MAKAM NISAN ACEH KAMPUNG TERUS
Makam Nisan Aceh yang terletak di Kampung Terus, Seberang Perai Tengah merupakan salah satu tinggalan sejarah penting yang menghubungkan kawasan ini dengan jaringan budaya dan pengaruh langsung Kesultanan Kedah di Seberang Perai. Terletak di tepi alur lama Sungai Perai, makam ini mula mendapat perhatian dan dikaji secara lebih serius oleh pengkaji sejarah sekitar tahun 2015, walaupun kewujudannya telah lama diketahui oleh penduduk tempatan.
Dari sudut tipologi, makam ini memaparkan ciri-ciri nisan Aceh abad ke-18 dan ke-19, yang lazimnya dihasilkan daripada batu pasir (sandstone) dan dihiasi dengan ukiran kaligrafi Arab serta motif floral dan geometri yang halus, sesuai dengan estetika seni Islam dari wilayah Aceh Darussalam. Nisan seperti ini bukan sahaja menunjukkan status sosial tinggi si mati, malah secara tradisinya diimport khas dari Aceh dan lazimnya hanya digunakan oleh kerabat diraja, bangsawan, atau pembesar negeri Kedah pada zaman tersebut.
Menurut maklumat daripada penduduk setempat, makam ini dikenali sebagai Makam ‘Tok Perat’, dan dipercayai merupakan tempat persemadian seorang tokoh lama yang mempunyai kedudukan atau peranan penting dalam sejarah tempatan. Kemungkinan beliau seorang pembesar istana, penguasa daerah, panglima atau individu yang mempunyai hubungan rapat dengan pihak istana Kesultanan Kedah. Namun, identiti sebenar Tok Perat masih belum dapat dipastikan secara sahih memandangkan tiada catatan bertulis yang ditemui setakat ini.
Penggunaan nisan Aceh sebagai tanda pusara menggambarkan pengaruh langsung Kesultanan Kedah, yang ketika itu berpusat di Kampung Kota, tidak jauh dari Kampung Terus dalam membentuk struktur masyarakat dan pentadbiran di wilayah Seberang Perai sebelum penyerahan kawasan ini kepada pihak British.
Menariknya, makam ini pada suatu ketika dahulu terlindung di sebalik busut anai-anai dan tidak kelihatan jelas, menyebabkan ia terabai dan hampir dilupakan. Hanya selepas beberapa usaha pembersihan dan kajian lapangan dijalankan pada tahun 2015, makam ini kembali menjadi perhatian dan dikenalpasti sebagai salah satu artifak sejarah yang signifikan.
Kewujudan makam ini bukan sahaja menyumbang kepada pemahaman kita terhadap sejarah awal pengaruh Kesultanan Kedah di Seberang Perai, tetapi ia juga sebahagian daripada warisan sejarah negeri Pulau Pinang dan perlu didokumentasikan secara rasmi agar tidak hilang ditelan masa. Warisan seperti ini wajar dipelihara dan dikaji dengan lebih mendalam kerana ia menyimpan naratif sejarah yang jarang ditemui dalam sumber bertulis rasmi, tetapi tersimpan rapi dalam bentuk batu nisan dan tapak makam.
Isu Kedudukan Makam Tunku Sulaiman: Antara Kampung Kota dan Kampung Terus
Satu persoalan penting yang timbul dalam kajian sejarah Kedah, khususnya dalam konteks pasca-Perang Musuh Bisik 1831, ialah mengapa jasad Tunku Sulaiman dimakamkan di Kampung Terus dan bukannya di Makam Diraja Kampung Kota, seperti kerabat diraja Kedah yang lain.
Persoalan ini perlu ditelusuri berdasarkan rentetan peristiwa yang berlaku pada sekitar tahun 1831, khususnya selepas tamatnya perang tersebut. Tunku Sulaiman, yang merupakan tokoh penting dalam konflik ini, telah ditangkap oleh pihak Siam selepas Perang Musuh Bisik berakhir. Beliau dianggap sebagai pengkhianat oleh kerajaan Siam kerana terlibat membantu Tunku Kudin dalam usaha menentang penguasaan Siam di Kedah. Sebagai hukuman, Tunku Sulaiman telah dirantai lehernya dengan besi dan diseksa sehingga mati, satu bentuk kematian yang menggambarkan kebencian mendalam pihak Siam terhadap tindakannya.
Setelah kematian beliau, jasadnya dipercayai dibawa pulang ke Kota Perai, kawasan kediaman dan residensinya, untuk disemadikan. Namun begitu, pada waktu tersebut, Kota Perai berada di bawah kawalan Siam. Kemungkinan besar, pihak Siam tidak membenarkan jasadnya dikebumikan di makam diraja Kampung Kota, sebagai simbol penolakan terhadapnya yang dianggap penderhaka kepada Raja Siam. Oleh sebab itu, jasad beliau dipercayai dikebumikan di Kampung Terus, yang terletak di luar kawasan makam diraja, tetapi masih dalam lingkungan residensi beliau.
Pandangan ini dikuatkan lagi apabila merujuk kepada peta lama Province Wellesley tahun 1800, yang menunjukkan kediaman Tunku Sulaiman terletak berhampiran Sungai Perai, berdekatan dengan Kampung Kubu dan Kampung Terus. Maka, tidak mustahil sekiranya jasad beliau disemadikan di kawasan tersebut, yang lebih dekat dengan tempat tinggal dan pengaruh peribadinya.
Tambahan pula, gelaran “Tok Perat” yang digunakan oleh penduduk setempat untuk merujuk kepada makam di Kampung Terus, berkemungkinan berasal daripada sebutan “Tok Perai”, merujuk kepada Tunku Sulaiman yang dikenali sebagai Raja Perai. Kenyataan ini menunjukkan adanya kesinambungan memori kolektif masyarakat tempatan terhadap identiti sebenar tokoh yang dimakamkan di sana.
Walaupun Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah telah mengazetkan makam Tunku Sulaiman berada di Makam Diraja Kampung Kota, usaha penyelidikan dan pengesahan identiti makam di Kampung Terus masih diteruskan. Beberapa sumber baharu yang diperoleh, baik secara langsung mahupun tidak langsung, membuka ruang kepada penilaian semula terhadap lokasi sebenar makam almarhum.
Diharapkan kajian yang lebih mendalam akan dapat memberikan kepastian terhadap kedudukan sebenar makam Tunku Sulaiman. Semoga roh almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.
Sumber info :
- Burney Papers
- Penduduk tempatan, En Mohd Safie bin Saad
- Batu Aceh, Early Islamic Gravestones in Peninsular Malaysia, By Othman Mohd. Yatim
