang (bapa saudaranya) telah menukarkan kawasan pemerintahan Tunku Sulaiman ke Perai bagi memberikan laluan kepada Syed Harun untuk menjadi pembesar di Perlis pada waktu itu
Wilayah Perai (Seberang Perai) termasuk juga kawasan naungannya Karangan (Kulim), sebenarnya telah diserahkan pada Tunku Sulaiman lebih awal lagi, iaitu sekitar tahun 1795-1797.
 
Pada waktu itu bapanya Sultan Abdullah Mukarram Shah (Marhum Kota Setar) masih hidup. Wilayah Perai diserahkan kepadanya oleh Tunku Dhiauddin, Raja Muda Kayang dan dipersetujui oleh Sultan Abdullah.
 
Tunku Sulaiman hanya berpindah ke Perai pada 1803, iaitu semasa Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II, kekandanya mengambil alih pemerintahan dari bapa saudaranya Sultan Dhiauddin Mukarram Shah.
 
Tunku Sulaiman berpindah ke Kota Perai (Kampung Kota), di tepi Sungai Perai bersebelahan dengan wilayah British dan menjadikannya sebagai pusat pemerintahan Wilayah Perai.
 
Semasa proses pengambil alihan takhta pada tahun 1803, SAT II telah pergi mendapatkan sokongan dari Bangkok, dan sebagai sokongan, Rama I telah mengarahkan 5000 askar ligor untuk mengiringi SAT II untuk memaksa Sultan Dhiauddin turun takhta.
Tetapi tiada serangan yang berlaku, setelah Sultan Dhiaudin bersetuju untuk menyerahkan takhtanya kepada SAT II. Mungkin ini yang dimaksudkan berkaitan serangan dari tentera ligor di dalam surat tersebut.
 
Terdapat dokumen perjanjian yang diserahkan kepada Tunku Sulaiman oleh Tunku Dhiauddin semasa menyerahkan Wilayah Perai ini, antara kandungan dokumen tersebut ialah Sultan Kedah dan juga Siam tidak akan mencampuri urusan pentadbiran Tunku Sulaiman di Wilayah Perai dan Tunku Sulaiman juga tidak akan mencampuri urusan mereka.
 
Dokumen ini juga telah menyelamatkan Seberang Perai dari diserang oleh Siam semasa serangan 1821, dan ramai rakyat kedah mendapatkan perlindungan di wilayah Tunku Sulaiman dan juga wilayah British semasa serangan tersebut.
 
#gspp #tunkusulaiman #kotaperai #seberangperai #karangan

12 September 2022 - Keramat Tok Kuning

Keramat Tok Kuning
 
Aktiviti petang tadi, team GSPP cuba menjejaki lokasi ‘Keramat To’ Kuning’ di kawasan Bagan Lalang, SPU berdasarkan peta Seberang Perai tahun 1962.
Alhamdulillah lokasi berjaya dikesan dan lot tanah ini telah diwakafkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
 
Hasil temubual dengan En. Ah Tiak, pemilik tanah bersebelahan dgn tanah Majlis ini, beliau menyatakan bahawa datuknya pernah bercerita mengenai makam Tok Kuning yang terdapat di lot tanah ini.
 
Dahulu terdapat 2 makam lama dengan kepuk dan nisan yang diperbuat dari kayu. Tetapi tinggalan makam tersebut telah tiada sejak tahun 70 an lagi. Mungkin kerana kepuk dan nisan telah reput dimakan usia atau pun akibat kerja-kerja pembangunan disekeliling kawasan ini.
 
Keadaan semak samun juga menyukarkan kami untuk cuba mengesan tinggalan makam tersebut. Insyaallah, kalau diizinkan nanti kita datang lain dan bawa alatan menebas untuk memudahkan kerja-kerja pengesanan.
 
Siapakah Tok Kuning ni belum dapat dipastikan, kemungkinan penghulu, ulama atau tokoh tempatan dikawasan ini barangkali.
 
Yang pasti dia amat dihormati sbb kita dapat lihat tokong kaum cina di kawasan ini menggunakan ‘dewa’ melayu sebagai dewa sembahan mereka.
 
#gspp #keramattokkuning #baganlalang

04 September 2022 - Siapakah Mahomed Mashurudin Merican Noordin bin Mahomed Nasoordin Merican Noordin

Mahomed Merican Noordin
 
Setelah dikaji selidik akhirnya dapat juga jawapan siapakah Mahomed Mashurudin Merican Noordin bin Mahomed Nasoordin Merican Noordin, nama yang muncul dalam lelongan tanah Bukit Merah pada tahun 1913 ni, rupanya beliau adalah cucu kepada Mahomed Merican Noordin.
 
Mahomed Merican Noordin ialah pengasas kepada keluarga Merican Noordin. Dia ialah adik kepada Cauder (Kader) Moheedin Merican yang juga dikenali sebagai Kapitan Keling, pengasas Masjid Kapitan Keling.
 
Pada tahun 1770 dia bersama abang dan ibunya datang dari Pondicherry, India dan tinggal di Kampung Kolam, Pulau Pinang. Ada pendapat mengatakan beliau lahir pada tahun 1787.
 
Pada tahun 1830-an, seperti mana abangnya, Mahomed Merican Noordin juga menjadi salah seorang tokoh perniagaan yang berjaya, melalui perdagangan import eksport tekstil dan lada dari Aceh.
 
Armada perkapalan Mahomed Merican Noordin berdagang di Selat Melaka sehingga ke Burma dan India. Pada tahun 1838 namanya muncul dalam akhbar Pinang Gazette dan Straits Chronicle sebagai penghantar kuantiti terbesar kargo ke Aceh dan Sumatera Utara, Burma dan India.
 
Pada November 1838 beliau menghantar 17 kapal perdagangan ke Chittagong, Arakan, Deli, Aceh, Pedu, Pedir, Cuddalore, Nagapatnam, Cochin China, Calcutta, Aleppy dan Singapura.
 
Maka tidak hairan lah bagaimana beliau mampu membeli tanah dan ladang milik James Low yang di lelong pada tahun 1852. Salah satunya ialah Ladang rempah dan sawah James Low di Bukit Merah.
 
Antara tanah James Low yang lain di Seberang Perai :
1. 325 ekar tanah di Aur Gading dan berhampiran Bukit Merah yang sebahagian besarnya Sawah padi.
2. Ladang kelapa seluas lebih 370 ekar di sepanjang pantai di Teluk Remis bertentangan dengan Pulau Pinang, di mana beliau membina ‘rumah Pucka’ yang cantik.
3. 4 bukit iaitu di Bukit Tambun, Bukit Merah, Bukit Pelandok dan Bukit Jelutong dijadikan ladang rempah ratus.
4. Ladang tebu di Ara Rendang dan sebuah rumah banglo dibina di situ.
 
Selepas kematian Mahomed Merican Noordin pada tahun 1870, segala harta dan perniagaan diambil alih oleh anak-anaknya. Salah seorang anaknya ialah Mahomed Nasoordin, bapa kepada Mahomed Masyurudin, iaitu nama Pemilik Tanah Bukit Merah dalam lelongan tahun 1913.
 
Maka terjawablah sudah siapakah Che Din yang dimaksudkan oleh penduduk sekitar Bukit Merah, akan tetapi tidak dapat dipastikan sama ada Mahomed Merican Noordin sendiri atau anak cucunya yang dikenali sebagai Che Din, yang pasti mereka semua adalah dari keluarga Mahomed Merican Noordin.
 
Kemungkinan besar tanah tersebut dibeli oleh Mahomed Merican Noordin semasa lelongan 1852, ini kerana beliau hidup semasa zaman James Low menjadi Penguasa Seberang Perai.
 
Nama Lebuh Noordin di Pulau Pinang diberi sempena memperingati namanya sebagai salah seorang pedagang muslim yang berjaya di Pulau Pinang.
Sumber rujukan :
1. Muslim Merchants anda Traders in Penang 1860s-1970s (Mahani Musa dan Badriyah Hj Salleh)
 
#gspp #kenalisejarah #mahomedmericannoordin #bukitmerah

03 September 2022 - Pemandangan Bukit Guar Ipoh, Permatang Pauh

Bukit Guar Ipoh
 
Hari ni bersama rakan pengkaji sejarah Saudara Nabil Nadri meninjau kawasan di sepanjang bukit Guar Ipoh dan mengumpulkan beberapa sampel batuan, yang mungkin digunakan untuk menghasilkan nisan lama sejak 100 hingga 200 tahun dahulu.
 
Bukit Guar Ipoh terletak di Seberang Perai Tengah, ia mengajur dari Guar Perahu hingga ke Kubang Ulu. Pada tahun 1831 hingga 1869, garis sempadan antara British dan Kedah merentasi bukit ini dari Bukit Jelutong, seterusnya ke Bukit Mertajam.
 
Bukit ini telah dijadikan kuari sejak zaman British untuk mendapatkan batuan granit, iaitu pada penghujung 1800. Sejak dari itu, kuari yang dibina tersebut masih beroperasi sehingga sekarang.
 
Semasa peninjauan dilakukan, masih dapat dilihat bekas-bekas lubang dinamit yang dibuat untuk meletupkan bongkahan batu granit. Terdapat juga kolam atau tasik kesan daripada perlombongan batuan granit di sini.
 
Pada tahun 1982-1985, kuari ini juga berperanan untuk menghasilkan bakalan batu granit bagi pembinaan Jambatan Pulau Pinang yang pertama.
 
#gspp #bukitguaripoh #kenalisejarah

03 September 2022 - Pemandangan Bukit Jelutong dari Bukit Merah, Permatang Pauh

Pemandangan Bukit Jelutong dari Bukit Merah, Permatang Pauh.
 
Kerja-kerja mengambil tanah telah dijalankan semenjak tahun 1964 lagi. Kawasan yang di tarah sekarang menjadi Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah di Permatang Pasir.
 
Dulunya Bukit Jelutong menganjur dari Kg Kota hingga ke Permatang Pasir. Pada masa sekarang hanya tinggal 1/3 sahaja struktur Bukit iaitu di Kampung Bukit Jelutong, bersebelahan dengan PPD SPT.
 
Tahun 1831 Bukit Jelutong merupakan laluan sempadan British-Kota Perai (Kedah). Bukit ini terbahagi dua, satu disebelah Kota Perai satu lagi kawasan British.
 
#pickhamaruzzaman
#straitarchives

01 September 2022 - Lawatan Tapak Banglo Lama Bukit Merah

Alhamdulillah hari ni dapat turun bersama-sama dengan beberapa agensi kerajaan untuk melihat tinggalan rumah banglo lama milik Kptn. James Low di atas Bukit Merah, Permatang Pauh, Seberang Perai Tengah.
 
Pada tahun 1852, selepas kematian James Low, tanah di Bukit Merah miliknya, telah muncul di dalam pemberitahuan lelongan yang dimasukkan dalam akhbar tempatan.
 
Sekali lagi lelongan tanah ini muncul pada tahun 1913 diatas nama Mahomed Mashurudin Merican Noordin Bin Mahomed Nasoordin Merican Noordin, atau dikenali penduduk tempatan sebagai Che Din.
 
Selepas itu tanah tersebut telah menjadi tanah kerajaan yang dikuasai dan diuruskan untuk kegunaan Persekutuan menurut Perkara 166 (3) Perlembagaan Persekutuan bagi kegunaan tapak penyelidikan benih padi di bawah kawalan Jabatan Pertanian Pulau Pinang.
 
Rumah banglo yang berada di atas Bukit Merah tersebut seterusnya terbiar hingga ke hari ni. Diharap dapat dibuat sesuatu terhadap tinggalan rumah tersebut, agar ia tidak musnah atau diganggu pihak yang tidak bertanggung jawab.
 
Kita bukan lah hendak mengagungkan tinggalan penjajah, sejarah adalah sejarah. Daripada sejarah kita dapat melihat kembali apa yang penjajah telah lakukan kepada kita dan kita dapat belajar daripada kesilapan yang telah kita lakukan dulu.
 
Di Seberang Perai tidak banyak tinggalan sejarah British yang kita dapat lihat, apatah lagi tinggalan sejarah orang Melayu. Batu terat sempadan (Boundary Pillar) dan beberapa buah rumah estate, antara tinggalan British di Seberang Perai yang masih dapat dilihat sehingga sekarang.
 
Tinggalan sejarah orang Melayu juga ada, seperti masjid dan rumah-rumah tradisional, akan tetapi tinggalan ini telah banyak yang dirobohkan dan dibina baru akibat kurang kesedaran terhadap warisan dikalangan masyarakat kita sendiri.
 
Jadi diharapkan agar tinggalan sejarah yang dijumpai di Bukit Merah ini wajar untuk dipulihara, supaya ia dapat meningkatkan kesedaran dikalangan masyarakat Melayu tentang kepentingan memelihara warisan sejarah, terutama sekali warisan sejarah orang Melayu di negeri Pulau Pinang.
 
Terima kasih diucapkan kepada Pengarah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), Pengarah Jabatan Warisan (Zon Utara), Pegawai Pertanian SPT, Pegawai Daerah (DO) SPT, dan rakan GSPP yang bersama-sama pada program pagi ini. Semoga ada hasil yang positif.
 
#gspp #kenalisejarah #banglojameslow #bukitmerah #seberangperai
rumah-james-low
rumah-james-low
rumah-james-low

26 Ogos 2022 - Ringkasan Sejarah Negeri Selat dan Pembentukan Persekutuan Malaysia

Ringkasan Sejarah Negeri Selat dan Pembentukan Persekutuan Malaysia
 
11 Ogos 1786 – British bertapak di Pulau Pinang, Francis Light merupakan seorang pedagang pada masa tersebut, menjadikan Pulau Pinang, yang merupakan wilayah Kedah pada waktu itu, sebagai hub yang berfungsi sebagai pangkalan perdagangan British di pintu masuk Selat Melaka.
 
6 Jun 1800 – Seberang Perai menjadi sebahagian daripada jajahan British di Pulau Pinang, Proses pengambilan wilayah Seberang Perai dari Kedah dan Perak secara keseluruhan berlaku sehingga tahun 1874.
 
16 Februari 1819 – Stamford Raffles menduduki Singapura.
 
17 Mac 1824 – Perjanjian Inggeris-Belanda, telah berlangsung di London. Belanda menyerahkan Melaka kepada Inggeris dan Inggeris pula memberikan Bangkahulu kepada Belanda. Kesan perjanjian ini telah membahagikan Kepulauan Melayu kepada dua pengaruh iaitu pengaruh British dan Pengaruh Belanda.
 
1826 – Negeri Selat ditubuhkan dengan menggabungkan ketiga-tiga negeri, Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Robert Fullerton dilantik sebagai gabenor Negeri Selat yang pertama. Pulau Pinang dijadikan sebagai pusat pemerintah Negeri Selat.
 
1832 – Pusat Pentadbiran Negeri Selat telah dipindahkan dari Pulau Pinang ke Singapura.
 
1839 – James Brooke, seorang penjelajah British, pertama kali tiba di Sarawak. Sarawak kemudiannya diperintah oleh keluarga Brooke antara tahun 1841hingga 1946
 
1 April 1867 – Koloni Mahkota Negeri-Negeri Selat ditubuhkan, Negeri Selat tidak lagi ditadbir oleh Syarikat Hindia Timur di Calcutta, India, tetapi dipindahkan di bawah pejabat tanah jajahan di London. SHTI dibubarkan pada tahun 1858.
 
20 Januari 1874 – Selepas Perjanjian Pangkor, Inggeris mula campur tangan secara langsung di negeri-negeri Melayu Bersekutu, iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Sistem Residen telah diperkenalkan di negeri-negeri Melayu Bersekutu.
 
1874 – Hasil daripada Perjanjian Pangkor juga, wilayah Dinding di Perak menjadi sebahagian dari Negeri Selat. Tetapi pada tahun 1937, ia diserahkan kembali kepada Perak.
 
1882 – Sebuah syarikat perdagangan pimpinan Alfred Dent, Syarikat Berpiagam Borneo Utara British mula mentadbir Sabah (Borneo Utara).
 
1 Julai 1896 – Penubuhan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan telah berkuatkuasa secara rasmi. Diketuai oleh Residen Jeneral pertama Frank Swettenham.
 
30 Oktober 1906 – Labuan menyertai Negeri-negeri Selat.
 
10 Mac 1909 – Penubuhan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu melalui Perjanjian Bangkok. Negeri terbabit ialah Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Johor juga termasuk dalam negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, dan menerima seorang Penasihat British pada tahun 1914.
 
1 April 1946 – Malayan Union telah ditubuhkan oleh British, tetapi mendapat tentangan dari orang Melayu.
 
31 Januari 1948 – Persekutuan Tanah Melayu telah dibentuk hasil gabungan 11 negeri di Tanah melayu. Ia terdiri dari 9 Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu, dan 2 dari Negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka.
 
31 Ogos 1957 – Tanah Melayu mendapat kemerdekaan dari British.
 
16 September 1963 – Pembentukan Persekutuan Malaysia yang terdiri daripada negeri-negeri dari Persekutuan Tanah Melayu bersama-sama Sabah, Sarawak dan Singapura. Ogos 1965 Singapura berpisah dengan Malaysia.
 
#gspp #sejarahmalaysia #negeriselat #merdeka
Shopping Cart